Isnin, 21 September 2015

Yangban: Golongan Pemerintah Tradisional Korea



Salah satu ciri utama dalam sejarah masyarakat tradisional Korea adalah wujudnya kelas masyarakat yang dikenali sebagai Yangban. Semasa saya membaca perihal golongan Yangban ini, saya merasakan masih wujud golongan ini cuma namanya sahaja yang berbeza iaitu Chaebol. Sungguh lucu dalam saya meneliti sejarah masyarakat lampau yang menekankan struktur masyarakat yang mempunyai kelas yang sangat jelas, kita sebenarnya masih terperangkap dalam kondisi sama. Cuma bentuknya yang berbeza.

Golongan Yangban mempunyai definisi dan situasi yang berbeza pada zaman Koryo dan Chosun. Perbezaan ketara adalah pada zaman Koryo hanya pegawai yang mempunyai jawatan di istana sahaja yang mempunyai taraf sebagai Yangban dan mempunyai taraf istimewa. Namun begitu pada zaman Chosun, Yangban tida diperakui sebagai satu kelas istimewa dalam sistem kerajaan dan mereka digolongkan sebagai orang awam atau rakyat biasa iaitu, Yangin. Oleh sebab itu, mereka ingin menjaga keistimewaan golongan mereka melalui perkahwinan antara keluarga Yangban dalam masyarakat.

Taraf wanita golongan Yangban 

Sungguh menarik kerana taraf wanita golongan Yangban tetap sama walaupun telah berpindah ke rumah suami. Kedudukan sosial keluarga wanita sangat penting bukan sahaja dalam proses perkahwinan tetapi ia juga mempunyai pengaruh besar ke atas perkahwinan mereka dan malah tetap penting setelah kematian suami.

Namun begitu, dalam meneliti kedudukan wanita semasa zaman ini dapat dilihat ianya berbeza mengikut kelas. Oleh itu, walaupun wanita golongan atasan seperti Yangban memang mendapat kedudukan istimewa manakala wanita golongan bawahan berada di dalam kondisi yang sangat daif dan malah kebanyakan mereka tidak mempunyai nama dan hanya mempunyai gelaran yang disandarkan kepada ahli keluarga lelaki misalnya anak perempuan Kim atau ibu kepada Jeong.

Semasa zaman ini juga, hamba perempuan sering dijadikan tempat memuaskan nafsu bagi golongan Yangban lelaki dan dibenarkan dalam struktur masyarakat. Terdapat peristiwa seorang hamba perempuan telah dirogol oleh seorang murid tuannya dan tuannya hanya menasihati anak muridnya kerana gusar akan pembelajaran anak muridnya yang dari golongan Yangban bukan kerana membela hamba perempuan tersebut.

Ekonomi

Menurut buku ini, asas ekonomi golongan Yangban semasa zaman Chosun selain daripada menerima Nokbong , ialah tanah dan hamba. Nokbong sejenis gaji daripada kerajaan yang berbentuk seperti beras dan barangan lain yang dipungut dari rakyat namun begitu penerimaan Nokbong tidaklah begitu tetap dan kerap. Oleh itu, kebanyakan Yangban memiliki tanah sendiri sama ada mereka memegang jawatan kerajaan atau tidak. Kaedah-kaedah yang dapat meluaskan tanah miliknya adalah melalui pewarisan, perkahwinan dengan golongan kaya, pembelian dan penerokaan.

Semenjak Nokbong semakin kurang memberi sumbangan terhadap ekonomi pegawai kerajaan, sunmul atau hadiah pula menjadi salah satu sumber ekonomi golongan Yangban. Hadiah ini selalunya diterima daripada pegawai luar bandar, sanak saudara, rakan sekerja dan anak buah. Hadiah pula terdiri dalam pelbagai bentuk seperti hasil tanaman, kain kapas, beras, daging, kertas, bahan api dan sebagainya yang berharga dan menjadi barang keperluan seorang Yangban.

Perbincangan buku kemudian menjurus kepada aktiviti seperti penerimaan hadiah istimewa, hubungan dengan Kisaeng, dan pengambilan isteri kedua iaitu Cheop dan pemerintahan Yangban di luar bandar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.