Sabtu, 30 Ogos 2014

Tema Merdeka 2014


Cinta dan tragedi

Tema kemerdekaan tahun ini "Di sini lahirnya sebuah cinta" merupakan antara tema kemerdekaan yang paling saya gemari sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Malah, boleh dikatakan tema kali ini sangat bijak diperkenalkan setelah beberapa tragedi yang melibatkan negara kita. Tragedi yang melibatkan dua buah pesawat MAS itu telah membuat mata dunia melihat Malaysia dengan lebih dekat lagi. Saya percaya kali ini lebih banyak liputan antarabangsa yang akan dilakukan sempena Sambutan Kemerdekaan di Dataran Merdeka.

Memandangkan pemerintah melihat akan bertambahnya liputan dunia terhadap sambutan kemerdekaan kali ini, saya perhatikan sambutan kali ini dilakukan dengan lebih teliti. Malah kali ini kerajaan mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan TV3 dan memperkenalkan Upin Ipin sebagai ikon seperti yang dinyatakan oleh Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek di Malaysia Hari Ini. Semoga semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang.

Iklan

Namun begitu, kali ini saya perhatikan kebanyakan tema iklan kemerdekaan di Malaysia mempunyai tema yang lebih segar dan mungkin lebih 'catchy' iaitu Malaysia sebagai sebuah keluarga besar. Maxis dan Digi dengan tema Malaysia sebagai sebuah keluarga besar sangat menarik dengan menggunakan perkataan makcik, abang, adik, kakak, pakcik, anne, macha dan sebagainya, iklan mereka sangat sesuai untuk menggambarkan Malaysia. Kerana saya juga sentiasa melakukan perkara yang sama iaitu memanggil sesiapa sahaja orang yang tidak dikenali dengan panggilan keluarga. Sebenarnya saya agak terkejut kerana kedua-dua iklan ini sangat serupa temanya cuma kedua-duanya menggunakan kreativiti yang berbeza untuk menampilkan tema tersebut.

Malaysia sebuah keluarga besar

Maxis menggunakan pendekatan yang berunsur humor dan menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia berkomunikasi pada pandangan seorang warga asing di Malaysia. Walaupun kita semua tidak mengenali tetapi kita berbicara dalam bahasa keluarga. Menarik.

Digi pula menggunakan teknik kajian sosial untuk menunjukkan kemesraan panggilan rakyat malaysia sesama mereka. Seorang pemuda dengan spontan memanggil sesiapa yang tidak dikenali dengan panggilan makcik, pakcik, adik, aunty, abang, bro dan sebagainya dan merakam reaksi mereka. Kajian sosial ini jelas menunjukkan betapa ramai yang memberi reaksi positif terhadap paggilan tersebut terhadap mereka.

Wrap up!

Terdapat juga iklan yang melakukan sedikit kretiviti dengan melakukan imbas semula begitu banyak peristiwa yang menggemparkan Malaysia melalui lagu rap iaitu iklan Hotlink. Daripada kejadian kejadian Cadbury, kehadiran Taylor Swift, Soup Kitchen, Bukit Bintang berlubang, kejadian MRT runtuh dan banyak lagi semuanya disimpulkan dalam satu lagu. Penuh dengan nasihat dan sindiran, iklan ini juga menarik perhatian saya. Paling menarik, sempat juga mereka menampilkan wak Doyok yang agak popular sejak kebelakangan ini. Malaysia tetap Malaysia penuh dengan kisah lucu.

Perodua dengan konsep lagu yang menampilkan segenap lapisan pekerja mereka juga tidak kurang menariknya, namun ianya mempunyai sedikit persamaan dengan konsep iklan raya TNB yang mendapat sambutan hangat dikalangan penonton.

Keseluruhannya, iklan yang paling saya sukai adalah iklan Hotlink dan Digi yang menampilkan sisi menarik Malaysia yang sukar ditemui di negara lain. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke 57!



Khamis, 28 Ogos 2014

A friend of mine


She's a friend of mine,
she always smile and now she cried,
silence....

She know I'll never asked,
I know it will make it hard,
told her " I'm here "
we hug each other.

The reason,
that I will never asked,
The silence moment that we had,
The only thing that I can do,
to comfort her,
The friend of mine.

Khamis, 21 Ogos 2014

Hidup Tanpa Rahsia


Tidak Tahu Yang Bahaya

Kita tidak tahu bila kita pula menjadi mangsa, dirakam tanpa disedari lalu video perbuatan kita disebarkan di internet. Bayangkan apa-apa sahaja perbuatan, yang mungkin merupakan sekadar kesalahan kecil dan anda tidak menyangka perbuatan anda dianggap tidak sesuai pada norma masyarakat lalu dirakam oleh individu yang tidak dikenali lalu dimuat masuk ke laman web sosial internet misalnya Facebook dan Youtube. Individu yang tidak anda kenali juga malah memberitahu seluruh dunia maklumat terperinci mengenai anda di laman blog mereka termasuk alamat, bekas teman lelaki, nombor kad pengenalan, malah nombor telefon peribadi juga nombor pendaftaran kenderaan anda. Bukan seorang dua mengetahuinya, malah anda juga dijadikan bahan jenaka di stesen televisyen di negara lain. Tanpa disedari, penggodam mengambil alih laman sosial anda di alam maya.

