Rabu, 2 Mac 2011

Rembulan Tenggelam Di Wajahmu



"Kalau pun tidak, begitulah kehidupan. Ada yang kita tahu. Ada pula yang tidak kita tahu. Yakinlah, dengan ketidaktahuan itu bukan bererti Tuhan berbuat jahat kepada kita. Mungkin sahaja Tuhan sengaja melindungi kita daripada tahu itu sendiri."

Pertama

Ini adalah karya pertama Tere-Liye yang dibaca oleh saya. Asyik. Yang pertama yang mengagumkan. Sebenarnya saya terpengaruh dengan rakan-rakan Goodreads yang memuji dan mengagung penulis ini. Nyata tidak sia-sia pengaruh itu. Tere-Liye nyata menambah senarai peminatnya. Saya!


Plot Yang Menarik

Permulaan dengan watak seorang kanak-kanak perempuan bernama Rinai membuat saya tertanya-tanya di sepanjang pembacaan. Ke mana hilangnya watak anak ini?

Persoalan demi persoalan menjadi terkait. Watak-watak muncul dan terkait dan ditinggalkan dengan persoalan yang terkadang perlu dijawab sendiri pembaca. Tere-Liye nyata bermain tarik tali dengan pembaca.

Rungkaian terakhir buku ini nyata membuat pembaca terasa ditinggalkan. Berat. Penuh persoalan. Rinai muncul. Lima persoalan terjawab. Menarik!


Hidup benar-benar lelucon yang hebat..

Rembulan Tenggelam Di Wajahmu nyata membuat saya berfikir tentang masa lalu saya. Sejak kelahiran, zaman kanak-kanak, sekolah menengah malah zaman universiti yang baru berlalu. Jatuh bangun yang dilalui. Saya berpendapat pembaca yang lain juga pasti mempunyai perasaan yang sama. Entah.

Ya, secara automatik anda menilai hidup. Kerana buku ini membawa manusia menilai semula kehidupan wataknya, Ray, Raihan. Kita mengeluh, sedangkan Tuhan lebih tahu.

Dulu, semasa masih di Tingkatan dua dengan pengetahuan agama yang cetek saya mempersoal keadilan tuhan mengambil nyawa ayah saya semasa kami masih muda. Saya memilih untuk tidur sambil mengharapkan esok ayah saya bangun dari kubur kerana masih bernyawa dan disalah tafsir sahaja kematiannya. Benar. Ini yang berlaku.

Kini, saya percaya hikmahnya besar. Matang dengan Islam mungkin.

Oleh sebab itu, buku ini benar-benar dekat di hati saya. Kesimpulannya mudah, Tuhan lebih tahu..


Benarlah terkadang kesunyian dapat membunuh.

Satu persatu falsafah yang ditonjolkan oleh Tere-Liye membuatkan saya berfikir. Kata-kata hikmah Tere-Liye indah.

Watak-wataknya mengagumkan. Persis idola. Wajar dihormati.


Abang Ape

Jika wujud orang seperti ini yang saya kenali. Dia pasti saya jadikan mentor. Beliau optimis. Optimis dan kata-katanya mengesankan jiwa. Antara pesanan beliau terhadap penghuni rumah Singgah yang paling saya sukai;

"Kalian mungkin memiliki masa lalu yang buruk, tetapi kalian memiliki kepal tangan bagi merubahnya. Kepal tangan yang menentukan sendiri nasib kalian hari ini, kepal tangan yang melukis sendiri masa hadapan kalian."

Saya merenung jauh..

Buku

Keseluruhannya memuaskan. Pujian buat penyunting buku ini. Pemilihan kulit buku yang tepat dan menarik. Tahniah buat PTS Litera Utama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.