Khamis, 21 Ogos 2014

Hidup Tanpa Rahsia


Tidak Tahu Yang Bahaya

Kita tidak tahu bila kita pula menjadi mangsa, dirakam tanpa disedari lalu video perbuatan kita disebarkan di internet. Bayangkan apa-apa sahaja perbuatan, yang mungkin merupakan sekadar kesalahan kecil dan anda tidak menyangka perbuatan anda dianggap tidak sesuai pada norma masyarakat lalu dirakam oleh individu yang tidak dikenali lalu dimuat masuk ke laman web sosial internet misalnya Facebook dan Youtube. Individu yang tidak anda kenali juga malah memberitahu seluruh dunia maklumat terperinci mengenai anda di laman blog mereka termasuk alamat, bekas teman lelaki, nombor kad pengenalan, malah nombor telefon peribadi juga nombor pendaftaran kenderaan anda. Bukan seorang dua mengetahuinya, malah anda juga dijadikan bahan jenaka di stesen televisyen di negara lain. Tanpa disedari, penggodam mengambil alih laman sosial anda di alam maya.

Bukan setakat itu, malah wajah anda juga tiba-tiba menjadi muka depan akhbar, disebut-sebut nama anda di dalam radio tidak ketinggalan menjadi sari berita penting di televisyen. Kehidupan peribadi manusia kini sangat rapuh, malah perbualan peribadi anda dengan manusia lain di pelbagai jenis perkhidmatan pesanan ringkas sms, whatsapp, facebook, instagram dan sebagainya, dengan mudahnya ada manusia lain melakukan printscreen dan menjadikan ianya maklumat umum. Tidak ada lagi rahsia. Tidak tahu siapa musuh mahupun rakan. Malah, sahabat karib juga mungkin tanpa disedari merupakan penyumbang kepada kebocoran maklumat peribadi anda. Email peibadi juga mungkin diceroboh dan digodam.

Percaya atau tidak?

Masyarakat dan kamu boleh sahaja memilih untuk tidak percaya atau percaya. Namun kepercayaan manusia itu selalu dibentuk oleh pendapat banyak. Maka sering pendapat manusia terarah ke satu sudut lalu membentuk satu hukuman sosial yang bernada sama. Boleh jadi adil, boleh jadi tidak. Boleh jadi kesan baik. Boleh jadi buruk. Yang pasti kehidupan manusia yang teraniaya itu tidak akan pernah sama. Mangsa tidak akan sama seperti pemangsa. Mangsa akan terus trauma, seringkali terus menyepi, paranoid. Mungkin budaya di negara ini tidak sama seperti di negara lain, norma masyarakat kita membuatkan jarang berlakunya kejadian bunuh diri namun saya yakin kesan lain misalnya kurang keyakinan diri yang sangat tinggi, penyakit mental, paranoid atau fobia, tekanan perasaan pasti akan berlaku. Tidak mustahil juga sekiranya negara ini dikejutkan oleh kejadian bunuh diri suatu hari nanti.

Bagi saya, manusia-manusia yang menyebarkan aib manusia lain malah dengan sengaja mencari-cari aib manusia lain ini adalah manusia yang tidak manusiawi. Di mana perikemanusiaan kamu? Sekiranya kamu menyedari seandainya kejadian yang sama menimpa kamu, kamu akan tahu betapa bezanya keadaan seorang mangsa dan pemangsa. Namun sudah pasti kamu sebagai pemangsa mungkin sangat bijak dan mampu mengelak kejadian yang sama berlaku ke atas kamu.

Kamu pakar siber. Mungkin sangat hebat melakukan perbuatan mencuri maklumat, malah mungkin boleh memalsukan maklumat kamu sendiri, jadi kamu tahu kamu sukar dikesan dan ditangkap. Sebagai manusia, saya ingin memberitahu kamu para pencuri maklumat dan para penyebar aib manusia, kehidupan ini memang diciptakan untuk ada ketika kita merasa senang, ada ketika kita merasa susah. Kamu belum tentu tahu bila nasib kamu berubah, satu hari nanti tatkala kamu mengalaminya barulah kamu tahu betapa alam ini diciptakan agar manusia menjadi baik. Manusia mesti baik dengan manusia yang lain, barulah dia manusia. Tidak tahu bila. Saya pasti pencipta alam ini mengenali kamu.

Hati-hati

Sering, malah ramai yang mengatakan berhati-hatilah tatkala anda berkongsi maklumat di laman sosial. Saya tidak akan mengulang frasa yang sama, kerana saya tahu bahawa jawapan terhadap hati-hati itu masih tidak cukup. Sejauh mana kita di zaman ini berhati-hati, malah manusia yang tidak memiliki laman facebook dan email serta sebagainya juga masih terdedah dengan situasi yang sama. Tanpa disedari anda begitu terkenal di dunia siber. Tanpa disedari perbualan anda dirakam oleh manusia tidak dikenali. Sebab itu tajuk artikel saya hari ini adalah hidup tanpa rahsia. Percayalah cakap saya, hati-hati berkongsi maklumat tidak memadai!

Dengan nada yang lebih santai ada juga yang berkata, berhati-hatilah dalam setiap perbuatan kita di mana-mana sahaja. Mereka bercakap seolah-olah tidak pernah melakukan perkara salah, seolah-olah berkata 'lihatlah bagaimana aku melakukannya' atau 'lihatlah kebaikan aku'. Atau lebih tepat lagi, seolah-olah mereka mengaku sebagai polis moral. Sekali lagi saya katakan kepada mereka si pemberi nasihat, sekiranya kita masih belum menjadi mangsa, jangan berkata sombong.Anda tidak tahu siapa penulis alam maya ini, boleh jadi di mana-mana. Maklumat anda boleh diperoleh dengan mudah, menjadi mangsa di alam siber kini sangat mudah. Kita malah tidak pasti apa yang masyarakat fikir betul atau salah. Moral kini ditentukan oleh orang banyak. Malah, kalau difikirkan terlalu banyak yang tidak boleh di masyarakat kita. Setuju bukan? Maaf, anda boleh sahaja tidak bersetuju dengan saya, kerana kehidupan ini memang berwarna-warni.

Mereka yang menjadi penulis siber,penggodam, kononnya penyebar maklumat semasa, tulisan ini adalah nasihat saya kepada kamu. Hidup pasti mengesankan jika kamu baik, hiduplah tanpa penyesalan. Kamu tidak tahu bila kehidupan akan memberikan  kamu satu pengajaran. Boleh sahaja di sini, boleh sahaja di sana. Siapa pun kamu, saya manusia, kamu juga manusia, sesiapa yang pernah menjadi mangsa di alam siber juga manusia, marilah sama-sama kita menjadi manusia. Simpati saya kepada sesiapa sahaja yang pernah menjadi mangsa di alam siber. Tabahlah dan yakin diri.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.