Bukan setakat itu, malah wajah anda juga tiba-tiba menjadi muka depan akhbar, disebut-sebut nama anda di dalam radio tidak ketinggalan menjadi sari berita penting di televisyen. Kehidupan peribadi manusia kini sangat rapuh, malah perbualan peribadi anda dengan manusia lain di pelbagai jenis perkhidmatan pesanan ringkas sms, whatsapp, facebook, instagram dan sebagainya, dengan mudahnya ada manusia lain melakukan printscreen dan menjadikan ianya maklumat umum. Tidak ada lagi rahsia. Tidak tahu siapa musuh mahupun rakan. Malah, sahabat karib juga mungkin tanpa disedari merupakan penyumbang kepada kebocoran maklumat peribadi anda. Email peibadi juga mungkin diceroboh dan digodam.

Percaya atau tidak?

Masyarakat dan kamu boleh sahaja memilih untuk tidak percaya atau percaya. Namun kepercayaan manusia itu selalu dibentuk oleh pendapat banyak. Maka sering pendapat manusia terarah ke satu sudut lalu membentuk satu hukuman sosial yang bernada sama. Boleh jadi adil, boleh jadi tidak. Boleh jadi kesan baik. Boleh jadi buruk. Yang pasti kehidupan manusia yang teraniaya itu tidak akan pernah sama. Mangsa tidak akan sama seperti pemangsa. Mangsa akan terus trauma, seringkali terus menyepi, paranoid. Mungkin budaya di negara ini tidak sama seperti di negara lain, norma masyarakat kita membuatkan jarang berlakunya kejadian bunuh diri namun saya yakin kesan lain misalnya kurang keyakinan diri yang sangat tinggi, penyakit mental, paranoid atau fobia, tekanan perasaan pasti akan berlaku. Tidak mustahil juga sekiranya negara ini dikejutkan oleh kejadian bunuh diri suatu hari nanti.

Bagi saya, manusia-manusia yang menyebarkan aib manusia lain malah dengan sengaja mencari-cari aib manusia lain ini adalah manusia yang tidak manusiawi. Di mana perikemanusiaan kamu? Sekiranya kamu menyedari seandainya kejadian yang sama menimpa kamu, kamu akan tahu betapa bezanya keadaan seorang mangsa dan pemangsa. Namun sudah pasti kamu sebagai pemangsa mungkin sangat bijak dan mampu mengelak kejadian yang sama berlaku ke atas kamu.

Kamu pakar siber. Mungkin sangat hebat melakukan perbuatan mencuri maklumat, malah mungkin boleh memalsukan maklumat kamu sendiri, jadi kamu tahu kamu sukar dikesan dan ditangkap. Sebagai manusia, saya ingin memberitahu kamu para pencuri maklumat dan para penyebar aib manusia, kehidupan ini memang diciptakan untuk ada ketika kita merasa senang, ada ketika kita merasa susah. Kamu belum tentu tahu bila nasib kamu berubah, satu hari nanti tatkala kamu mengalaminya barulah kamu tahu betapa alam ini diciptakan agar manusia menjadi baik. Manusia mesti baik dengan manusia yang lain, barulah dia manusia. Tidak tahu bila. Saya pasti pencipta alam ini mengenali kamu.

Hati-hati

Sering, malah ramai yang mengatakan berhati-hatilah tatkala anda berkongsi maklumat di laman sosial. Saya tidak akan mengulang frasa yang sama, kerana saya tahu bahawa jawapan terhadap hati-hati itu masih tidak cukup. Sejauh mana kita di zaman ini berhati-hati, malah manusia yang tidak memiliki laman facebook dan email serta sebagainya juga masih terdedah dengan situasi yang sama. Tanpa disedari anda begitu terkenal di dunia siber. Tanpa disedari perbualan anda dirakam oleh manusia tidak dikenali. Sebab itu tajuk artikel saya hari ini adalah hidup tanpa rahsia. Percayalah cakap saya, hati-hati berkongsi maklumat tidak memadai!

