Khamis, 22 November 2012

Khadijah Bukan 40 Tahun



"Kisah-kisah yang tidak mempunyai sumber yang mantap dan kukuh tidak wajar dijadikan bahan ceramah, kerana boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat dalam memahami ajaran Islam yang maha suci"
-Prof Madya Dr Basri bin Ibrahim- 
Penulis

Sejujurnya saya mula membeli buku ini kerana saya mengenali penulis secara peribadi. Namun tidak boleh dinafikan tajuk buku ini sangat menarik dan memanggil-manggil saya untuk membelinya. Saya pernah membaca beberapa buku beliau sebelum ini dan merasakan penulisan beliau semakin matang dan baik. Jika dahulu saya merasa sedikit sukar membaca tulisan beliau yang berbelit-belit, buku ini tidak kurang sukar juga kerana beliau seolah melakukan terjemahan dari bahasa Arab. Namun tidak boleh dinafikan buku ini penuh dengan manfaat!

Kisah-kisah Palsu

Umat Islam sebenarnya banyak disajikan dengan pelbagai kisah yang menakjubkan dan mengkhayalkan umatnya. Tidak mengapa jika ianya sekadar cerita dan tidak dikaitkan dengan Rasulullah dan sahabat kerana ini akan menyebabkan fitnah yang buruk kepada Islam.

Menurut penulis, salah satu sebab berlakunya kewujudan kisah palsu ini adalah disebabkan ianya diriwayatkan dalam beberapa kitab sejarah yang berkualiti dan popular. Ada banyak maklumat sahih yang terkandung dalam kitab-kitab tersebut namun ianya bercampur baur juga dengan maklumat palsu. Selain itu wujudnya penglipurlara dan orang berkuasa yang mahu menunjukkan kekuasaaan mereka dengan mencipta kisah menunjukkan kekuasaan mereka dan memburukkan musuh.

Perempuan

Saya sebenarnya lebih berminat dengan kebanyakan fakta berkaitan wanita. Memang banyak penulisan kisah popular lain yang dimasukkan penulis tetapi di dalam ulasan saya ini saya hanya akan menyentuh kisah-kisah berkaitan perempuan sahaja.

Banyak fakta yang menarik dan membela kemuliaan wanita dan Islam itu sendiri. Diantaranya kisah berkaitan umur Khadijah, umur 'A'isyah, kisah Asma' menghantar makanan ke Gua Thur, Kisah Mutiah dan banyak lagi. Di sini saya nukilkan sedikit kesimpulan yang menarik bagi saya.

Khadijah R'Anha

Tidak terdapat sumber yang benar-benar kukuh menyatakan usia sebenar beliau semasa berkahwin dengan nabi. Namun pandangan 40 tahun adalah paling lemah. Justeru tidak tepat mengaitkan sunnah Nabi SAW berkahwin dengan wanita yang lebih berusia berdasarkan maklumat ini.

'A'ishah R'Anha

Sebanyak 24 hujah penulis lampirkan untuk menolak bahawa Nabi SAW mengahwini beliau ketika berusia 6 tahun dan mula tinggal bersama nabi ketika berusia 9 tahun. Salah satu hujah yang kuat adalah 'A'isyah dikatakan mengulas bahawa ketika ayat 46 surah al-Qamar diturunkan beliau masih kanak-kanak dan bermain ke sana ke mari. Ayat ini diturunkan semasa tahun ke-4 kenabian. Sedangkan jika 'A'isyah berkahwin dengan nabi ketika berumur 6 tahun sepatutnya 'A'isyah belum lahir dan hanya kan lahir pada tahun ke-5 kenabian. Hujah lain antaranya adalah kesepakatan umat menolak amalan kahwin bawah umur. Menurut penulis:

"Sehingga hari ini, tiada siapapun yang beramal menurut riwayat ini, malah tiada seorang pun menawarkan anak perempuan berusia sembilan tahun untuk tujuan ini: tiada seorang pun kanak-kanak di usia mentah begitu yang telah diterima untuk dijadikan isteri"

Menurut sejarah juga menunjukkan perkahwinan bawah umur tidak berlaku sebelum dan selepas Islam di Tanah Arab. Menurut penulis;

"Apabila kami meneliti sejarah Arab, kami tidak menemui sebarang contoh seumpama ini sebelum dan selepas kedatangan Islam. Bahkan, di zaman Rasulullah SAW, semua gadis berkahwin setelah mencapai usia dewasa"

Secara peribadi saya merasakan penemuan fakta ini adalah sangat penting agar ianya dapat memberikan gambaran sebenar peribadi Rasulullah SAW. Ini juga akan mengelakkan fitnah yang dilemparkan kepada Islam yang didakwa tidak menjaga hak asasi kanak-kanak dan wanita.

Asma'

Kisah Asma' tidak kurang pentingnya kerana beliau dikatakan mengandung dan perlu menghantar makanan ke Gua Thur semasa nabi berhijrah. Kisah ini seolah-olah menunjukkan nabi tidak peka akan kesihatan seorang wanita yang mengandung. Setelah diteliti penulis kisah ini adalah tidak benar dan sebenarnya Asma' hanya menyediakan bekalan makanan tersebut di rumah dan terdapat utusan lain yang menghantarnya.

Muti'ah 

Kisah Muti'ah adalah antara kisah popular yang sering didengar-dengarkan di kalangan wanita agar mentaati suami. Beliau dikatakan enggan membuka pintu rumah tanpa kebenaran suami dan menyediakan rotan dan segelas air untuk suami beliau dan kononnya akan masuk syurga dahulu sebelum Fatimah. Kisah ini terdapat banyak pertikaian dan disabitkan dengan golongan yang ingin menaikkan martabat Fatimah. Menurut penulis:

"Isteri Umar R'anha adalah yang terbaik namun beliau tetap berleter kepada suaminya. Isteri mana tidak berleter? Dr Asri Zainal Abidin telah memberikan sindiran yang tajam terhadap kisah ini, yang menunjukkan kelemahan isteri sehingga membiarkan dirinya didera oleh suami. Ini pastinya bukan ajaran islam"

Keseluruhan

Buku ini adalah bahan bacaan yang penting agar kita berhati-hati didalam menyampaikan kisah dan riwayat yang pernah kita dengar supaya ianya bersih dari fitnah. Saya berikan 4 bintang daripada 5 kerana terdapat banyak kesalahan ejaan dan beberapa susunan ayat yang menyukarkan saya memahami maksud sebenar penulis. Nasihat saya kepada penulis agar melantik editor yang baik agar sebuah penulisan yang baik seperti ini dapat diterima dengan lebih baik di kalangan pembaca.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.