Selasa, 25 September 2012

Sepuluh Ribu: Sebuah Cerpen Pembaca



Ini semua salah Athina. Hmm.. tak, ini semua salah Fasyali dan Esah Azral. Siapa suruh dorang tulis macam tu? Aku tak kenal langsung makhluk berdua ni, tapi sejujurnya aku menyampah dengan tulisan mereka yang mempengaruhi aku.

Serius. Aku memang nak tulis komen pasal buku ni macam biasa aku tulis kat blog aku ni. Tapi, hati aku meronta-ronta, tergedik-gedik menyuruh aku menulis ala-ala Fasyali dan Zara. Aku memang tak nak tulis macam ni. Betul. Tetapi jari jemari aku seolah mempunyai kuasa luar biasa mengetik huruf-huruf dengan lajunya. Nah, inilah hasilnya "Sepuluh Ribu: Sebuah Cerpen Pembaca". Aku rasa satu hari nanti aku mesti malu nak baca balik apa yang aku tulis kat sini. Sebelum perasaan tu timbul lebih baik aku tulis post ni cepat-cepat.

************

Balik dari Open House K. Yati, Athina hulur pada aku buku 'Sepuluh Ribu'. Aku kembali menghulurkan kepada beliau 20 ringgit. Tadi masa makan-makan kat rumah kak Yati, aku sebut dekat Athina yang aku teringin nak beli buku dia. Dengan sepantas kilat Athina jawab "Oh I ada bawa dalam kereta nanti balik I bagi you". Maka tertunailah hasrat aku untuk memiliki buku sulung Athina. 

Sementara menunggu Athina menyerahkan dua buah buku lagi untuk dibeli oleh Zed dan Azzad aku belek-belek buku ni. 'Eh, antologi cerpen rupanya' monolog aku yang berseorangan di dalam kereta Athina yang berbau kucing itu. Aku lupa nama kucing dia. Aku mati-mati ingat dia sorang je yang tulis buku ni, huhu..

*************

Aku takkan mula baca buku lain kalau buku yang aku sedang baca belum habis. Maka terperamlah 'Sepuluh Ribu' di kalangan himpunan bukit-bukit buku yang lain berminggu-minggu. Lepas habis buku Agus Noor baru 'Sepuluh Ribu' aku capai. 

Macam biasa aku pembaca yang menyelak buku dari muka depan satu persatu. Percaya atau tidak bagi aku kalau prakata tidak dibaca sesebuah buku itu tidak akan difahami dengan mendalam. Aku perhatikan muka depan buku. Aku tak minat sangat 'cover' dia tapi aku suka warna biru dan kuning yang digabungkan. Ok juga 'cover' ni. Not Bad.

Kepala otak aku berlegar melihat nama Wani Ardy. Siapa dia ni? Terus aku selak muka depan, aku nampak susunan gambar-gambar pelik dengan nama. Ada gambar orang baring-baring. Ada gambar telefon samar-samar di belakangnya seorang perempuan. Ada gambar perempuan berkebaya. Macam-macam. Setiap gambar mempunyai nama penulis. Aku cuma kenal nama Athina je. Aku selak lagi sampai jumpa senarai cerpen. Seperti tadi aku hanya mengenali penulis 'Tiang Lampu Jimi' je.

Aku baca prakata Wani Ardy. Aku rasa dia ni sempoi je. Menurut beliau semua penulis di sini mungkin baru pertama kali menulis cerpen dan dia pun pertama kali menjadi penyunting. Yang membuat aku teruja adalah kata-kata beliau 'hidup ini satu eksperimen'. 

Aku mula baca. Aku baca cerpen Fasyali je. Dia bukan tulis cerpen. Dia tulis tentang diri dia. Aku suka. Aku tutup buku. Aku tidur.

***************

Aku janji dengan Kim nak pergi Art For Grabs pukul 12 tapi kelas aku kat UM habis lambat dan lepas Zohor baru aku bertolak. Sebelum keluar bilik aku capai Sepuluh Ribu dan kunci motosikal di atas meja. 

