Isnin, 7 Mac 2011

Selamat Hari Wanita ke-100


Pagi saya dikejutkan dengan pesanan ringkas (SMS) dari sahabat baik semasa aktif di kampus dahulu, SMS beliau seperti berikut;

Kepada pembaca mesej, tanpa senyumanmu, dunia akan menjadi suram, tanpa suaramu, dunia kian hilang semangatnya dan tanpa ketabahanmu, takkan kekal keamanan sejarah dan peristiwa, dikaulah di sebalik semua itu, wanitaku. Alhamdulillah di atas keindahan ciptaanNya..
Selamat Hari Wanita ke-100

Saya tersenyum membaca mesej ringkas K. Siti. Saya berseru, "Wah.. pagi-pagi sudah dipuji". Nampaknya beliau semakin pandai berpolitik, mencari pengaruh. Saya yakin pasti ramai sahabat-sahabatnya yang lain juga menerima mesej yang sama. Walau apa pun saya membalas ringkas, " Selamat Hari Wanita juga.."


Signifikan Hari Wanita

Wanita Malaysia sejak akhir-akhir ini semakin beruntung. Secara luarannya saya pasti ramai yang bersetuju dengan kenyataan saya ini. Mana tidaknya wanita Malaysia secara bebas boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi tanpa diskriminasi, wanita Malaysia sudah punya koc LRT sendiri, Wanita Malaysia punya bas khusus dan sebagainya.




Wanita dan Kerusi

Semasa pilihanraya umum yang lepas Wanita UMNO meminta agar jumlah kerusi untuk wanita ditambah. Malah semasa Pilihan Raya Kecil di Tenang juga ada yang meminta agar wanita diberikan peluang untuk bertanding. Saya kagum dengan permintaan mereka terutamanya suara lantang itu datang daripada orang kuat Kementerian Wanita sendiri Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Bagi Pakatan Rakyat pula, saya membelek-belek buku jingga. Mencari di bawah tajuk "Wanita dan Institusi Keluarga". Nyata andaian saya tidak meleset, mereka juga mahukan perkara yang sama iaitu "Memperuntukkan 30% perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan".


Mimpi

Mahu kerusi? Silakan, boleh sahaja sesiapa yang mencatur memberikan peluang. Persoalannya sudah 'siap'kah orang yang ingin diberikan kerusi itu?

Kita sering menuntut, namun sering lupa sudah siap siagakah kita akan tuntutan yang kita mahukan. Sebelum ini tidak banyak kejayaan yang signifikan yang dilakukan oleh Menteri Wanita kita malah Wanita UMNO juga seolah hanya muncul apabila adanya Perhimpunan Agung UMNO dan semasa Pilihanraya sahaja. Tidak banyak suara lantang yang membicarakan soal rakyat jelata dan soal negara. Puteri pula sekadar memakai baju 'Pink' menganjurkan program untuk gadis remaja mengelakkan diri dari ragut dan rogol. Tidak salah, namun kita tidak mahu pemimpin yang sekadar mahu membela gender sendiri. Pemimpin di parlimen adalah pemimpin untuk semua lapisan masyarakat, harus global dan tidak emosi.

Kritikan ini langsung mengena kepada Pakatan Rakyat juga. Pakatan nampaknya sekadar berbasa-basi mengenai wanita. Tidak ramai pemimpin wanita pakatan yang berwacana secara matang mengenai falsafah, mengenai rakyat, malah berwacana mengenai wanita sendiri pun pakatan gagal terutamanya Muslimat PAS sendiri. Harakah sendiri seolah meminggirkan Muslimat, ataupun lebih tepat lagi sekadar Harakah pun Muslimat PAS tidak dapat mengeluarkan kenyataan. Jika ada kenyataan yang dikeluarkan pun tidak matang dengan hujah hanya sekadar emosi. Nurul Izzah pula seolah tenggelam dalam kemudaannya. Masih dilihat tidak begitu serius, hanya ahli politik yang menempel pada nama ayah. Muncul ketika kontroversi. Lihat sahaja isu Interlok, buku yang tidak pernah dibaca tetapi mahu terlibat didalam isu tersebut, wanita pakatan nyata hilang arah.

Saranan saya

Jangan sekadar bermimpi. Wanita harus bebas berwacana, harus meningkatkan bahan bacaan dan harus punya intelektualisme. Sewajarnya yang kita tuntut wahai wanita adalah peningkatan intelektualisme kita. Jangan sekadar membaca novel cinta, luaskan pembacaan kepada yang lain juga. Wanita Barisan Nasional dan Wanita Pakatan Rakyat jika serius mahukan penambahan kerusi harus mendidik generasi pelapis agar menjadi pemimpin wanita yang lebih baik yang lebih global untuk masa depan. Wujudkan parlimen bayangan yang terdiri dari pemimpin wanita muda dan berhujahlah secara profesional dan matang.

Menulislah. Tidak banyak pemimpin wanita yang menulis buku malah menulis secara aktif di alam maya pun tidak. Penulis wanita yang terkenal juga adalah penulis novel cinta, tidak banyak yang menulis karya kreatif yang punya seni. Penulis blog wanita yang mepunyai pengikut pula kebanyakannya menulis di dalam Bahasa Inggeris tidak ramai yang menulis di dalam Bahasa Melayu. Tidak mengapa sekurang-kurangnya idea mereka mengalir juga.

Tuntutan kita juga jangan sekadar berkaitan wanita sahaja. Biarlah kementerian Wanita menjalankan kerjanya. Tuntutan kita harus untuk rakyat, pembelaan orang yang tertindas, menuntut untuk masa depan negara dan menentang yang zalim serta menegakkan keadilan tidak kira siapa. Begitulah pemimpin wanita masa depan harapan saya. Ia bermula dari sekarang. Jangan hangat-hangat tahi ayam. Selamat Hari Wanita buat semua..

p/s: Maafkan bebelan saya.. (^_^)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.