Selasa, 18 Disember 2012

Tiga Kali Seminggu


" Raut wajah sedih penuh kemelaratan meniti di hadapan retina mata ini. Dia cuba tersenyum. Sungguh-sungguh mencuba. Tetapi masih duka yang terpancar jernih."
-Antiplot-
Cerita

Sebenarnya sudah lama buku ini diterbitkan. 2010. Saya pun sudah lama maklum akan kewujudan buku itu. Bagi saya, setiap pembelian buku punya ceritanya tersendiri. Cerita-cerita yang membuat saya tersenyum sendiri. Yang pasti perasaan saya membaca buku ini ketika saat ini pasti tidak sama jika ianya dibaca pada tahun 2010. Pasti berbeza.

Jujur saya katakan bahawa saya jarang kecewa dengan karya Faisal Tehrani. Beliau memang seorang penulis yang sinis dan penuh dengan maklumat. Seperti yang beliau nyatakan di permulaan buku ini mengenai cerpen-cerpen ini memang terdapat cerpen yang biasa-biasa sahaja sekadar minum kopi. Manakala ada juga yang sarat malah mungkin terlalu sarat maklumat sehingga pembaca terasa sesak dan penat sendiri. Malah ada yang ringan tapi sinis dan menyindir.

Rindu Ini Luar Biasa

Cerpen pertama "Rindu ini Luar Biasa" nyata sesuai dengan tajuknya. Terutamanya apabila Zaharah membaca surat Hakimi, seolah jantung saya mengepam darah lebih laju dari biasa. Ada getaran. Saya mengaku perasaannya hebat. Saya terpaut dengan kisah percintaan Zahrah dan Hakimi, mereka saling berbahas, saling cabar mencabar dalam ilmu. Ini cara mereka bercinta. Saya cemburu sendiri, hebatnya memiliki cinta seperti ini.


Lain

Cerpen lain seperti "Abuya Dongeng tokoh yang memakan babi" pula banyak menggunakan pepatah Melayu sebagai sindiran yang indah. Karya ini ternyata sangat sinis kepada gerakan Islam.

Terdapat juga karya seperti "Antiplot", "Hajah Adibah" dan "Tiga Kali Seminggu yang menunjukkan harapan beliau terhadap Islam dan sindiran terhadap orang yang kononnya beragama.



Demi Masa

Kisah Cinta Medeni benar-benar mengingatkan saya novel Perempuan Nan Bercinta. Paling menarik adalah bagaimana Medeni melamar Zanjabila. Bagi saya, ianya merupakan kisah lamaran paling romantis yang pernah saya baca. Jika saya dilamar dengan ungkapan seperti 'demi masa', tidak perlu minit hanya saat yang saya perlukan. Tersenyum.


Perempuan

Saya mempunyai pendapat yang berbeza dengan Dr Faisal Tehrani mengenai kedudukan perempuan. Di dalam cerpen beliau 'Setelah diciptakan Adam' beliau hanya menggunakan hujah bahawa Hawa diciptakan selepas Adam seolah menunjukkan kewajaran dominasi lelaki Islam hanya kerana lelaki diciptakan dahulu berbanding perempuan. Masa selepas dan sebelum tidak menjadikan Adam lebih superior daripada Hawa. Tidak juga menjadi alasan lelaki lebih tinggi daripada perempuan. Alasan dari segi masa penciptaan adalah tidak matang seolah bersetuju juga dengan alasan Iblis bahawa penciptaannya dari api membuatkan beliau tidak perlu tunduk pada Adam. Jika begitu, Malaikat adalah lebih mulia dari Adam. Malah semua yang diciptakan dahulu yang tidak kita ketahui adalah lebih mulia dari manusia. Soalnya bukan makhluk yang menentukan kemuliaan mereka masing-masing, itu adalah persoalan milik tuhan. Tuhan lebih tahu. Jangan menjadi zalim.


Kegawatan

Cerpen terakhir beliau juga sangat menarik terutamanya kerana ianya menggunakan latar Universiti Malaya dan dengan mudah saya memahami tulisan beliau. Gempa bumi yang beliau gambarkan jika terjadi pasti akan sedikit sama seperti yang beliau gambarkan. 


Keseluruhan

4 bintang buat buku ini.










Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.