Jumaat, 8 Jun 2012

Perempuan Nan Bercinta


Saya berkhayal sendiri melihat seolah Faisal Tehrani berkata, dialog yang sama dengan Dr. Fatimah "Lihatlah apa yang aku yakini, kamu menuduh aku Syiah, aku Muslim, Muslim generasi baharu. Generasi supramazhab."


Keseluruhan

Perempuan Nan Bercinta merupakan karya yang terlalu padat, terlalu sarat terkadang amat menyesakkan. Pembaca harus menyaring dan mengulang baca buku ini. Namun harus diingat bahawa karya ini tetap sahaja sebuah fiksi. Fiksi tetap fiksi. Mungkin ada fakta yang benar di mana kita harus kaji dan mungkin adalah rekaan penulis yang diilhamkan oleh tuhan juga untuk manusia berfikir.

Menarik
"Cari perempuan mulia yang menentang sehingga mati, cari perempuan yang menentang meskipun sudah mati"
Kata-kata ini diulang-ulang Faisal Tehrani seolah mantera. Pembaca akan terikut memikirkan siapa perempuan yang dimaksudkan. Malah saya sendiri teruja, menggagah diri meneruskan pembacaan hanya disebabkan kata-kata ini. Menariknya, pembaca tidak akan bosan dengan pengulangannya. Kata-kata ini memang candu!

Kurang senang

Saya amat menghormati kepelbagaian mazhab dan kepelbagaian aliran. Aliran disini saya fokuskan kepada Islam sahaja. Tidak berani saya melabel sesetengah pihak lebih bagus dari yang lain. Saya juga percaya Syiah itu Islam. Oleh itu saya juga kurang senang apabila penulis sedikit cenderung memberi gambaran yang  kurang menyenangkan terhadap golongan wahabi. Walaupun tidak terlalu nyata, frasa bahawa wahabi membawa perpecahan umat membuatkan saya sedikit terkilan dengan penulisan FT. Namun saya menghormati pendapat peribadi beliau itu.

Tawassul

Konsep tawassul dikemukakan FT dalam buku ini. Idora kononnya sembuh setelah bertawassul. Saya secara peribadi tidak menolak konsep tawassul secara penuh. Saya percaya terhadap konsep tawassul melalui amalan baik. Tetapi saya menolak konsep tawassul melalui orang yang sudah meninggal dunia kerana saya percaya sudah terpisah yang hidup dan yang mati. Tawassul melalui Rasulullah mungkin perbincangan yang berbeza. Masih banyak yang saya perlu dalami dalam hal ini. Tidak mahu saya menyimpang jauh.

Kajian lanjut

Buku Faisal Tehrani sering mengundang perbincangan lanjut terhadap pemikiran-pemikiran yang beliau utarakan. Setuju ataupun tidak terhadap hujah beliau perlulah disusuli dengan kajian dan tidak semberono ditolak mentah-mentah. Di akhir buku ini saya sendiri berkesimpulan Faisal Tehrani seolah ingin memberitahu dunia apa yang beliau yakini. Saya berkhayal sendiri melihat seolah Faisal Tehrani berkata, dialog yang sama dengan Dr. Fatimah "Lihatlah apa yang aku yakini, kamu menuduh aku Syiah, aku Muslim, Muslim generasi baharu. Generasi supramazhab."

Menarik bukan?

Sabtu, 2 Jun 2012

Dataran

Dataran berpagar..


Dataran ini
dataran bertuah
Tempat himpun
tempat rumpun
Tempat kumpul pelbagai kisah
menanam serpihan sejarah

Seringkali aku di sini
memerhati tanah ini
rumputnya rumput biasa
bangunan bangunan lama
namun
bulan cantik di sini
angin sepoi sepoi menyanyi
yang pasti
Aku
sayu sendiri

Tanah ini tanah merdeka
padang bermain anak muda
lapangan nostalgia
sungguh tega mereka yang berkuasa
memagar tanah terbuka

Jangan sangka rakyat tuli
tidak mereka buta lagi
bangkit mereka dari mimpi
tuntut mereka pada janji
janji-janji tanah ini

Ingatlah wahai kuasa sementara
dataran ini
lapangan bebas
Dataran ini
dataran merdeka
tiba harinya rakyat berkuasa
Dataran tidak akan berpunya
hanya menjadi milik bersama

Hujan
Dataran basah
Aku basah
kami basah
tanah ini basah

Sabtu-2 Jun 2012- 3.30 pagi- farizahrin

Sebelas Patriot


"Jika ada hal lain yang sangat menakjubkan di dunia ini selain cinta, adalah sepak bola"
-Andrea Hirata- 

Andrea Hirata nyata seorang pencerita yang baik. Kisah tiga beradik dimulai dengan penuh semangat malah ianya dikaitkan sebagai semangat nasionalis. Jika menang sepak bola berarti sudah menang menentang penjajah. Laungan Indonesia! Indonesia! Indonesia! menaikkan bulu roma saya. Saya terikut semangat!

Namun nyata saya sedikit terbawa rasa sayu sama seperti ikal tatkala tahu bahawa ayah kehilangan kepala lututnya kerana dipecahkan oleh penjajah Belanda ketika itu. Sepak Bola akhirnya jadi impian baru Ikal.

Nyata Ikal sangat lucu. Gedik. Malah nakal!

Perumpamaannya tentang kepentingan sepak bola kepada beliau ketika itu sangat menarik hati saya:

"Kami main bola setiap ada kesempatan. Paling asyik jika hari hujan. Kami main bola sebelum masuk kelas. Kadang-kadang di dalam kelas- kalau tak ada guru. Kami main bola sebelum mengaji. Kadang-kadang di dalam masjid- kalau tak ada ustaz. Sepak bola adalah agama kedua kami setelah Islam."

Sepak bola dan perempuan

Sepak bola dan perempuan juga terkait bersama apabila Ikal sampai di Real Madrid. Pertemuan Ikal dengan seorang perempuan penjaga kedai barangan cenderahati Real Madrid, Adriana, membuatkan beliau terfikir mengenai sebab-sebab adanya perempuan begitu gila meminati sukan maskulin ini. Yang tidak boleh saya lupakan adalah jawapan Adriana;

"Begitu besar cinta, begitu singkat waktu, begitu besar kecewa lalu tak ada hal selain menunggu pertandingan berikutnya, lalu bergembira lagi. Sepak bola adalah satu-satunya cinta yang tak bersyarat di dunia ini."

Yang lebih menarik adalah kesimpulan Ikal terhadap jawapan Adriana, "Bagi perempuan ini, mencintai sepak bola adalah seluruh antitesis dari susahnya mencintai manusia." Asyik!!!1

Keseluruhan
Saya menyukai keseluruhan buku ini. Ianya padat, asyik, lucu malah sangat mengesankan. Malah dapat percuma CD lagu-lagu ciptaan Andrea Hirata untuk PSSI. Amboi serasanya mahu lagi karya Andrea segera sampai di tangan. Mungkin aku terlebih menyukai Andrea Hirata?