Khamis, 19 Mei 2011

Jangan Pukul Rata!




Baru-baru ini kami di Goodreads membincangkan mengenai budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai alasan yang diberikan sehingga ada yang menyalahkan harga buku. Walaupun saya tidak sepenuhnya bersetuju bahawa harga buku yang mempengaruhi rakyat Malaysia daripada membaca namun saya tidak menolak bahawa ramai juga yang tidak dapat membaca kerana tidak mampu untuk membeli buku. Ya, ada.


Jangan Pukul Rata

Keseluruhannya terdapat pelbagai buku di pasaran, namun tidak semuanya mempunyai harga mampu beli bagi golongan pertengahan. Ini adalah realiti. Apa yang membuatkan saya kecewa adalah terdapat segelintir yang sekadar memperlekehkan golongan yang menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak mampu untuk membeli buku. Kita janganlah memukul rata semua orang mampu memperuntukkan wang khas untuk buku seperti kita. Sedarlah ramai juga tidak mampu!


Kos Sara Hidup

Realitinya, kos sara hidup yang tinggi dan beban hutang yang pelbagai yang dihadapi oleh sesetengah orang mungkin tidak dialami oleh kita. Mungkin kita sendiri tidak pernah mengalami kekurangan wang hanya untuk membeli susu anak sehingga setiap sen pun akan dikira dan tidak akan dibazirkan. Ramai juga yang suka menggalakkan anak mereka membaca namun tidak mampu membeli bahan bacaan terkini yang boleh merangsang minat membaca anak mereka.

Ibu bapa kini juga pasti lebih mementingkan pembelian buku-buku pelajaran berbanding bahan bacaan tambahan yang lain kerana ianya pasti melebihi daripada bajet yang diperuntukkan. Penghujung tahun lepas, saya pernah bekerja seketika di sebuah kedai buku dan saya mendengar keluhan ibu bapa ini yang sekadar mempunyai pendapatan di antara 2 ribu ke 4 ribu. Mereka sanggup mencari buku-buku tersenarai yang perlu dibeli di kedai yang menawarkan potongan harga berbanding membeli terus dari pihak sekolah agar dapat mengurangkan kos buku. Keadaan ini lebih terasa di kalangan ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai.

Mengkritik manusia lain yang tidak mampu membeli buku dengan menyuruh mereka memberi keutamaan di dalam pembelian buku. Kita hanya berandaian mereka mengutamakan perkara lain di dalam pembelian barang. Keutamaan sesuatu perkara kepada setiap manusia adalah berbeza mengikut situasi. Mungkin sesekali sesorang memang perlu membeli kerongsang baru kerana kesemua kerongsang yang dimiliki sudah rosak. Jangan pesimis, jangan rasa diri sendiri pun bagus kerana membaca buku.

Perpustakaan

Jika perpustakaan di Malaysia ini adalah sangat mudah diakses barulah cadangan ini relevan. Buku-buku di perpustakaan sekolah juga jarang di kemaskini dengan buku-buku baru. Jika di Universiti sendiri buku-buku baru agak lambat untuk ditemui tersusun di rak-rak, inikan pula perpustakaan kampung dan sekolah.

Namun begitu, saya memang sangat bersetuju bahawa meminjam dari perpustakaan adalah salah satu alternatif. Alternatif terbaik buat saya sekarang walaupun saya masih tidak berpuas hati kerana gagal menemui buku yang saya inginkan.

Kesimpulannya, mesej yang saya nak sampaikan di sini adalah "Masih ada yang mahu membaca, namun tidak mampu dari segi material".. Jangan pukul rata semua orang!

p/s: Phew.. lega lepas tulis ni.. haha


3 ulasan:

encik kerani berkata...

Sangat bersetuju!

Saya pelik juga kenapa penerbit di malaysia suka gunakan kertas berkualiti tinggi untuk buku mereka, kenapa tidak menggunakan kertas ala suratkhabar seperti buku luar?

Bukankah itu akan menjimatkan lagi kos?

Fariza berkata...

Entah, susah nak dapat kot. Ni kena tanya orang penerbitan, takut salah cakap pulak..

Tapi realitinya saya memang lebih suka baca buku paperbag, sebab lebih ringan dan ada rasa 'vintage'.. gitu..

Nisah Haji Haron berkata...

Encik Kerani,
Saya ada bertanya kepada penerbit berkenaan. Penggunaan kertas simili sesuai untuk cuaca di Malaysia dan asia. Kertas newsprint (yang seperti surat khabar) itu hanya sesuai untuk negeri luar Asia dan negeri 4 musim kerana faktor cuaca. Cuba lihat buku-buku lama yang diterbitkan di luar negara khususnya buku-buku lama dari UK (buku Enid Blyton paperback, contohnya) akan terurai pada bahagian bindingnya jika disimpan bertahun-tahun di Malaysia (jika tidak dikawal dalam suhu seperti di dalam perpustakaan, dengan pendingin hawa dsb.)

Gudang buku yang menyimpan buku di Malaysia tidak mampu hendak menghidupkan air-cond sepanjang masa. Kalau buku itu tidak laku bertahun-tahun, siapa yang akan menanggung kos air-cond dan juga kos buku yang akan rosak (jika tidak hidupkan air cond).

Sebagai pembaca, dan saya percaya ramai pembaca yang suka membaca, buku yang dicetak atas kertas newsprint ini. Namun, sudut pandangan penerbit juga harus dinilai.

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.