Sampai di Pasar Seni aku terus pergi ke Annexe Gallery. Rupa-rupanya gerai kitorang dekat atas. Rugi betul tak dapat datang awal. Adik-adik semua dah nak balik sebaik sahaja aku nak naik tangga ke gerai. Aku hanya dapat bertanya khabar dan melambai-lambai kepada mereka sahaja. 

Hari pertama Art for Grabs. Ramai juga yang datang singgah di gerai kami untuk melukis dan menyumbangkan sedikit wang. Disebabkan tidak cukup tangan, Sepuluh Ribu sekadar terperap dalam beg merah. Aku pasrah.

Hari kedua. Aku datang lambat juga. Dib bawa makanan, aku makan sikit sayur. Sedap. Hari ni ramai juga yang datang singgah tapi sebab ramai kawan-kawan yang lain tolong aku lebih banyak duduk ditepi dan senyum-senyum sahaja. Bila ada yang datang dekat baru aku terang sikit-sikit projek kitorang. 

Suasana kembali lengang. Sekarang baru aku ada peluang baca 'Sepuluh Ribu'. Aku mula baca nama penulis. Tun Boja Bistara. Unik. Tajuk dia 'Cong'. Lepas aku baca dua tiga perenggan aku dah agak 'ending' dia. Tapi gambar yang dia dapat memang sesuai dengan cerita yang dia tulis. 

Tiba-tiba Azrul sergah aku. Aku terkejut. Aku berhenti membaca. Aku layan pengunjung yang tiba-tiba ramai. Balang sumbangan derma semakin penuh. Aku senyum lagi.

Aku sambung baca cerpen Zara Suryani. Dia tulis pasal Bersih. Tajuk 'Kanister'. Aku suka penggunaan kata nama awak yang Zara gunakan untuk watak utama. Cerita Zara menarik kerana membawa sisi jatuh cinta watak utama dengan seorang pegawai polis wanita. Aku senyum-senyum kambing baca cerita Zara sampai ada yang menegur. Peduli apa.

Aku terus baca Qadar. Cerpen Zue Hashim ni mengingatkan aku dengan drama popular Amerika berkaitan dengan orang yang dah mati. Aku tak ingat tajuk. Cerita dia ni menarik juga. Aku rasa Zue hashim boleh pergi jauh dalam bidang penulisan kreatif. Aku suka garapan bahasa Zue Hashim. Kemas.

Waktu Asar masuk. Aku pun rasa lapar. Aku berhenti baca dan tunaikan apa yang patut.


*************


Aku jalan-jalan sekitar Pasar Seni. Tujuan aku adalah mencari makanan yang boleh mengisi perut. Aku beli 4 batang jagung rebus dengan harga 5 ringgit. Mungkin pakcik tu nampak aku macam lapar sangat, dia sedekah aku sebatang jagung lagi. Aku bahagia seperti kanak-kanak dapat gula-gula. Berkali-kali aku cakap terima kasih kat pakcik tu. Lain kali aku janji akan beli dari pakcik lagi. hehe..

Sampai dekat gerai 'Our Refugee School Project' aku bagi Mat Nor, jiran sebelah gerai, jagung yang aku beli tadi. Kami makan jagung rebus dengan gembira. Kim ada di gerai. Yang lain dah lesap entah ke mana. Jalan-jalan sekitar gerai kot.

Aku sambung baca. Kali ni karya yang aku tunggu-tunggu muncul. Penulisnya Athina Marzuki, teman musafir di Indonesia tahun lepas. Kami sebilik dari Jakarta sampai ke Jepara dan kembali sebilik di Jakarta. Tiang Lampu Jimi. Aku tak tahu nak cakap apa pasal cerpen Athina. Aku tak dapat baca otak Athina. Cerpen dia terlalu peribadi. Hanya penulis yang tahu makna disebalik penulisannya. Sebagai pembaca, ya aku boleh meneka-neka tapi tetap tidak akan sama dengan pemikiran penulis. Aku kaget.

