Selasa, 30 Disember 2014

Usaha

Perkenalan

Beberapa tahun yang lepas, seorang lagi ahli rumah baharu diperkenalkan di rumah sewa kami. Ketika itu kawan saya itu masih di tahun akhir pengajian walaupun usianya melebihi saya yang sudah pun bergraduasi. Saya memanggil beliau dengan panggilan kakak. Usia beliau membuatkan saya berteka-teki mengenai kisah hidupnya.

Setelah berkenalan, barulah saya diberitahu bahawa beliau mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia  (STPM) sebanyak dua kali. Saya kagum mendengar kisah beliau. Bagi saya yang melalui jalan biasa untuk mendapatkan tempat di universiti, melalui matrik yang hanya setahun kemudian terus ke tahun pertama univesiti. Saya pasti beliau seorang yang luar biasa.

Mari saya ceritakan kisah beliau. Kerana saya yakin cerita-cerita seperti inilah yang diperlukan oleh masyarakat. Kerana cerita ini juga inspirasi saya.

Hidup susah 

Ibunya, ibu tunggal. Dia seorang yatim sejak berumur dua tahun. Kehidupannya susah. Tiada kenderaan. Hanya dia seorang sahaja yang berjaya memasuki universiti. Dia adalah harapan keluarga.

Baginya, hanya dengan bersungguh sahaja yang boleh dilakukan untuk merubah nasib keluarga. Bersungguh yang luar biasa!

Pada kali pertama mengambil peperiksaan STPM, beliau menghadapi tekanan emosi kerana menghadapi masalah keluarga. Masalah itu terlalu berat. Dia selalu menangis sendiri. Akhirnya peperiksaan untuk salah satu subjek tidak diduduki. Beliau gagal buat STPM yang pertama.

Lalu buat kali kedua beliau tanpa segan silu tetap hadir ke sekolah menghadiri kelas bersama pelajar yang lebih muda untuk meneruskan pembelajaran. Lalu STPM diambil buat kali kedua dan beliau lulus dan melayakkan beliau memohon tempat di universiti. Akhirnya beliau mendapat tempat di Universiti Malaya dan kini sudah bergraduasi dan bekerja menyara keluarga.

Azam Sebagai Modal

Manusia yang pernah hidup susah dan hanya berfikir bahawa hanya azam dan usaha bersungguh-sungguh sahaja yang akan membuat situasi hidupnya berubah. Sesiapa sahaja yang berbekalkan sejenis azam sebagai modal. Sesiapa yang hanya tahu kerja kuat sahaja akan buat segalanya berubah. Saya juga percaya yang sama. Tiada apa yang mudah di dalam hidup ini. Jika tidak bersungguh, tiada apa yang kita miliki. Hidup ini pasti lebih sukar jika begitu. Sekurangnya kita masih punya kesungguhan.


p/s: Ini adalah salah satu keindahan mengenali manusia. Sering, belajar dari manusia yang lain akan membuatkan kita sedar diri.

#PerempuanHarusBicaraBagiPihakDirinya

Rabu, 24 Disember 2014

Manusia dan Manusia

Permulaan minggu ini sungguh baik dengan selesainya sebuah tugasan yang telah diusahakan selama sebulan. Maka saya berjanji untuk memberikan penghargaan buat diri sendiri. Saya mahu bermalas-malasan. Saya mahu membaca dengan tenang. Maka saya memulakan bacaan Agong Tanpa Tengkolok. Bahasanya mudah dan menarik. Tetap juga saya tertidur.  

Parti Hari Jadi Sarah

Jemputan yang diterima dua minggu yang lepas. Sarah adalah rakan kembara saya. Kami baik semasa saya aktif mengikuti beberapa program NGO. Nyata parti Sarah adalah tempat saya melepaskan lelah belajar buat seketika. Hubungan manusia dan manusia bagi saya luar biasa. Kita tidak tahu bila kita akan bertemu rakan yang cocok. Pertemuan berkali-kali tidak menjamin persahabatan, mungkin yang perlu hanya keserasian.  

Paulo Coelho

Sahabat baik di kampus tiba-tiba mengirim whatsapp bertanya khabar. Sebenarnya khabar dirinya yang ingin disampaikan. Beliau kemalangan berdekatan dengan UM. Saya bergegas ingin bertemu. Syukur, beliau hanya luka kecil.  Kami adalah rakan berbual yang baik. Sering perbincangan kami meleret berjam-jam. Walaupun tidak selalu bertemu, setiap pertemuan sangat mengasyikkan. Pertemuan di bilik beliau sambil makan malam burger udang mengimbau kemalangan kecil itu. Lalu merebak ke perbincangan yang pelbagai dan mengenai buku. Lalu buku Paulo Coelho beliau, 'The Fifth Mountain' saya pinjam. Hari ini hari yang baik. Semoga yang baik-baik sahaja di masa depan. 

