Jumaat, 27 Januari 2012

Gus Dur: Menjawab Kegelisahan Rakyat




"Namun yang terpenting, menjadi kewajiban kita untuk menjaga gar perjuangan itu berada tetap pada nilai-nilai demokrasi yang sebenarnya. Penyimpangan yang sedikit pun apalagi yang dilakukan oleh demikian banyak warga negara akan berujung pada kehancuran."

-Gus Dur-
Sepak Mula

Semuanya bermula apabila saya melawat Wahid Academy di Jakarta Indonesia tahun lepas. Diperkenalkan oleh institusi itu sebagai seorang kiyai yang mendokong pluralisma agama maka saya teringin untuk mengetahui lebih lanjut siapa sebenarnya bekas Presiden Indonesia ini. Sejujurnya saya hanya mendapat berita buruk mengenai beliau di Malaysia sebagai Presiden yang sakit. Yang pastinya saya tidak kenal beliau langsung.

Bagi saya, mengenali seseorang perlulah melalui pemikirannya. Keseluruhannya, buku ini bermanfaat bagi siapa saja yang ingin mengenali dan memahami pemikiran Gus Dur.

Siapa Gus Dur?

Kiyai Haji Abdurrahman Wahid ini yang lebih dikenali dengan nama Gus Dur menjadi Presiden Indonesia pada tahun 1999 sehingga 2001. Beliau meninggal dunia di Jakarta pada 30 Disember 2009.

Tentang buku

Buku ini adalah himpunan artikel yang ditulis oleh Gus Dur di antara tahun 2001 sehingga tahun 2006 yang dimuatkan di dalam Kompas.

Keseluruhannya buku ini dibahagikan kepada 4 bab iaitu:
1. Agama dan kekuasaan
2. Kepemimpinan
3. Moral dan Spiritual
4. Demi Palestina

Agama dan Kekuasaan

Gus Dur secara mata kasar saya mempercayai bahawa tiada satu bentuk konsep yang dinamakan negara Islam. Beliau percaya gagasan Negara Islam adalah sesuatu yang konseptual dan tidak diikuti oleh majoriti kaum muslimin. Lebih menarik lagi Gus Dur menulis di dalam artikel ketiga dengan tajuk "Islam, agama populer atau elitis? " berdasarkan pandangan beliau di sini, Gus Dur percaya perlunya kesederhanaan dalam beragama, beliau dengan jelas mahu kedua-dua modernisme agama dan tradisionilsme agama tidak saling bertingkah dan saling melengkapi secara rasional.

Kepemimpinan

Tidak banyak yang saya fahami di sini, mungkin kurangnya pengetahuan saya tentang situasi politik Indonesia. Gus Dur menyebut kuasa TNI dan mengulas serba serbi mengenainya. Namun yang paling menarik adalah tulisan beliau mengenai Golput (golongan putih). Beliau sedikit sebanyak tidak bersetuju dengan Golput yang kebanyakannya adalah golongan elit bandar yang memilih untuk tidak mengundi kerana tidak mempercayai Pemilu itu sendiri. Dengan tajuk "Apa yang kau cari golput?" beliau memberikan huraian bahawa golongan elit ini seolah tidak mepunyai 'wisdom' seperti golongan rakyat kecil yang mempercayai Pemilu.

Rakyat kecil ini bagi beliau berani maju memberikan suara dan tidak takut kemungkinan buruk berbanding golongan elit yang penakut. Ada benarnya kenyataan Gus Dur, kadang-kadang golongan terpelajar melihat dalam perspektif sempit dan gagal melihat secebis kebenaran terhadap perlunya rasa percaya.

Moral dan spiritual

Yang menarik beliau menyebut mengenai proses perubahan sosial. Belaiu melontarkan kepada pembaca bagaimana sudah bersediakah Indonesia dengan perubahan ini. Dengan mudah beliau memberi contoh lirik lagu dangdut yang suatu masa dahulu sekadar "Pertemuan dua mata" kini berubah menjadi "ciuman bibir".

Saya ketawa sendiri membaca kenyataan Gus Dur ini yang ditulis pada tahun 6 tahun lepas. Kenapa? Kerana beliau benar. Tahun lepas, 2011, semasa saya menonton rancangan televisyen di Indonesia terdapat lagu dangdut yang mempunyai lirik jika tidak silap "teman tidur satu malam" iaitu "one night stand". Pak Gus Dur! Ianya sudah lebih dari itu!

Simpul mati

Walaupun buku ini telah lama diterbitkan ianya memang membantu saya mengenali serba sedikit pemikiran Gus Dur. Beliau kelihatan optimis dengan beliau terhadap perubahan untuk Indonesia namun hampir 90% artikelnya diakhiri dengan argumen " Hal ini mudah dikatakan, namun sangat sulit untuk dilaksanakan". Apa yang saya boleh katakan sikap pesimis itu amat menjengkelkan tetapi itu memang beliau. keseluruhannya walau satu bintang saya berikan, tidak rugi untuk membacanya.. Senyum simpul!!

Mengenali seseorang perlulah melalui pemikirannya. Nyata buku ini bermanfaat bagi siapa saja yang ingin mengenali dan memahami pemikiran Gus Dur.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.