Khamis, 20 September 2012

Sepotong Bibir Paling Indah di Dunia


"Dunia telah menjadi kisah penuh kekejaman. Kini aku bisa merasakan, betapa bukan kematian benar yang menakutkan, tetapi cara bagaimana kita matilah yang membuat kita ngeri. Cara isteri dan dan anak-anakku mati selalu membuatku merinding. Membuatku selalu bertanya, inikah dunia yang diinginkan Tuhan ketika menciptakannya?"
-Empat Cerita Buat Cinta-

Unik dan Luar biasa

Saya harus bersetuju dengan komen kebanyakan pembaca bahawa karya Agus Noor adalah unik dan Autentik. Sejujurnya kisah beliau sangat luarbiasa imaginasinya namun membawa maksud tersirat yang terkadang membuat pembaca terbuai dengan dunia ciptaan penulis. Sukar untuk saya nyatakan di sini. Ianya memang sastera indah. Seolah kisah sayu, malah ngeri juga terpahat indah hasil tulisan Agus Noor. Saya secara rasmi menjadi peminat beliau.  

Berdasarkan tajuknya sahaja saya sudah terpikat. Malah kulit buku beliau sangat memikat bukan? Saya berikan 5 bintang untuk ini.

Empat Cerita Buat Cinta

Salah satu cerpen yang menarik minat saya adalah Empat Cerita Buat Cinta. Di dalamnya terdapat 4 kisah yang digabungkan iaitu  Kisah tentang Pemetik Air Mata, Penyemai sunyi, Penjahit Kesedihan dan Pelancong Kepedihan. Kesemua kisah ini mewakili tema tentang jiwa yang lara dan sisi hitam manusia. Kamu harus bersetuju bahawa Agus Noor adalah penulis kisah yang terdengar sedih dengan lakaran cerita yang sangat indah! Kisah tentang Pemetik Air Mata suatu kisah yang tercampur imaginasi dan realiti. Ternyata manusia sering tewas dengan realiti.

Antara keempat kisah ini, saya terpaut hati pada kisah "Penyemai Sunyi". Percayalah cakap saya bahawa anda sendiri akan terikut merasai kesunyian watak si penyemai sunyi. Ya, seolah itulah pertama kali anda merasakan perasaan sunyi. Terutama rangkap terakhir kisah ini:
" Setiap pagi aku selalu menyaksikan setangkai sunyi itu berbunga. Dan setiap kali aku merasakan keperihan kesepian".

Sepotong Bibir Paling Indah di Dunia

Cerpen ini juga antara cerpen yang menarik. Pada awalnya saya merasakan kepedihan jiwa seorang penunggu cinta. Namun akhirnya kisah ini adalah karya berbaur politik yang seolah memerli tuan Presiden. Jika kamu mahu tahu keseluruhannya bacalah kisah ini sendiri ya!


Keseluruhan

Buku ini saya berikan lima bintang. Segalanya luar biasa bagi saya!



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.