Ahad, 15 Mei 2011

Dwilogi Cinta Andrea Hirata!



"... seumpama catur, hidup sedikit banyak bak reaksi atas pilihan sulit yang silih berganti.."


Padang Bulan

Permulaan yang sedikit perlahan dan tidak menampakkan arah tuju cerita membuatkan saya sedikit ragu akan keistimewaan novel ini. Nyata memang Padang Bulan adalah sebuah pengenalan sahaja seakannya kepada cerita yang sebenar.

Kisah Enong seolah mati. Tetapi yang utama adalah kisah Ikal dan cintanya terhadap gadis Tionghua, A Ling. Temanya barangkali, keagungan perasaan cinta. Cinta yang hanya terhadap satu sahaja. Kelakar, namun cinta memang mampu menggerakkan manusia membuat pelbagai perkara, tidak kira cinta apa sekalipun. Cinta terhadap aktiviti pengintipan membawa kepada kegiatan detektif swasta M. Nur terus berjalan. Kecintaan terhadap A Ling membuat Ikal sanggup cuba menentang berbagai acara.

Namun Padang Bulan sekadar itu.


Cinta di Dalam Gelas

Menarik. Kisah semangat mempelajari catur Maryamah buat saya bersemangat. Seolah-olah tiada kesulitan langsung di dunia ini yang tidak boleh kita hadapi. Dengan semangat dan azam beserta usaha yang strategik malah kerjasama berkumpulan perkara yang mustahil pun boleh berlaku.

Kisah Enong bersambung di bahagian kedua dwilogi ini nyata memuaskan hati ramai. Saya apatah lagi. Malah buku kedua ini berlebihan pula lelucon Andrea Hirata. Saya terkekek-kekek ketawa di dalam LRT. Tidak tertahan dengan jenakanya. Terutamanya jika bersangkut dengan Detektif M. Nur. Menulis namanya sahaja sudah membuatkan saya tersenyum. Pasti orang di sekeliling ingat saya mempunyai penyakit gila nombor 27. haha.. (tak faham? baca buku ini.. hehe)


Jose Rizal

Tersenyum lagi. Merpati belaan Detektif ini nyata menjadi salah satu watak kegemaran saya. Apatah lagi watak tuannya, Detektif M. Nur adalah pencetus ketawa saya. Ketawa yang membuat orang sekeliling pelik dengan tingkah laku seorang perempuan bertudung litup namun tidak malu langsung ketawa sendirian. Awas, jangan pernah membaca dwilogi ini di tempat awam, jika tidak pasti dituduh gila. haha..


Politik

Seperti biasa penulis Indonesia sering sahaja menulis karya pasti memasukkan elemen politik. Keadaan rakyat yang melepak di kedai kopi dan mengutuk kerajaan ditampilkan oleh Andrea Hirata sudah pasti bukan sekadar penghias cerita. Ianya menampilkan sisi tidak puas hati dan penilaian rakyat terhadap pemerintah. Sering disebut adalah mengenai wakil rakyat yang tidak berguna, ahli politis yang rasuah dan menteri pendidikan. Walaubagaimanapun, Andrea tidak berlebihan menunjukkan rasa tidak puas hati itu, malah rasional dalam menulis berkaitan pemerintah Indonesia.

Namun begitu, nyata Andrea juga dengan jelas menampilkan sisi kecintaan rakyat Indonesia terhadap negaranya melalui penampilan kesemua warga tidak kira Tiong Hua berseluar pendek, melayu berkain pelekat, muda mahupun tua menghormati lagu kebangsaan Indonesia dengan berdiri. Ini adalah teknik penulisan yang menarik menunjukkan kesatuan rakyat walaupun mereka saling tidak bersetuju antara satu sama lain.


Menarik

Sikap ketidakterbukaan rakyat Indonesia terhadap keterlibatan wanita di dalam sesuatu perkara juga ditampilkan oleh Andrea apabila ramai yag tidak bersetuju apabila Maryamah ingin ikut bertanding catur yang dianggap permainan untuk laki-laki sahaja layaknya. Sedikit unsur kebebasan dan feminisme juga ditonjolkan melalui watak Maryamah dan Selamot.

Lebih menarik apabila Maryamah perlu memakai burkha atau penutup wajah (purdah) semasa bertanding. malah penghadang tabir nipis juga diletakkan untuk mengelakkan daripada kedua pemain yang berlainan jantina daripada berpandangan. Semuanya kerana Syariat Islam.


Puas

Pengakhirannya walaupun sekadar Maryamah unggul dengan catur namun puas buat pembaca. Semangat dan bahagia seolah menyimpul keseluruhan kisah ini. 4 bintang buat Cinta Padang Bulan dan 5 bintang buat Cinta di Dalam Gelas. Noktah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.