Yang pasti, aku suka ayat terakhir cerpen Athina. "Jika keindahan terlalu dicuri untuk diri, yang tinggal hanya kegelapan untuk bumi". Cerpen ni buat aku berfikir dengan mendalam. Aku rasa satu perasaan kelam, suram dan seram. Bulu roma aku tegak. Aku rasa Athina tengah celaru waktu tulis cerpen ni. Aku harap Athina tahu aku tulis ni.

Lepas baca cerpen Athina aku terus berhenti baca. Cerpen dia berat. Aku fokus pada gerai. Ramai yang datang. Kawan-kawan dari UIA. Kebanyakannya aku kenal muka je. Aku sebenarnya seorang yang sangat sukar mengingati nama. Nicole bersembang dengan kawan-kawan dia. Aku duduk di tepi senyum-senyum sahaja. Aku memerhati dari tepi. Karen datang. Dia makin kurus. Dia duduk sebelah aku.

Selesai kemas gerai. Malam tu aku lepak makan-makan dengan Kim, Nicole, Karen dan dua orang kawan Karen dari Amerika. Macam biasa, aku tak ingat nama mereka berdua. Kami bersembang. Aku lebih kepada pemerhati sahaja. Aku makan kuetiaw vegetarian yang aku kongsi separuh dengan Nicole. Nicole nampak kertas resit KFC yang aku keluarkan untuk buang. Di kecam aku bukan vegetarian sejati. Aku geram! Yes, I am not a strict vegetarian! Kalau orang sedia makanan bukan vegetarian aku masih makan. Asalkan tidak membazir.

Balik. Update facebook. Isyak. Tidur.

****************


Aku bangun tengah malam. Aku menggagau sekitar bawah bantal mencari getah rambut nan satu itu. Tak ada. Aku putus asa. Aku terus ke dapur dan capai chop stick besi kepunyaan sendiri. Aku sanggul rambut. Semalam aku dah baca separuh Sepuluh Ribu. Hari ini aku bertekad nak habiskan. Aku benci Athina. Dia yang jual buku ni pada aku. Tidur aku mengigau dibuatnya. Sekarang aku tengok tiang lampu dengan pandangan lain. Seolah tiang lampu hidup. Merepek.

Aku baca Lelaki Fantasi karya Omar Bahrin. Cerpen biasa. Tapi, dia tak tulis habis. Aku percaya cerpen dia tergantung. Entah.

Aku cepat-cepat baca karya Moshuki Borhan. Dia penulis yang baik. Aku suka puisi-puisi yang diselitkan. Tajuk Origami Bintang juga sangat mengujakan. Moshuki Borhan mengembalikan fantasi aku untuk bercinta dengan penulis. Aku ketawa sendiri. Aku harap dapat baca lagi karya beliau.

Esah Ezral sama seperti Fasyali. Aku suka.

Ezzah Mahmud menulis Iskelfer. Keseluruhannya penulisan dia agak baik. Aku dapat agak ending dia. Teruskan menulis.

Adi Wafi pula menulis Kau. Teknik penulisan dan bahasa dia agak bersahaja tetapi menyenangkan. Aku rasa Adi Wafi boleh pergi jauh dalam bidang penulisan. Walaupun kisah dia adalah mengenai Lola. Beliau seolah memerli kebanyakan remaja dalam dunia internet. Aku rasa ada benarnya apa yang ditulis oleh Adi Wafi dalam cerpennya tentang Facebook.

Habis?

Aku tak harap semua penulis baca apa yang aku tulis. Sebab aku merepek je yang banyak. Aku harap dapat kenal semua penulis Sepuluh Ribu satu hari nanti.

Fullstop.

p/s: Aku lambat sampai sekolah sebab tulis benda ni. Cis! (^_^)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.