Sabtu, 3 Januari 2015

Agung Tanpa Tengkolok



Pertama



Buku pertama untuk tahun 2015, walaupun buku ini mula dibaca pertengahan bulan Disember 2014. Buku ini dibeli terus daripada Fathi semasa satu sesi perbincangan di Bangsar. Saya memang pernah membaca buku beliau 'Patah Balek' beberapa tahun yang lalu. Mungkin kerana gaya bahasa dan idea Fathi sedikit terikut dengan bahasa Indonesia (pendapat saya) maka saya menyukai tulisan beliau.

Saya mengaku saya sangat menyukai buku-buku tulisan penulis Indonesia jadi tidak hairan saya jadi tertarik dengan gaya penulisan Fathi. Bukan setakat gaya bahasa namun idea yang diketengahkan beliau juga sangat mengiurkan. Walaupun semasa di dalam perbincangan di Jalan Telawi itu, Fathi menyatakan beliau mahukan kritikan diberikan kepada penulisan beliau berbanding pujian, saya tetap sahaja akan memuji penulisan ini. Kritikan tetap ada tetapi biar saya berikan sisi menarik buku ini dahulu.

Prakata

Permulaan buku dengan prakata daripada Ammar Ghazali sudah mengasyikkan. Ammar menyatakan ketagihan beliau terhadap perbincangan di Jalan Telawi. Saya faham situasi beliau. Wacana dan perbincangan seolah membuatkan masa terlalu singkat. Masih saya tetap merasakan wacana dan perbincangan sering dikuasai lelaki lalu membataskan perempuan untuk turut serta. Ok, abaikan keluhan saya. Namun saya agak bersetuju dengan pandangan Ammar iaitu "barangkali dalam saat tertentu belajar bertanya soalan yang benar lebih baik daripada mendapat jawapan yang benar." Bagi Ammar, Fathi menawarkan soalan yang benar. Bagi saya, Fathi melontarkan terlalu banyak soalan!

Baca dan baca dan baca

Pertamanya, membaca keseluruhan buku ini membuat saya sedar betapa sedikitnya buku mengenai idea dan pemikiran yang tidak dibaca oleh saya. Maka, bagusnya buku ini membuat pembaca membuat bacaan susulan. Bagi saya, buku yang baik adalah buku yang membawa pembacanya membaca buku yang lain seperti rantai yang saling berkait. 


Kritik

Buku ini mengajak pembaca melihat pelbagai persoalan dan menawarkan pelbagai kritikan. Saya bersetuju dalam kritikan Fathi terhadap sikap kolektif masyarakat yang sering terkadang mengabaikan individu, meremehkan debat dan mengekang kebebasan bersuara. Dalam nada sinis beliau menulis "Sehingga kejujuran di negara kita harus berbisik-bisik, rasa kebenaran dan keadilan ditelan kembali ibarat ludah yang tidak jadi" 

kebanyakan artikel Fathi di dalam buku ini menyentuh cara kebanyakan rakyat negara ini beragama. Beliau mengajak pembaca menilai semula kepercayaan terhadap agama. Bagi saya, ini adalah sisi penting buku ini. Bagi beliau situasi politik yang tidak demokratik di negara kita meyebabkan wacana baru dalam agama sukar dilakukan. Terlalu banyak yang dilemparkan, anda perlu membacanya sendiri. 

Keseluruhan

Walaupun buku ini menggunakan tajuk "Agong Tanpa Tengkolok", setelah membaca keseluruhan buku ini saya merasakan Fathi hanya menggunakan tajuk ini kerana mahu menarik pembaca sahaja. Memang tajuk buku ini diambil dari artikel pertama buku ini tetapi masih sahaja ianya hanya tajuk yang sedikit kontroversi buat pelaris buku, malah kulit buku ini sahaja sudah cukup menggambarkan pendapat saya. Ini kerana artikel beliau seterusnya lebih banyak merujuk kepada kritik beliau terhadap agama. Jangan salah faham, saya sekadar menyatakannya disini. Memang penulis terkadang perlukan strategi sebegini. 





Namun saya sedikit kecewa kerana kebanyakan artikel ini adalah daripada tahun 2005 dan sekitar tahun 2007 dan 2008. Hanya beberapa artikel beliau yang terkini dan dimasukkan ke dalam kumpulan artikel ini. Walaupun sedemikian terdapat juga artikel yang telah lama ditulis tetapi tidak diterbitkan, jadi ianya masih boleh dimaafkan.


#PerempuanHarusBicaraBagiPihakDirinya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.