Rabu, 19 Disember 2012

Gimhae, Busan.




Semasa berada di Busan sebagai pelajar pertukaran di Universiti Inje, saya bukan sahaja menimba ilmu di dalam makmal malah menemui pelbagai pengalaman hidup yang menarik. Di antara pengalaman yang tidak boleh saya lupakan adalah bertemu dengan warga tempatan di Gimhae, Busan. Mereka semuanya sangat mesra dan mudah tersenyum dengan saya.

Mungkin disebabkan saya dan rakan-rakan bertudung, mereka akan sering bertanya mengenai pemakaian kami sama ada ianya membuat kami tidak selesa atau panas ketika memakainya. Mana tidaknya ketika itu musim panas maka kebanyakan warga tempatan memilih pakaian yang lebih yang lebih selesa untuk musim panas.

Antara pengalaman yang paling menarik adalah menemui beberapa orang Ajumma dan Ajusshi yang sedang menuai kentang. Saya sangat teruja kerana pertama kali melihat pokok kentang. Saya menegur mereka dengan sopan walaupun bahasa Korea yang saya ketahui adalah sangat terhad. Mereka senyum dan membalas sapaan saya dengan mesra.




Mereka mula berborak dalam bahasa Korea dengan saya. Saya hanya senyum, dan membalas bahawa saya hanya tahu sedikit sahaja dan masih belajar. Seperti biasa Ajumma berbaju merah mula menyentuh tudung saya dan membuat gerak geri panas dengan mengipas-ngipas kepala. Saya faham. Soalannya adalah sama ada saya panas atau tidak dengan memakai tudung. Saya jawab, saya ok, jangan risau (gwencanayo).

Sambil kami bersembang dalam bahasa isyarat, Ajusshi yang pada awalnya hanya memerhati mula menghulurkan sebiji kentang rebus. Dia memberitahu dalam bahasa isyarat bahawa kentang itu baru sahaja dipetik dan masih segar dan sedap. Saya ambil. Ajusshi hulurkan garam sebagai perasa. Jujur saya katakan, ini adalah kentang paling sedap di dunia. Kentang ini sedap kerana kemesraan petani-petani ini. Kentang ini segar dengan senyuman petani. Kentang ini lambang harapan buat manusia.




Ajumma ini sahaja yang masih tekun menuai. Dia hanya senyum sekali sekala mendengar kami bersembang. Saya teringin mencuba untuk menuai kentang bersama dia. Namun dia menghalang dengan lembut sambil memegang tangan saya. Sentuhannya lembut, seperti seorang ibu kepada anak. Walaupun saya tidak memahami keseluruhan bicaranya, saya faham dia tidak mahu tangan saya kotor disebabkan memegang tanah. Saya akur.

Sebelum meminta diri untuk pulang ke hostel, saya meminta izin mereka untuk berfoto bersama-sama. Saya diberikan tiga biji kentang rebus sebagai ole-ole. Walaupun saya menolak mereka bertegas memasukkan kentang tersebut ke dalam beg sandang saya. Saya berlalu, kemudian menoleh semula ke belakang dan menyedari bahawa saya telah jatuh. Jatuh cinta yang teramat kepada negara ini.

Saya berdiri beberapa minit untuk melihat semula kebun kentang itu. Saya tahu, walaupun kami mengucapkan "semoga bertemu lagi", ini mungkin pertemuan terakhir kami.



Ini adalah antara pengalaman manis. Menemui manusia-manusia bebas prasangka di salah satu sudut dunia. Dunia ini masih punya harapan kawan!

Saya menyertai satu pertandingan online untuk memenangi satu tiket ke Korea. Jika tidak keberatan bolehlah datang melawat catatan saya di sini  http://www.visitkorea.com.my/forums/k-forum , kemudian cari catatan Category A: Gimhae, Busan by Fariza. Thanks a lot.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.