Isnin, 13 Mei 2013

Pilihanraya Yang Lebih Selesa




"Jangan dikata rakyat manja, mereka hanya mahu selesa. Mereka juga raja."


Keselesaan itu penting.

Walaupun sudah lebih seminggu Pilihanraya Umum Malaysia yang ketiga belas berlalu namun ianya masih hangat diwacanakan sehingga hari ini. Pelbagai pandangan diberikan oleh pelbagai pihak termasuk golongan cendekiawan universiti, ahli politik, NGO, pakar ekonomi malah keseluruhan lapisan masyarakat. Kebanyakannya membicarakan persoalan mengenai keputusan pilihanraya yang telah dijalankan serta ketelusan pihak SPR.

Sebagai salah seorang rakyat yang turut memerhati situasi dan suasana proses pengundian ini, secara peribadi hati saya melonjak-lonjak, jiwa saya tidak tenteram sekiranya saya tidak menulis mengenainya. Mengenai suara hati rakyat yang bersusah payah keluar mengundi. Mengenai ketidakselesaan mereka semasa keluar mengundi. Mungkin isu yang terlepas pandang oleh kebanyakan pihak. Bagi saya perkara asas buat manusia, hak untuk memiliki dan dan diberi keselesaan itu penting.

Keselesaan yang saya maksudkan adalah kemudahan khas untuk warga emas yang uzur, golongan kelainan upaya, kanak-kanak, wanita dan masyarakat secara keseluruhannya. Sebagai seorang manusia biasa saya merasa sangat terguris hati dan kecewa dengan tahap kemudahan yang disediakan oleh pihak SPR. Bukan tujuan saya untuk menyalahkan SPR namun perkara seperti ini jika tidak diberi teguran ianya tidak akan diberi perhatian untuk masa depan. Sewajarnya perkara ini menurut hemat saya boleh dielakkan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan yang ada. Berikut saya berikan contoh dan saranan agar perkara yang saya nyatakan disini diambil perhatian oleh pihak SPR sendiri.


Lokasi Tempat Mengundi

Di Malaysia, kebiasaannya sekolah dijadikan sebagai pusat mengundi dan kelas-kelas akan digunakan sebagai saluran tempat mengundi. Semasa proses pengundian berlaku, kebanyakan sekolah meletakkan hanya saluran 1 di tingkat paling bawah dan saluran yang berikutnya sering menggunakan kelas yang berada di tingkat yang lebih tinggi berdasarkan kapasiti kelas dan sebagainya. Maka terpaksalah rakyat yang sanggup bersusah payah untuk keluar mengundi ini untuk betul-betul bersusah payah mendaki tangga. Tidak mengapa jika usianya muda malah sihat seperti saya, namun yang membuat saya berduka lara adalah usianya tua tidak larat berjalan apatah lagi mendaki pula?

Untuk pengetahuan pembaca terdapat sekolah malah meletakkan saluran 1 di tingkat satu, saluran 2 di tingkat dua dan saluran 3 di tingkat tiga. Pengundi untuk saluran dua pula usianya mencecah umur 50 tahun. Dalam pemerhatian saya, bukan hanya warga emas mempunyai masalah serta rungutan, terdapat juga wanita muda yang sarat mengandung datang melunaskan tanggungjawabnya untuk keluar mengundi. Dalam keadaan sarat tersebut mereka mendaki tangga, bayangkan mereka isteri anda, bayangkan mereka saudara anda? Saya kecewa. Memang terdapat pilihan untuk mereka meminta kebenaran supaya Ketua Tempat Mengundi untuk mereka yang kurang upaya menukar saluran mengundi namun mereka belum cukup dikira kurang upaya untuk mendapat layanan istimewa.

Kerana saya adalah Pemerhati Tempatan, memakai baju serta tag yang disediakan oleh SPR,  saya sering disalah anggap sebagai salah seorang pegawai SPR yang bertugas. Maka berkicaulah rungutan daripada rakyat yang mahukan dirinya didengari. Saya hanya boleh tersenyum dan mengiakan saranan mereka. Unjuran saya agar tempat mengundi cukuplah hanya di tanah, tidak perlu mendaki tangga. Jika di tanah jangan berbukit pula. Jangan dikata rakyat manja, mereka hanya mahu selesa. Mereka juga raja.


Kekurangan Kerusi Roda Pusat Mengundi

Di kampung saya, masih ramai warga emas yang turun mengundi. Malah ada yang datang seawal 8 pagi untuk melunaskan tanggungjawab demokrasi. Namun sedih terbit di hati, kerusi roda tiada lagi. Belum tersedia dan terpaksalah dia mengesot kaki!

Kurangnya kerusi roda disediakan di Pusat mengundi wajar diberi perhatian oleh pihak SPR. Kerusi roda adalah kemudahan asas penting yang wajib disediakan di setiap Pusat mengundi. Malangnya fakta yang saya perolehi adalah tidak semua tempat mengundi disediakan kemudahan kerusi roda oleh pihak SPR. Di SMK Pusing misalnya langsung tidak disediakan kerusi roda manakala di SK Siputeh pula setelah melihat kesukaran beberapa orang warga emas maka penduduk setempat mengambil inisiatif sendiri dengan menyediakan kerusi roda milik persendirian untuk dipinjamkan kepada pengundi yang memerlukan. Menurut salah seorang petugas SPR yang bertugas hanya 5 buah kerusi roda sahaja yang diperuntukkan untuk seluruh Parlimen Batu Gajah dan sudah pasti ianya tidak memadai dengan bilangan pusat mengundi di sini.

