Isnin, 14 September 2015

Dunia Sama Rata, Thomas L. Friedman




Semasa membeli buku ini di pesta buku beberapa bulan yang lepas, saya sedikit skeptikal terhadap kualiti buku terjemahan ini. Namun ternyata Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) telah melakukan terjemahan yang baik. Buku ini sudah lama berada di dalam senarai bahan bacaan saya namun sering tidak berkesempatan untuk memiliki dan membacanya. Mujur sahaja ketika di pesta buku, ITNM membuat promosi separuh harga dan demi menghabiskan baucar buku yang berbaki RM50, Dunia Sama Rata saya beli.

Padang Yang Rata

Apabila saya mula membaca buku ini, saya tertanya-tanya apakah yang beliau maksudkan dengan dunia yang rata. Ternyata apa yang beliau maksudkan adalah peluang yang sama rata. Cara Friedman membawa kita ke arah persoalan tersebut sangat menarik. Beliau dengan santai menceritakan bagaimana beliau mendapat ilham untuk menulis buku ini. Perkongsian beliau membawa pembaca seolah-olah turut sama memikirkan persoalan yang bermain di kotak fikir beliau. Selepas membaca beberapa bab buku ini, saya sendiri terfikir-fikir akan dunia yang akan datang.

Masih Relevan

Betapa saya memikirkan ketika buku ini diterbitkan masih tidak begitu nyata bukti perataan dunia yang beliau ingin sampaikan terutamanya di Malaysia yang ketika itu masih belum begitu banyak capaian internet. Kini, walaupun capaian internet di negara kita masih perlu dipertingkatkan, namun sekurang-kurangnya capaian internet di bandar-bandar utama adalah amat baik. Oleh sebab itu buku beliau adalah sangat relevan ketika ini.

Sebagai pembaca saya bersetuju dengan pendapat beliau mengenai dunia sama rata dalam perspektif globalisasi ilmu. Ianya dibuktikan dengan berlakunya penyebarluasan ilmu secara pukal dan percuma sehingga sesiapa pun boleh menguasai sesuatu ilmu tanpa batasan. Suatu masa dahulu, hanya golongan atasan dan berpendidikan sahaja yang mempunyai akses terhadap buku dan bahan bercetak namun kini, boeh dikatakan lebih banyak capaian terhadap maklumat dan ilmu yang disebarluaskan secara percuma.

Maka muncul manusia yang pelbagai latar belakang menulis mengenai pelbagai perkara. Sesiapa sahaja boleh menjadi pakar terhadap sesuatu bidang dan memperoleh pendapatan daripadanya. Minat dan bakat, kini menjadi satu bahan dagangan, anda cuma perlu konsisten. Misalnya seorang gadis cantik memperoleh pendapatan hanya dengan mengajar teknik 'make up' secara online. Gitaris, pemuzik dan artis, terpaksa menonjolkan diri mereka melalui aplikasi video yang percuma dan menukar strategi pendapatan mereka daripada penjualan album kepada konsert dan persembahan secara langsung.

Ahli sains, doktor, pengkaji dan jurutera menerbitkan hasil kajin mereka secara percuma. Aplikasi perkongsian percuma memudahkan akses terhadap ilmu seperti ini. Portal berita online menguasai pembaca. Dadah sintetik boleh diproses mengikut manual yang diperoleh dari internet. Bahan letupan juga sama. Dunia sama rata.

Namun, kita membayar kebebasan penyebaran maklumat ini dengan harga yang mahal juga. Harganya adalah sebuah ruang peribadi. Kini, sangat mudah untuk ruang privasi kita dicerobohi oleh sesiapa sahaja. Mungkin sahaja semalam anda santai berseorangan di pantai tanpa manusia, keesokkan harinya anda popular di laman instagram kerana dirakam curi. Lebih malang lagi sekiranya ianya pula disebarluas oleh laman portal murahan seperti Siakap Keli, The Hype Media dan sebagainya. Sepanjang masa kita diperhati. Ruang peribadi menjadi terlalu sempit.

Dunia Tidak akan Pernah Sama Rata

Walaupun perbincangan Friedman sangat menarik, namun saya tetap berpendapat dunia ini tidak akan pernah sama rata. Sekiranya sistem yang sedia ada tetap wujud, manusia yang terpinggir dan tersisih daripada sistem akn terus tertindas dan tidak memiliki peluang yang sama. Manusia yang tidak diiktiraf di dalam negara yang didudukinya tetap tidak mendapat peluang yang sama seperti rakyat yang lain. Orang miskin tetap tidak mendapat akses terhadap perkara asas seperti air, makanan da tempat tinggal apatah lagi internet.

Masih sahaja yang kaya tetap kaya. Tulisan ini juga tulisan manusia yang 'privilege'.

Kesimpulan

Dunia Sama Rata tulisan Thomas L. Friedman adalah satu tulisan yang menarik. Ianya menggambarkan peluang dan cabaran yang harus kita hadapi. Ianya membuatkan kita berfikir mengenai masa depan. Mungkin dunia kembali bulat. Tiada siapa yang tahu.

Empat bintang buat Dunia Sama Rata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.