Selasa, 3 Mac 2015

Berani Berprinsip


Saya berpendapat Khalid Samad tidaklah menunjukkan dengan jelas prinsip beliau di dalam penulisan beliau dan dengan ini tidak menjawab tajuk buku ini. Penulisan beliau hanyalah ulasan beliau yang sekadar begitu-begitu sahaja mengenai isu yang berlaku di dalam Kerajaan Negeri Selangor dan Pakatan. Walaupun mungkin ya dapat dilihat pendapat beliau terhadap beberapa isu namun perbincangan beliau masih sebagai seorang ahli politik yang cenderung merendah-rendahkan parti lawan sahaja. UMNO di dalam buku ini sering di ejek-ejek sahaja. 

Kritikan saya terhadap beliau adalah ketidakjelasan prinsip beliau sendiri terhadap isu Hudud misalnya. Beliau hanya menyatakan pendapat secara umum beberapa tokoh dalam pakatan terutamanya Karpal dan menjawab sedikit-sedikit hujah Karpal itupun bagi saya sangat tidak mendalam.Beliau mempertikai mendiang Karpal yang tidak beragama Islam dan bagi beliau adakah perlu persetujuan bukan Islam pelaksanaan hukum Islam. Ini adalah lucu, karpal sebagai salah seorang rakyat mempunyai hak mempertikai apa yang berlaku di dalam negara terutamanya apabila ianya akan melibatkan perubahan undang-undang dan melibatkan perlembagaan negara. 

Tidak Jelas 

Namun, apa pendapat beliau sendiri mengenai pelaksanaan hudud tidak jelas. Misalnya adakah beliau bersetuju atau tidak dengan pelaksanaannya kerana di akhir penulisan mengenai hudud beliau membuat kesimpulan dengan persoalan dan bukan dengan kenyataan umum mengenai prinsip beliau. Persoalan beliau adalah adakah wajar berbalah dalam soal hudud? Malah beliau membuat kenyataan secara umum bagi orang Islam hudud dilihat sebagai tuntutan agama. Petikan buku

"Bagi orang Islam, ia dilihat dari sudut tuntutan agama. Dengan adanya hudud maka ketaatan orang Islam terhadap agamanya terlaksana, walaupun pada kebiasaannya hudud tidak terlaksana oleh kerana keperluan pembuktian yang ketat dan sukar."

Beliau perlu berhati-hati dalam penulisan kerana sikap pukul rata terhadap umat Islam ini tidak wajar kerana tidak semua umat Islam bersetuju dengan pelaksanaan hudud. 

Masih saya tetap memuji usaha menulis sebegini di mana melalui penulisan sebegini barulah idea dapat disebarluas dan diperpanjangkan ke masa depan. Walaupun ya, harga buku ini terlalu mahal untuk tulisan yang sebegini, masih sahaja saya bersyukur diberikan buku percuma oleh penjual yang baik hati. Sekurang-kurangnya buku percumanya bagus amat. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.