Selasa, 28 April 2015

Musim Bunga di Sekitar Dongdaemun City Wall Park


Hari Ketiga

Kelihatan bangunan Heunginjimun atau dalam bahasa Inggeris East Gate of Seoul yang menjadi salah satu tempat simbolik di Dongdaemun. 


Setelah beberapa hari memerap di dalam bilik cuba untuk menyelesaikan tugasan terakhir dari kelas Prof Dr Aileen. Professor perempuan dari Filipina, yang kelasnya penuh dengan perbincangan mengenai Laut China Selatan. Saya dengan sengaja memilih tajuk berkaitan krisis Laut China Selatan kerana sudah pernah membuat bacaan mengenainya. Akhirnya saya ternyata perlu berhadapan dengan seorang pakar mengenai isu tersebut. Aduhai, semoga beliau faham betapa cetek pengetahuan saya mengenai krisis tersebut.

Jalan Kaki

Selepas Zohor, saya tekad untuk keluar dari bilik dan cuba berjalan mencari lokasi pejabat. Kononya cuba untuk berjalan kaki kerana semalam semasa menaiki bas saya merasakan perjalanan sangat pendek untuk sampai ke kawasan Jongno-il(1)-ga. Rupa-rupanya saya silap, perjalanan terlalu jauh.

Namun begitu, pengalaman berjalan kaki membawa saya ke kawasan sekitar Dongdaemun City Wall Park yang cantik. Ketika musim bunga, kawasan sekitar taman ini sangat indah dilatari bunga berwarna-warni. Sekiranya anda datang melawat Seoul semasa musim bunga, saya sarankan anda mengambil masa untuk singgah sebentar di sekitar taman ini.

Heunginjimun 

Terdapat pelbagai tempat menarik untuk dilawati di sekitar Dongdaemun City Wall Park ini, antaranya Heunginjimun atau lebih dikenali sebagai Dogdaemun gate di dalam gambar di atas.

Heunginjimun ini merupakan simbol penting untuk para pelancong yang datang ke sekitar Dongdaemun. Namun tidak ramai yang peka bahawa di sekitarnya terdapat sebuah taman yang cantik dan terdapat sebuah muzium mengenai City Wall.

Heunginjimun merupakan salah sebuah pintu daripada 8 buah pintu dinding Kubu Kota Seoul (Seoul Fortress Wall). Didaftarkan sebagai tapak bersejarah no satu, ianya dibina oleh Maharaja Taejo semasa tahun kelima pemerintahannya (1398) bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada Hanseongbu, penempatan utama fasiliti kerajaan semasa itu. Ianya telah diubahsuai pada tahun 1453 dan bangunan sedia ada sekarang adalah pembinaan semula yang dilakukan pada tahun 1869.





Seoul City Wall Museum

Muzium Dinding Kota Seoul ini merupakan sebuah muzium yang memberikan maklumat mengenai donding Kota Seoul yang bersejarah. Dinding Kota Seoul ini daftarkan sebagai harta negara Korea Selatan yang ke-10 dan mempunyai kepanjangan 18.627 km yang mengelilingi Hanyang (bandaraya Seoul masa kini).

Muzium ini adalah percuma untuk dilawati oleh semua dan mempunyai fasiliti yang baik untuk pengunjung. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web Korea Tourism.




Musim Bunga

Kawasan sekitar taman City Wall ini sangat indah semasa musim bunga. Kerana kawasan ini berbukit dan mempunyai pelbagai warna bunga ditambah pula oleh binaan dinding lama menjadikan ianya latarbelakang foto yang cantik.


Jalan menuju ke atas bukit yang menempatkan City Wall.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.