Isnin, 27 April 2015

Catatan-catatan Awal Perjalanan



25 April 2015

Tiga minggu kelas yang berpanjangan membuatkan perjalanan kali ini sebenarnya sangat sedikit perancangannya. Saya mengemas beg secara cuai. Segalanaya disumbat masuk.
Betapa saya berdebar melakukan perjalanan kali ini.

Sejujurnya saya mahu melakukan sesuatu yang mencabar buat diri. Saya mahu hidup sendiri. Ketika ini. 

Tiga bulan ini saya berharap saya melakukan perubahan terhadap diri. Terhadap sikap. Mungkin lebih matang.

Sejujurnya saya saya tidak tahu apa yang akan saya laukan selepas berakhirnya perjalanan saya. Saya takut sekiranya segalanya berakhir tidak seperti yang diharapkan. Semoga segalanya berlaku seperti yang diharapkan.  

Berbaki dua tugasan yang perlu diselesaikan, syukur sekurang-kurangnya saya memiliki seorang sahabat yang membantu di Seoul. Beliau mencari bilik dengan kadar budget yang saya berikan kepadanya. Semoga saya berpeluang membalas jasa baik beliau. 

Sebuah beg troli besar, sebuah deuter 40 liter dan sebuah beg laptop. Yang pasti, saya gagal mengemas dengan baik kali ini. 


26 April 2015

Penerbangan MH060 mengikut jadual yang ditetapkan. Menurut Kapten penerbangan mungkin akan terganggu dengan keadaan awan yang tebal. 

Duduk bersebelahan dengan seorang Aunty Cina dari Kedah. Saya cuba menegur beliau dengan menggunakan dua tiga patah bahasa Mandarin yang saya tahu. Lucunya aunty tersebut terus berbual dengan bahasa Mandarin dengan saya. Terkial-kial saya cuba menjawab. Rupanya aunty tu pun tidaklah begitu pandai berbahasa Melayu. Maka kami berbual seperti ayam dan itik di sini. 

Makanan yang disediakan adalah sandwich tuna dan saya meminta disediakan kopi panas. Kerana tidak sempat makan malam maka saya pun segera menghabiskan semua makanan yang disediakan. 

Malam masih panjang. Perjalanan berbaki 4 jam. Saya masih menonton filem mengenai seorang backpackers perempuan. 

Pagi. 

Kami disediakan sarapan seawal pukul 5 pagi. Sarapan itu saya habiskan kerana percaya saya akan sukar menemui makanan seterusnya. 

Kapal terbang mendarat dengan baik dan kami beratur panjang di imigresen. Terlalu banyak penerbangan pada pagi ini. Selesai urusan imigresen saya menuju mengambil bagasi dan menuju ke terminal subway. 

Anam

Sampai di Anam lebih kurang pukul 11 pagi dan pihak pengurusan goshiwon meminta kami datang selepas pukul tiga. Maka Hanun, Bazli dan saya membuat keputusan untuk menghabiskan masa menunggu di sebuah Cafe berhampiran. 

Kami kemudian makan tengahari di sebuah kedai makan. Kami makan ikan bakar dan ojingo.

Usai makan kami menuju ke goshiwon dan pembayaran dilakukan. 340 ribu won untuk sebulan. Melihat duit yang diserahkan, saya memikirkan bagaimana saya akan meneruskan hidup di sini. Nasib baik goshiwon ini menyediakan nasi, kimchi dan telur percuma, malah menyediakan sabun basuh baju percuma untuk digunakan dengan mesin basuh yang disediakan. Sekurangnya saya jimat di situ.Hari masih panjang, namun akibat kepenatan, saya ketiduran. Beg dikemas kemudian.  






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.