Khamis, 5 Februari 2015

Kopi?

Saya pernah terbaca artikel mengenai kebaikan minum kopi beberapa minggu yang lalu. Kerana saya juga seorang penggemar kopi, saya gembira membaca artikel berkenaan.

Namun saya tetap curiga mengenai kebenaran penulisan sedemikian. Lalu saya menjalankan kajian melalui pembacaan artikel jurnal mengenai topik kopi. Menariknya, jurnal yang saya temui nyata selari dengan kenyataan yang dibuat oleh penulis artikel tersebut.

Jadi, adakah artikel itu benar? 

Jawapannya, artikel itu tidak salah cuma tidak memberikan gambaran sebenar. Apabila kita membuat kajian mengenai sesuatu topik, sebenarnya kita telah mengawal jenis maklumat yang sampai kepada kita. Sebagai contoh kajian mengenai kebaikan kopi, kebanyakan kita akan menaip 'kopi dan kesihatan'. Oleh itu, artikel jurnal yang didapati pastilah selari dengan kata kunci tersebut. Artikel yang tidak menunjukkan bukti kebaikan kopi juga akan tersisih dengan sendirinya.

Cuba anda ubah kata kunci kepada 'keburukan kopi' dan 'kopi dan kanser' serta 'kopi and 'kopi dan tekanan darah'. Artikel yang lain muncul dan ini menjadikan kita keliru. Masih, bagi penggemar kopi, kopi tetap baik.

Saya menganggap penulis artikel berkenaan memang menggunakan bukti saintifik daripada artikel jurnal yang berkualiti, cuma beliau memang sudah berniat untuk menarik hati penggemar kopi supaya menyebarkan artikel di blog beliau. Saya sendiri tertipu dengan kajian yang saya lakukan sendiri mengenai kopi. Yang pasti, minum kopi ada baik dan buruk, cuma jangan berlebihan. Hasil bacaan saya menunjukkan saya harus mengehadkan kepada lima cawan sehari sahaja untuk menikmati kebaikan kopi. Lebih dari itu, kononnya mudah mendapat penyakit darah tinggi.

Entahlah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.