Dengan nada yang lebih santai ada juga yang berkata, berhati-hatilah dalam setiap perbuatan kita di mana-mana sahaja. Mereka bercakap seolah-olah tidak pernah melakukan perkara salah, seolah-olah berkata 'lihatlah bagaimana aku melakukannya' atau 'lihatlah kebaikan aku'. Atau lebih tepat lagi, seolah-olah mereka mengaku sebagai polis moral. Sekali lagi saya katakan kepada mereka si pemberi nasihat, sekiranya kita masih belum menjadi mangsa, jangan berkata sombong.Anda tidak tahu siapa penulis alam maya ini, boleh jadi di mana-mana. Maklumat anda boleh diperoleh dengan mudah, menjadi mangsa di alam siber kini sangat mudah. Kita malah tidak pasti apa yang masyarakat fikir betul atau salah. Moral kini ditentukan oleh orang banyak. Malah, kalau difikirkan terlalu banyak yang tidak boleh di masyarakat kita. Setuju bukan? Maaf, anda boleh sahaja tidak bersetuju dengan saya, kerana kehidupan ini memang berwarna-warni.

Mereka yang menjadi penulis siber,penggodam, kononnya penyebar maklumat semasa, tulisan ini adalah nasihat saya kepada kamu. Hidup pasti mengesankan jika kamu baik, hiduplah tanpa penyesalan. Kamu tidak tahu bila kehidupan akan memberikan  kamu satu pengajaran. Boleh sahaja di sini, boleh sahaja di sana. Siapa pun kamu, saya manusia, kamu juga manusia, sesiapa yang pernah menjadi mangsa di alam siber juga manusia, marilah sama-sama kita menjadi manusia. Simpati saya kepada sesiapa sahaja yang pernah menjadi mangsa di alam siber. Tabahlah dan yakin diri.


Sabtu, 9 Ogos 2014

Nota 1: Pengenalan ASEAN


Pendahuluan:

Apabila melakukan perbincangan mengenai ASEAN kita haruslah mengetahui jenis perbincangan yang dimaksudkan.Terdapat tiga jenis ASEAN yang yang diperbincangkan iaitu:

  1. ASEAN sebagai Institusi. (ASEAN as institution)
  2. ASEAN sebagai satu kawasan atau wilayah. (ASEAN as region)
  3. ASEAN sebagai sebuah proses atau mekanisma. (Asean as a process or mechanism)
Dalam perbincangan ini ianya adalah mengenai ASEAN sebagai satu institusi.

Penubuhan ASEAN:

Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara atau lebih dikenali sebagai ASEAN telah ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 di Bangkok, Thailand melalui sebuah majlis menandatangani deklarasi yang dikenali sebagai Deklarasi ASEAN atau Deklarasi Bangkok. Pada permulaannya hanya Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina yang menganggotai deklarasi ini namun Singapura kemudian membuat permohonan untuk turut serta menjadi salah satu anggota pertubuhan ini menjadikan 5 buah negara pertama yang menandatangani deklarasi ASEAN. Pertemuan kesemua negara ini dilaksanakan di Bangkok kerana ketika itu Malaysia tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Indonesia dan Filipina. Oleh sebab Thailand tidak mempunyai isu dengan negara lain maka Bangkok dipilih sebagai tempat pertama meja pertemuan ASEAN.

Brunei Darussalam kemudian menyertai ASEAN pada 7 Januari 1984, diikuti dengan Viet Nam pada 28 Julai 1995, Myanmar dan Laos pada 23 Julai 1997 dan Kemboja pada 30 April 1999 menjadikan keanggotaan ASEAN mencecah 10 buah negara. 

Matlamat dan Tujuan:

Seperti yang dipersetujui di dalam deklarasi ASEAN pada tahun 1967, berikut merupakan matlamat dan tujuan asas penubuhan ASEAN:

  1. Untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, peningkatan sosial dan pembangunan budaya serantau.
  2. Mempromosi keamanan dan kestabilan serantau.
  3. Mempromosi kerjasama aktif dan jaringan bantuan bersama terhadap minat bersama di dalam pelbagai bidang seperti budaya, sosial, teknologi, saintifik dan lingkungan pengurusan.
  4. Saling memberi bantuan di dalam bentuk latihan dan fasiliti kajian dalam bidang pendidikan, profesional, teknikal dan pengurusan.
  5. Untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang agrikultur dan industri.
  6. Mempromosi pendidikan Asia Tenggara
  7. Mengekalkan hubungan rapat yang telah terbina melalui matlamat yang sama dan meningkatkan penerokaan pelbagai jenis kerjasama untuk masa depan serantau.
Prinsip Asas ASEAN:
  1. Penghormatan bersama terhadap kemerdekaan, kedaulatan, kesaksamaan, integriti wilayah serta identiti nasional setiap negara anggota.
  2. Setiap negara anggota memiliki hak memimpin kewujudan nasional bebas dari campur tangan luar, subversif atau 'coertion'
  3. Tiada campur tangan terhadap masalah dalaman negara masing-masing. 
  4. Mengurus perbezaan dan persetujuan secara aman.
  5. Menolak penggunaan kekerasan atau ancaman dan paksaan di kalangan negara anggota.
  6. Kerjasama efektif antara negara anggota.

(Nota ini adalah ditulis untuk tujuan peribadi penulis. Kebanyakan nota adalah terjemahan maklumat daripada laman web ASEAN sendiri serta siri kuliah yang didengari penulis)