Pandangan saya sebagai rakyat biasa, apakah salahnya jika SPR bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan agar kemudahan kerusi roda dapat disediakan. Mungkin saya tidak tahu fakta lengkap mengenai kemudahan kerusi roda ini, namun yang pasti memang kerusi roda wajar disediakan di setiap pusat mengundi tidak kiralah ianya di ceruk mana sekalipun. Tidak sanggup saya melihat salah seorang warga emas yang mengesot kerusi kerana dia tidak bertongkat tetapi tidak begitu mampu berjalan sendiri, terlalu bongkok untuk dipapah dan nak diangkat oleh petugas SPR pula tidak mampu. Ini tidak patut berlaku kepada negara yang mempunyai menara berkembar yang kononnya maju. Malu!


Bilik Menunggu Kanak-kanak

Salah satu kemudahan yang wajar disediakan adalah bilik menunggu kanak-kanak. Ramai juga ibu muda yang datang bersama anak kecil mereka malah ada yang mengendong bayi tanpa diiringi oleh suami dan keluarga. Maka terpaksalah mereka mendukung bayi mereka ke pusat mengundi. Sungguh sukar untuk ibu muda ini untuk melunaskan tanggungjawabnya. Saya kagum kerana dia sanggup untuk datang juga walaupun keadaan itu sangat tidak selesa. Nasib sahaja beraturnya tidak lama, jika tidak sudah pasti meragamlah anak kecilnya.

Bilik menunggu kanak-kanak ini pula mestilah sesuai juga untuk ibu yang menyusu badan. Malah wajar disediakan kemudahan air bersih yang panas dan kemudahan tempat untuk menukar lampin. Jika pengundi tidak ramai dan proses mengundi lebih cepat tidak mengapa jika tidak disediakan, namun saya perhatikan terdapat tempat mengundi yang terlalu ramai pengundi dan terpaksa beratur lama. Sempat juga saya melihat anak-anak kecil yang meraung-raung kerana suasana sesak dan panas serta tidak selesa di tempat mengundi.  Mungkin bukan sekadar panas, malah dahaga serta lapar. Mujur sahaja ibunya cekal buat tidak peduli. Yang pasti, saya peduli. Mereka wajar selesa!

Bilik menunggu ini juga boleh mengelakkan pengabaian terhadap kanak-kanak. Diperhatikan terdapat juga kanak-kanak dalam lingkungan 6 ke 12 tahun yang di biarkan di kawasan tempat mengundi tanpa pengawasan ibu bapa ketika ibu bapa mereka sedang beratur panjang. Tidak mustahil jika berlaku sedikit kesilapan mungkin akan berlaku kecelakaan ke atas mereka dan ini boleh dielakkan dengan menyediakan tempat menunggu khusus untuk kanak-kanak. Sudah tiba masanya kemudahan asas yang berkaitan kanak-kanak dan wanita dipertingkatkan lagi oleh negara kita.


Minuman bersih

Saya perhatikan juga semasa beratur panjang, ramai juga yang merungut haus. Lebih sedih lagi mereka mula meminta ehsan para petugas SPR untuk memberikan air minuman yang disediakan khas untuk para petugas sahaja. Para petugas hanya disediakan bekalan makanan dan minuman yang cukup-cukup sahaja maka tidak dapatlah mereka membantu.

Cadangan saya sangat mudah iaitu menyediakan tong minuman dengan cawan kertas pakai buang yang sangat mudah disediakan. Air adalah antara perkara asas yang perlu untuk meneruskan kehidupan manusia. Tidak salah jika pilihanraya akan datang, jika sengaja dicukupkan penggal, lima tahun akan datang, saya pasti negara ini cukup maju untuk menyediakan minuman yang bersih untuk rakyatnya. Jika tidak mampu, sekurang-kurangnya kempenlah kepada pengundi agar turun membawa bekal minuman sendiri jika dikhuatiri proses menunggu terlalu lama.


Unit Rawatan Kecemasan

Perkara asas di setiap tempat yang bakal dikunjungi oleh ramai manusia, haruslah disediakan unit rawatan kecemasan. Mungkin disebabkan proses pengundian berlaku serentak seluruh negara, perkara ini adalah seperti mustahil untuk dilakukan namun saya positif sekurang-kurangnya perlulah dua orang petugas SPR tahu melakukan rawatan kecemasan dan diberikan latihan. Bukankah mencegah itu lebih baik. Saya memandang perkara berkaitan kecemasan ini sebagai salah satu elemen hak semua rakyat untuk merasa diri mereka dilindungi apabila melaksanakan tanggungjawab keluar mengundi.


Kesimpulan

Mungkin bagi sesetengah pihak memandang ringan saranan-saranan ini. Mungkin lebih ramai memandang supaya saranan yang lebih penting ketika ini adalah meningkatkan ketelusan SPR. Namun harus diingatkan keselesaan untuk keluar mengundi juga adalah hak asasi rakyat. Saya undi untuk negara yang lebih selesa untuk wanita, kanak-kanak, golongan kelainan upaya dan seluruh rakyat.



Perhatian: Pemerhatian saya terhad di sekitar Parlimen Batu Gajah dan mendapat sedikit maklumat mengenai kawasan Parlimen lain daripada rakan pemerhati yang lain. Mungkin yang terjadi di kawasan yang  saya perhatikan tidak sama seperti tempat lain, jika anda mempunyai maklumat yang berlainan bolehlah dikongsi bersama saya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.