Rabu, 16 Mac 2011

Sejarah Sebagai Hakim Muktamad



Membaca Sejarah sebagai Hakim Muktamad benar-benar membuatkan saya terasa ketinggalan zaman. Seperti ulasan saya mengenai Patah Balek, saya terpaksa membaca buku ini kerana saya memang ketinggalan daripada mengikuti tulisan-tulisan berunsurkan politik di antara tahun 2003-2004. Oleh itu, pengabaian tersebut perlu dibayar sekarang.


Bahasa yang baik

Koleksi rencana kritis Lee Ban Chen yang ditulis sekitar tahun 2003 ini nyata memberi kejutan kepada saya. Bahasa yang digunakan adalah baik dan tersusun malah menarik. Nyata saya mempelajari banyak perkara dari buku ini termasuk teknik penulisan rencana yang sangat baik yang ditonjolkan oleh Lee Ban Chen. Pujian saya ini turut dipersetujui oleh penulis kata pengantarnya, saudara Fathi Aris Omar.Di mana Fathi secara bersahaja memuji Lee:

"Gaya bahasanya lancar, kupasannya menarik"

Sekiranya anda berpeluang untuk membaca buku ini anda pasti bersetuju dengan saya berkenaan teknik penulisan beliau yang baik.


Sisi Pandang Lain

Menariknya melalui pembacaan koleksi rencana ini saya dapat melihat sisi pandang seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina terhadap situasi politik negara ketika itu. Lee nyata seorang yang sangat rasional di dalam memberikan pandangan malah pandangan beliau juga matang dan adil. Bukan setakat itu, wujud kesopanan di dalam penulisan beliau yang mengkritik penuh adil dan bijak. Walaupun terdapat banyak perkara yang saya berbeza pandangan dengan penulisan beliau namun saya masih boleh menerima perbezaan tersebut dengan teknik penulisan beliau yang penuh budi bahasa itu.

Apa yang menarik adalah beliau awal-awal lagi telah membuat ramalan bahawa PAS akan kurang mendapat sokongan selepas pendedahan Konsep Negara Islamnya. Memang pada tahun 2004 PAS kehilangan banyak kerusi malah gagal mengekalkan penguasaannya di Terengganu. Walaupun banyak lagi sebab kepada kekalahan tersebut, namun tidak dinafikan pendedahan dokumen Negara Islam juga menjadi salah satu faktor. Politik adalah mengenai persepsi rakyat.


Abdullah

Pandangan Lee mengenai Tun Abdullah Ahmad Badawi yang bakal diganggu oleh bayangan Tun Dr. Mahathir semasa pemerintahannya nyata menjadi. Saya juga bersetuju bahawa tindakan Tun Dr. Mahathir berundur ketika itu adalah sangat bijak di mana sokongan terhadap beliau masih kukuh. Malah sehingga kini, beliau masih dikenang berbanding penggantinya Tun Abdullah. Lihatlah sahaja penjualan buku beliau yang laris seperti goreng pisang panas di pasaran.


Berfikir

Rencana-rencana di bahagian akhir koleksi ini nyata membuat saya banyak berfikir. Rencana-rencana itu berkisar mengenai PKM dan Chin Peng. Sejarah dilihat dari kacamata Chin Peng nyata berbeza. Saya tidak terkejut. Memang banyak yang sudah diketahui dari pelbagai bahan bacaan yang lain. Cuma, setiap kali saya melihat sejarah dari pelbagai kacamata terkadang saya merasa tertipu oleh sejarah itu sendiri.

Siapa yang perlu saya marah atas penipuan demi penipuan terhadap sejarah? Manusia melihat sesuatu dari kacamata masing-masing. Sejarah mana yang lebih sejati? Sejarah mana yang tidak dipengaruhi oleh emosi penulisnya?

Namun yang pasti tiada apa yang lebih menyedihkan apabila fakta sejarah disembunyikan. Tiada yang lebih rugi daripada generasi berikut yang hanya boleh menurut apa yang ditulis sahaja. Benar, tiada siapa yang lebih rugi daripada kita. Kita, generasi muda. (mengeluh!)

Namun, sejarah jugalah sebagai hakim muktamad. Masa depan masih ada. (tersenyum)

1 ulasan:

Zahiruddin Zabidi berkata...

Assalamualaikum Fariza, mana enti dapat buku ini. Ana sangat mahukannya, kalau ada tolong beli sebuah kepada ana ya, syukran. Nanti ana bayar atau ganti dengan buku lain....

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.