#PerempuanHarusBicaraBagiPihakDirinya!





Isnin, 22 Disember 2014

The Tipping Point



Bertukar Fikiran

Buku ini adalah pemberian Aunty Fadillah, seorang nenek kepada anak murid saya. Kami memang banyak berbual dan bertukar fikiran lalu beliau mengetahui minat saya terhadap membaca. Kami berdua berkongsi minat yang sama terhadap tulisan Malcolm Gladwell. Dengan jujur saya memberitahu bahawa saya hanya baru membaca dua buah buku hasil tulisan Gladwell iaitu Blink dan Outliers. Kami berdua lalu rancak berkongsi bahagian buku yang kami gemari. Saya memberitahu beliau fakta mengenai pemain hoki ais yang lahir pada bulan Januari adalah antara yang paling saya ingati. Bagaimana bulan kelahiran secara tidak langsung turut mempengaruhi peluang kejayaan seseorang. The Blink pula menguatkan kepercayaan saya terhadap intuisi. Jujur saya katakan 'The Blink' antara buku yang menginspirasi saya dalam membuat keputusan untuk menyambung pelajaran.

Hadiah

Hasil perbualan itu beliau menghadiahkan saya beberapa buah buku dan salah satunya adalah The Tipping Point dengan syarat sekiranya beliau mahu membacanya kembali beliau boleh meminta kembali buku ini untuk dipinjam. Saya bersetuju sahaja. Saya bertemu rakan yang baik. Walaupun jarak umur kami berbeza, Aunty Fadillah saya anggap sebagai rakan bual yang baik.

Malcolm Gladwell di dalam bukunya sering menggunakan kajian sosial yang dilakukan di universiti sebagai contoh diantaranya kajian popular seperti eksperimen surat berantai Milgram, kajian "Stanford Prison" dan kajian sosial "The good Samaritan" oleh John Darley.

'The Connector'

Perkara yang paling saya sukai di dalam buku ini adalah teori 'the connector' atau si penghubung. Manusia yang menjadi penghubung ini adalah sangat penting dan secara umumnya penghubung ini tidak menyedari mereka adalah 'the connector'. 'The connector' mempunyai jaringan sosial yang banyak, rakan yang banyak dan menikmati kehidupan bersahabat.

Setelah membaca ciri 'the connector' saya mula mencari siapa yang menjadi 'the connector' di lingkungan sahabat saya. Secara tidak sedar saya melakukan kajian sosial saya sendiri.


'The Stickiness Factor'

'The stickiness factor' adalah berdasarkan kajian  tentang siri rancangan televisyen untuk kanak-kanak. Berdasarkan kajian yang dilakukan, maka terhasillah siri Sesame Street. Membaca bahagian buku ini adalah menarik kerana banyak yang dapat saya gambarkan kerana saya sendiri adalah salah seorang peminat siri Sesame street semasa kanak-kanak. Apabila Gladwell menyebut tentang burung kuning besar bersama karakter gajah, saya faham dengan sendiri. Kemudian beralih pula kepada Blue's clues. Teori bagaimana rancangan kanak-kanak ini dapat meningkatkan perhatian kanak-kanak terhadap televisyen supaya mereka dapat belajar melaluinya. Hasilnya, lihat sahaja bagaimana kanak-kanak kini mula berinteraksi dengan televisyen yang tidak bernyawa itu.

Polis New York

Kisah bagaimana Jabatan Polis New York membendung jenayah dengan bermula daripada usaha kecil iaitu membenteras grafiti. Rupa-rupanya melalui pembenterasan grafiti polis dilihat lebih serius dalam menangani jenayah dan keadaan ini mewujudkan suasana yang akhirnya mengurangkan kemungkinan penjenayah baru wujud.

