Sabtu, 30 Ogos 2014

Tema Merdeka 2014


Cinta dan tragedi

Tema kemerdekaan tahun ini "Di sini lahirnya sebuah cinta" merupakan antara tema kemerdekaan yang paling saya gemari sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Malah, boleh dikatakan tema kali ini sangat bijak diperkenalkan setelah beberapa tragedi yang melibatkan negara kita. Tragedi yang melibatkan dua buah pesawat MAS itu telah membuat mata dunia melihat Malaysia dengan lebih dekat lagi. Saya percaya kali ini lebih banyak liputan antarabangsa yang akan dilakukan sempena Sambutan Kemerdekaan di Dataran Merdeka.

Memandangkan pemerintah melihat akan bertambahnya liputan dunia terhadap sambutan kemerdekaan kali ini, saya perhatikan sambutan kali ini dilakukan dengan lebih teliti. Malah kali ini kerajaan mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan TV3 dan memperkenalkan Upin Ipin sebagai ikon seperti yang dinyatakan oleh Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek di Malaysia Hari Ini. Semoga semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang.

Iklan

Namun begitu, kali ini saya perhatikan kebanyakan tema iklan kemerdekaan di Malaysia mempunyai tema yang lebih segar dan mungkin lebih 'catchy' iaitu Malaysia sebagai sebuah keluarga besar. Maxis dan Digi dengan tema Malaysia sebagai sebuah keluarga besar sangat menarik dengan menggunakan perkataan makcik, abang, adik, kakak, pakcik, anne, macha dan sebagainya, iklan mereka sangat sesuai untuk menggambarkan Malaysia. Kerana saya juga sentiasa melakukan perkara yang sama iaitu memanggil sesiapa sahaja orang yang tidak dikenali dengan panggilan keluarga. Sebenarnya saya agak terkejut kerana kedua-dua iklan ini sangat serupa temanya cuma kedua-duanya menggunakan kreativiti yang berbeza untuk menampilkan tema tersebut.

Malaysia sebuah keluarga besar

Maxis menggunakan pendekatan yang berunsur humor dan menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia berkomunikasi pada pandangan seorang warga asing di Malaysia. Walaupun kita semua tidak mengenali tetapi kita berbicara dalam bahasa keluarga. Menarik.

Digi pula menggunakan teknik kajian sosial untuk menunjukkan kemesraan panggilan rakyat malaysia sesama mereka. Seorang pemuda dengan spontan memanggil sesiapa yang tidak dikenali dengan panggilan makcik, pakcik, adik, aunty, abang, bro dan sebagainya dan merakam reaksi mereka. Kajian sosial ini jelas menunjukkan betapa ramai yang memberi reaksi positif terhadap paggilan tersebut terhadap mereka.

Wrap up!

Terdapat juga iklan yang melakukan sedikit kretiviti dengan melakukan imbas semula begitu banyak peristiwa yang menggemparkan Malaysia melalui lagu rap iaitu iklan Hotlink. Daripada kejadian kejadian Cadbury, kehadiran Taylor Swift, Soup Kitchen, Bukit Bintang berlubang, kejadian MRT runtuh dan banyak lagi semuanya disimpulkan dalam satu lagu. Penuh dengan nasihat dan sindiran, iklan ini juga menarik perhatian saya. Paling menarik, sempat juga mereka menampilkan wak Doyok yang agak popular sejak kebelakangan ini. Malaysia tetap Malaysia penuh dengan kisah lucu.

Perodua dengan konsep lagu yang menampilkan segenap lapisan pekerja mereka juga tidak kurang menariknya, namun ianya mempunyai sedikit persamaan dengan konsep iklan raya TNB yang mendapat sambutan hangat dikalangan penonton.

Keseluruhannya, iklan yang paling saya sukai adalah iklan Hotlink dan Digi yang menampilkan sisi menarik Malaysia yang sukar ditemui di negara lain. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke 57!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.