Ahad, 6 Mac 2011

Patah Balek



Sudah lama saya memulakan pembacaan kumpulan rencana Fathi Aris Omar ini. Setelah berhenti seketika dan fokus pada buku lain, akhirnya saya kembali kepada Patah Balek. Sesuai dengan tajuk buku ini, saya nyata teruja kembali meneliti tulisan buku ini.

Patah Balek: Catatan terpenting reformasi ini memang sudah ketinggalan zaman kerana sudah 6 hingga 8 tahun lalu ia ditulis. Tulisan-tulisan Fathi Aris Omar ini bermula dari tahun 2002 sehingga tahun 2004. Semasa tahun-tahun itu saya masih di bangku sekolah dan tidak pernah membaca situasi politik semasa. Oleh itu, bagi saya tulisan ini adalah amat wajar dibaca agar dapat memahami landskap politik ketika itu.

Kritis

Buku ini menonjolkan sisi pandang penulisnya yang mahukan suatu perubahan berlaku di dalam suasana politik Malaysia. Beliau dengan kritis menempelak golongan mahasiswa dan golongan profesional yang dilihat wajar membawa ruang awam ke arah perubahan namun dilihat hanya duduk-duduk sambil lewa dan tidak berfikir.

Saya bersetuju dengan penulis atas pandangan beliau bahawa bukannya tidak ada kebebasan bersuara dan menulis yang menjadi masalah kita di Malaysia, tetapi masalah utama kita adalah sekiranya ada kebebasan pun suara dan hujah yang dikeluarkan tidak bernas malah kualiti tulisan yang kita mahu bebaskan itu terlalu rendah nilainya.

Oleh itu tempelaknya nyata kepada golongan akedemia yang tidak mahu menulis secara kritis dan membina idea untuk diperbincangkan di kalangan masyarakat.

Rasional

Menariknya penulis pada pandangan saya adalah keterbukaan beliau mengkritik sacara rasional pelbagai pihak dan memuji sekadarnya sekiranya perlu. Oleh itu, mungkin Fathi kurang disenangi oleh mana-mana parti politik di Malaysia ini sekalipun. Beliau mengkritik dengan keras PAS yang dilihat melaung-laungkan keterbukaan namun parti itu sendiri yang tidak terbuka terhadap kritikan malah tidak terbuka menjawab persoalan masyarakat.

Saya bersetuju apabila beliau dengan mudah menyatakan bahawa kita kini berhujah secara emosi sahaja bukan berhujah dengan fakta dan akal. Bagi beliau Barisan Alternatif mahupun Barisan Nasional tetap sama dari segi keterbukaan dan ini merisaukan beliau akan nasib generasi akan datang.

Setuju

Antara yang paling saya setuju adalah artikel beliau bertajuk Negara sekular, Negara Islam atau Negara Buku? Mesej utama yang ingin beliau bawa bahawa masyarakat perlu dididik dahulu barulah sesuatu idea itu dapat dilaksanakan. Jangan sekadar memaksa masyarakat menerima tanpa memahami apa yang ingin dibawa. Beliau dengan sinis menyatakan dalam artikel beliau yang lain bahawa jenayah paling besar UMNO adalah membodohkan rakyat. Pembodohan yang berterusan sehingga menjangkit kepada pembangkang. Saya ketawa membacanya.

Menarik

Apa yang menarik adalah saya secara sedar melihat bahawa idea-idea yang disarankan oleh beliau telah ada yang dilaksanakan oleh pihak pembangkang mahupun Barisan Nasional. Tidakpasti sama ada idea itu diilhamkan oleh beliau ataupun secara kebetulan sahaja. Yang pasti belaiu sudah menyampaikan ideanya terlebih dahulu sebelum ianya dilaksanakan. Itulah orang yang berfikir.


Humor

Tajuk penulisan beliau yang berbaur kontroversi dan lucah membuatkan saya ketawa. Beliau nyata seorang yang tersangat dahagakan kebebasan dan mungkin terpengaruh dengan gaya penulisan di Indonesia. Antara tajuk pelik ialah Politik Kelentit, Jerawat dara dan hudud serta pelbagai jenis istilah yang membuatkan kita tertawa sendiri membacanya.

Sekiranya anda ingin lebih mengenali landskap politik Malaysia di antara tahun 2002-2004 dan memahami maksud sebenar kebebasan media bagi Fathi Aris Omar, saya sarankan anda mencuba untuk membaca buku ini.

2 ulasan:

Baim Syd Barrett berkata...

Esei esei dalam buku ni memang mengancam!saya dah banyak kali baca sejak tahun 2005,tak pernah muak!

Fariza berkata...

Patah Balek memang kumpulan esei yang kritis..

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.