Ya-Ya Sisterhood

Ini kali pertama saya mendengar judul buku ini. Salah satu kebaikan membaca buku adalah anda akan terdorong untuk membaca bahan bacaan lain yang diperkenalkan penulis. Ianya seakan virus yang berjangkit, pembaca buku tegar selalunya akan sentiasa menemukan judul-judul buku untuk yang seterusnya. Kisah bagaimana buku ini berjaya adalah melalui kumpulan-kumpulan kecil yang menjadikan buku beliau sebagai bahan bacaan perbincangan. Kumpulan-kumpulan ini selalunya saling berkait lalu secara tidak sedar melakukan kempen terhadap buku ini. Secara asasnya mestilah buku ini memang sedia ada bagus, namun faktor buah mulut kumpulan membaca ini menjadikan buku Ya-Ya Sisterhood popular.

Keseluruhan

Saya tahu saya tidak akan kecewa dengan penulisan Malcolm Gladwell. Saya mengaku saya adalah pembaca yang memilih penulis. Sekiranya saya sudah meminati penulis tertentu, saya akan cuba membaca dari penulis yang sama. Saya seorang yang setia. Namun apabila beliau sering menggunakan hasil kajian orang lain misalnya kajian Milgram, kajian John Darlaey dan sebagainya, ini sedikit mengecewakan saya. Beliau harus melakukan kajian sendiri berbanding hanya mengambil manfaat dari kajian orang lain.

#PerempuanHarusBicaraBagiPihakDirinya!




Ahad, 21 Disember 2014

Perempuan Harus Bicara Bagi Pihak Dirinya

Saya mahu terbang

Rancangan asal saya adalah menghabiskan cuti semester untuk terbang ke mana-mana terbantut dek tugasan yang tidak selesai. Rupa-rupanya ada hikmah di sebaliknya, saya punya masa untuk menulis kembali di ruangan ini. Ruang tulis yang sudah sedikit lama saya tinggalkan. Rindu saya untuk menulis dalam Bahasa Melayu membuak-buak dek tugasan-tugasan universiti yang perlu ditulis di dalam bahasa Inggeris yang beribu-ribu perkataan itu. Jangan salah faham, saya tetap suka melakukan tugasan-tugasan tersebut. Biasalah dalam bercinta kadang-kadang gaduh sayang. Tugasan-tugasan itu adalah cinta-benci saya. 

Azam tahun baru

Saya memutuskan untuk menulis setiap hari. Di sini. Perbincangan dan diskusi yang saya hadiri sejak akhir-akhir ini membuatkan saya melakukan keputusan ini. Betapa sedikitnya tulisan daripada kalangan perempuan dan betapa sedikit perempuan terlibat dalam wacana. Sering, hanya sosok tubuh lelaki yang dibawa kehadapan dalam pelbagai pentas perbincangan. Saya cemburu sendiri. Maka saya berazam untuk memulakan kempen #PerempuanHarusBicaraBagiPihakDirinya. 

"Herstory"

Sahabat saya dalam diskusi kami di Fakulti sastera menyebut betapa terma sejarah dalam bahasa Inggeris itu sendiri terlalu patriarki, "history". Saya ketawa sendiri. Beliau menyambung dengan berkata "Mengapa tidak digunakan 'herstory'?". Sifat patriarki dalam sejarah adalah jelas. Ini adalah kerana yang menulis mengenai sejarah adalah lelaki dan ini juga disebabkan oleh keterbatasan perempuan terhadap akses pendidikan yang dimonopoli lelaki. Penindasan terhadap perempuan yang berterusan lantas menyebabkan jumlah tokoh perempuan yang ditulis dalam sejarah adalah sangat sedikit. Salah satunya, memang kerana ketiadaan tokoh wanita sendiri. Sebab lain adalah kerana wanita sendiri tidak menulis perihal dirinya. 

Jika kita melihat sejarah Asia Tenggara sendiri, betapa sedikit tokoh wanita yang diangkat dan diperkenalkan. Kebiasaannya hanya salasilah Sultan atau Raja-raja sahaja yang jelas tertulis. Tidak banyak catatan mengenai ratu dan permaisuri. Malah situasi sedikitnya penulisan ini berlaku di seluruh perjalanan sejarah dunia. 

Maka, saya menyeru diri saya agar menulis. Tiada siapa yang  sebenarnya layak bicara mengenai kamu kecuali kamu sendiri. Bagi saya, Perempuan harus bicara bagi pihak dirinya. 

Peradaban? Kaca mata siapa?

