Isnin, 14 Mac 2011

For One More Day



"..kamu boleh menjumpai sesuatu yang amat berharga dan penting dalam waktu-waktu yang dianggap biasa."

"For one more day" nyata kisah ringkas tetapi membuat kita berfikir tentang masa lalu dan apa tindakan akan datang kita. Perjalanan hidup seorang pemain besbol bersama ibunya nyata berjaya membuat saya menitiskan air mata.

Kasih ibu memang tidak dapat dibayangkan. Kisah tentang Chick yang menentang ibunya pada saat-saat tertentu mengingatkan saya sikap derhaka saya terhadap emak saya. Mungkin itu sebab utama mengapa saya menangis membaca kisah ini.

Seperti cerita tulisan Tere Liye, Rembulan Tenggelam di Wajahmu, Chick di bawa melawat ke dunia yang membongkar sudut-sudut hidup berkaitan ibunya yang tidak beliau ketahui semasa ibunya masih hidup. Kisah-kisah yang membuatkan beliau tahu betapa sedikitnya beliau tahu mengenai hidup ibunya sendiri. Manusia tidak tahu apa yang berlaku di belakang mereka. Manusia tidak tahu semua.


Mengesankan

Kisah di dalam buku ini pendek tetapi mengesankan dan penuh falsafah. Antara yang paling saya sukai adalah kata-kata ibu Chick selepas beliau membuat keputusan untuk meninggalkan kolej.

"Berbalik kepada sesuatu yang sudah kamu tinggalkan tidak semudah yang kamu sangka."

Kekecewaan jelas terpancar pada kata-kata ini. Saya termenung. Ya, tidak mudah untuk kembali kepada angan-angan yang sudah ditinggalkan.


Surat-surat

Surat-surat ibu Chick yang dimuatkan di dalam buku ini mengingatkan saya kepada isteri Ust Zaharuddin, Pn Nuraslina Jusin yang juga menulis surat kepada anak-anaknya.

Cara seorang ibu meluahkan rasa sayangnya terhadap anak-anaknya. Saya faham perasaan tidak dapat menyuarakan isi hati ini. Sukar sebenarnya bagi sesetengah orang untuk jujur dengan perasaannya terutama dengan orang yang paling dekat dengannya. Ibu dengan anak. Abang dengan adik. Anak dengan ayah. Bila didepan mata sukar untuk berbicara apa-apa tetapi apabila jauh, melalui telefon kita lebih jujur. Memohon maaf melalui telefon lebih mudah. Menitiskan air mata juga lebih mudah.

Bukan kita semua juga seperti itu? Entah..

PTS

Tahniah sekali lagi untuk sebuah karya terjemahan yang baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.