Selasa, 6 November 2012

The Journeys



Perjalanan mengantarkan Kita jawaban. Menemukan apa saja. Mulai dari yang penting, kurang penting, bahkan tidak penting sama sekali. Terkadang mengejutkan lalu dibawa pulang untuk diceritakan. Sebuah cerita.
-Windy-The Journey-

 Mengujakan

Buku ini membuat saya mahu segera mengemas 'backpack' saya. Jika bukan kerana kekangan kerja sudah pasti saya sudah segera ke mana-mana demi sebuah perjalanan. Malah buku ini membuat saya teruja untuk menulis perjalanan-perjalanan lampau yang pernah saya tempuhi. Bermula dengan prakatanya sahaja sudah seru, inikan setelah dibaca keseluruhan isinya. Mahu saja saya terbang ke Pulau Jawa singgah ke Semarang lalu terus ke Karimunjawa! Sungguh! 

Churros

Tatkala mula membaca buku ini saya di Tropicana Mall. Mahu dijadikan cerita saya membaca kisah perjalanan Gama Harjono yang menjadikan Churros sebagai sarapan bersama kopi di sebuah cafe di Cordova. Sungguh saya terus ke kedai yang menjual Churros dan saya pesan Churros bersama minuman Coklat panas. Pengalaman saya membaca buku ini juga membuat saya teruja sendiri. 

Paling Menarik

Antara kisah yang paling menarik hati saya adalah tulisan Raditya Dika di Belanda. Hubungannya dengan nyokapnya yang ditulis bersahaja dan lucu membuat saya ketawa besar. Nyokapnya sering terlihat berlebihan mengasihi beliau sehingga sudah masuk SMP pun masih diseru-seru nama sambil menyebut "I love U Dika". Dika sering menyatakan semakin kita tua semakin kita ingin mandiri dari orang tua kita. Rupa-rupanya Dika penulis berbakat, pengakhirannya sungguh mengesankan. Sebuah potret ibu-ibu yang ditatap rakannya Perek membuat beliau sedar kasih sayang nyokap beliau. Kata-kata beliau juga sungguh mengesankan.
" Sesungguhnya, terlalu perhatiannya orangtua kita adalah gangguan terindah yang pernah kita terima." -Dika-
Sungguh selepas membaca tulisan beliau saya sendiri ingin terus menelefon ibu di rumah. Malang saja sudah malam sangat. Jika esok ditelefon perasaannya mungkin tidak sama Kan?

Keseluruhan

Kesemua kisah dalam buku ini memang akan membuat pembaca ingin turut sama merasai pengalaman-pengalaman penulis. Percayalah setiap perjalanan walau ke mana jua anda akan membawa cerita sendiri. Pahit atau manis ianya tetap sebuah cerita. Lima bintang buat buku ini.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.