Menghadiri sebuah pelancaran buku bertajuk "Islamic Civilization and The Modern World" tulisan Prof Datuk Dr. Osman Bakar, mengingatkan saya perbincangan saya dengan Nicol kelmarin. (Mungin perbincangan mengenai buku ini akan dilakukan kemudian saya lebih tertarik untuk menulis perbincangan santai kami)

Kami berbincang panjang tentang bagaimana definisi peradaban itu sendiri adalah lambang penindasan terhadap sesetengah manusia. Manusia yang mendefinisikan peradaban adalah manusia yang elitis. Lalu pada kaca mata elitis mereka yang tinggal berkelompok di dalam hutan adalah primitif dan tidak bertamadun. Mereka yang tidak tahu baca dan tulis tidak bertamadun. Mereka yang masih berburu ini dianggap tidak bertamadun kerana kononnya bagi golongan elitis ini, mereka sudah melakukan bela dan ternak secara besar-besaran dan ini adalah tamadun.

Sekiranya manusia yang hidup berkumpulan (tribal) ini mendefinisikan tamadun dalam kaca mata mereka sudah pasti berbeza. Bagi mereka, manusia yang berguna dan bertamadun adalah yang tahu memancing ikan dan membawa pulang makanan. Yang paling bertamadun sudah pasti yang boleh memburu dan membawa hasil hutan. Secara peribadi saya merasakan mereka yang masih menjalankan kehidupan tribal ini sangat bebas dan tidak terikat. mereka tidak perlu takut krisis kewangan dunia dan kejatuhan ekonomi, mereka masih boleh mencari makan dalam situasi itu. Mereka tiada hutang bertimbun yang menghimpit. Mereka hidup harmoni sesama mereka.

Kita semua terperangkap dalam definisi tertentu dan dalam kaca mata tertentu. Saya ingin mengajak supaya kita semua melihat dunia dalam sisi yang berbeza. Mari kita kritik segala jenis definisi yang umumnya diterima pakai ramai. Mari kita persoalkan pemikiran yang sepertinya sudah sebati dalam masyarakat dalam bentuk fikir yang lain supaya lebih ramai yang melihat dari sisi bawah.

Sama seperti kita melihat nilai duit dalam kaca mata tertentu. Saya memandang RM100 sebagai kecil , beberapa buah buku sahaja yang dapat dibeli. Bagi orang lain mungkin mereka memandang RM100 adalah sebuah jumlah yang besar iaitu perbelanjaan makanan untuk sebulan. Saya ingin tamadun dilihat dari kaca mata orang banyak, kaca mata orang yang ditindas. Nicol dengan jujur berkata kepada saya, dia mahu perempuan miskin berbicara bagi pihak dirinya bukan para elit korporat yang bercakap bagi pihak mereka. Saya tidak menafikan penglibatan golongan elit ini, mereka melakukan usaha yang murni. Cuma kita perlukan suara manusia biasa, yang tiada apa-apa, bersuara bagi pihak mereka sendiri.

Sabtu, 20 Disember 2014

Kekeliruan Harus Diraikan

Ketika saya sedang giat menyelesaikan ijazah pertama saya di dalam bidang sains bioteknologi, saya sudah mula mengumpul bahan bacaan yang di luar bidang yang saya pelajari. Sampai satu ketika saya terfikir bilakah saya akan menggunakan dengan sepenuhnya bahan bacaan ini. Terkadang ada buku yang tidak terjamah dek bahasanya yang terlalu tinggi dan kesukaran saya memahami prakatanya. Masih saya ingat judul bukunya 'Ancaman kolektivisme', buku yang dibeli di Jakarta dalam sesi lawatan ke Utan Kayu. Sangat teruja dengan sesi perbincangan buku yang hangat oleh anak muda di sana membuatkan saya cemburu lalu buku ini saya beli tanpa ragu. Nyata apabila pulang ke Kuala Lumpur, buku ini sepi tidak tersentuh.

Apabila saya menyambung pengajian saya dalam pengajian ASEAN,tanpa saya sedari, saya sudah mempunyai sebuah koleksi yang sekadarnya untuk pengajian ini. Saya tidak pernah merancangnya, namun beberapa buku yang berkaitan ekonomi dan sejarah rupa-rupanya sudah dimiliki oleh saya. Malah, ada juga buku-buku ini saya beli dengan harga murah ataupun dikumpul secara percuma sangat berguna dalam sesi perbincangan di dalam kelas. Maka, saya mula menyelongkar semula kotak-kotak buku saya serta mengingat-ngingat kembali kedudukan buku tersebut di rak. Sungguh luar biasa perasaaannya. Buku yang dulu sepi mulai menari disentuh saya.

Semasa saya dalam pengajian bidang sains, saya masih ingat hanya tiga buah buku yang dibeli untuk pengajian tersebut. Itupun kerana buku tersebut ditulis oleh pensyarah sendiri ataupun saranan pensyarah kerana buku tersebut adalah isi kuliah beliau. Tidak pernah saya terfikir untuk membeli bahan bacaan tambahan. Mungkin atas sebab harganya yang mencecah ratusan ringgit. Namun yang pasti, jawapan sebenar adalah minat. Sekiranya anda mempunyai minat yang mendalam terhadap sesuatu bidang ilmu, percayalah bahawa anda tidak akan lokek untuk membeli buku yang berkaitan.

Kehidupan ini adalah perjalanan yang tidak terduga. Kita tidak akan pernah menyangka sesuatu perubahan boleh berlaku malah kita juga tidak akan boleh meramal masa depan. Dulu saya menyangka kekeliruan adalah sesuatu yang buruk dan harus dielak. Namun kini saya melihat keliru dalam bentuk yang lain. Kekeliruan harus diraikan. Kekeliruan membawa kita ke dalam perbincangan. Semasa dalam suasana keliru atau bingung kita akan memaksa diri untuk mencabar kebingungan kita. Kekeliruan adalah proses mencapai satu tahap fikir yang lain. Saya tidak tahu apa yang akan terjadi di masa depan, mungkin rangka fikir saya akan berubah. Saya adalah manusia yang berbeza dua tahun yang lalu. Semalam sahaja sudah pasti berbeza dari hari ini . Namun yang pasti saya sedang keliru!




Mencabar Dogma


Sebuah simposium yang membincangkan bagaimana membendung ekstremism keganasan beberapa minggu lepas masih segar dalam ingatan saya. Diskusi menarik dengan para hadirin saling berbincang dalam nada tenang dan matang. Pembentang menampilkan pemikiran mereka masing-masing. Dr Syed Farid Al-Attas membawa konsep bagaimana perlunya keseimbangan dalam beberapa aspek yang perlu untuk mewujudkan Islam yang lebih moderat. Beliau juga menyatakan kekecewaan beliau terhadap tindak tanduk kerajaan yang tidak menampilkan sikap moderat yang pernah kita miliki dahulu.

Hadirin lalu dibawa berfikir dan menyelongkar fahaman masing-masing dengan pembentangan Prof Ebrahim Moosa. Menariknya sesekali Prof Ebrahim Moosa membaca bait-bait puisi Muhammad Iqbal di dalam bahasa Urdu bersama terjemahan Inggeris. Bagi beliau, puisi juga salah satu cabang ilmu yang perlu dikuasai. Tidak mahu kalah Dr Syed Farid Al-Attas turut membacakan bait-bait puisi Rumi.

Paling mengesankan saya adalah cabaran Prof. Ebrahim Moosa terhadap cara pandang umat Islam terhadap Islam sendiri. Umat Islam harus berani mencabar kebenaran al-Quran. Umat Islam harus berani mencabar pemikiran yang tersusun yang diperturunkan. Bukan dalam nada menolak tetapi dalam nada fikir yang dalam, dalam pertimbangan yang rasional dalam kerangka fikir yang baru. Kita harus berani

Hadirin malah disuruh imun sendiri. Imun dari pemikiran yang salah adalah dengan keilmuan. Bagi Ebrahim Moosa, ianya bukan kerja senang, umat Islam kini perlu kebal dengan ilmu yang pelbagai barulah dapat mendepani cabaran pemikiran yang pelbagai. Anggukan saya hadir seiring dengan saranan beliau. Menurut pemikiran saya, imunisasi ini perlu datang dengan pakej, umat Islam perlu tahu Al-Quran, perlu tahu hadith, perlu tahu sejarah, perlu punya kekuatan bahasa, perlu tahu sains dan teknologi, perlu tahu falsafah dan perlu juga tahu berani. Tanpa berani, ilmu mati sia-sia.

Bagi saya, mencabar dogma adalah salah satu cara menilai semula bentuk kebenaran yang kita fahami. Jangan risau sekiranya kita tidak menemukan jawapan. Jawapan pastinya bukan di tangan kita, malah kehidupan panjang ini sehingga mati pun kita akan sering mencari. Bagi saya pencarian inilah satu kebenaran. Kebenaran tidak akan pernah berhenti selagi hidup. Manusia yang berhenti mencari, itu manusia mati.

p/s: Sering sahaja idea menulis hadir ketika ada kerja tulis lain yang perlu diselesaikan. Penulisan ini ditulis ketika saya ketegangan fikiran untuk menyelesaikan tugasan yang perlu diserahkan esok. Nampaknya, malam ini saya masih perlu berjaga.