Jumaat, 24 Disember 2010

Memoir Tragedi Memali


Tragedi Memali merupakan salah satu peristiwa yang mengisi diari Malaysia, negara yang kononnya sudah merdeka sejak 50 tahun dahulu. Negara demokrasi berparlimen, yang mempunyai perlembagaan, malah negara inilah yang terkenal sebagai peneraju OIC..

Tragedi ini merupakan satu contoh pencabulan hak dan kuasa yang dilakukan ke atas golongan yang tidak bersalah. Sehingga hari ini tidak ada kenyataan yang jelas dari pihak polis mengenai kejadian yang berlaku, malah masih terdapat rakyat yang masih keliru dan percaya bahawa Shuhada' Memali adalah terdiri daripada golongan ajaran sesat.

Buku memoir ini nyata merupakan medium yang baik untuk mengetahui lebih dekat mengenai peristiwa Memali melalui kacamata orang yang hampir dengan peristiwa tersebut iaitu melalui isteri Assyahid Ust. Ibrahim Libya sendiri dan sahabat Assyahid sendiri yang turut ditembak semasa perisiwa Memali iaitu Pak Teh.

Penceritaan daripada isteri Assyahid terutama apabila beliau menceritakan pengalaman selama 2 bulan di dalam penjara membuatkan saya hiba. Lebih menyayat hati sebenarnya Puan Solehah ditahan semasa Assyahid sedang nazak selepas ditembak maka beliau tidak dapat melihat jenazah Assyahid selepas meninggal dunia kerana masih di dalam tahanan.

Isteri Yang Berani

Antara yang menarik perhatian saya adalah keberanian Puan Solehah. Semasa memeluk suaminya yang ditembak, pihak polis mengepung dan menyuruh beliau menyerah diri tetapi beliau berkeras.


" Cepat serah diri. Kalau tidak kami tembak", gertak salah seorang anggota polis.

Solehah merenung tajam pada anggota polis berkenaan. Secara spontan terkeluar dari mulutnya.

" Tembaklah!", tegas Solehah.

Agak lama juga barulah Solehah bangun mengangkat tangan.


Lebih menyakitkan hati, semasa dalam tahanan polis pakaian wanita Memali tidak terjaga.


"Dia tunduk malu sambil memerhatikan pakaiannya. Bajunya masih belum bertukar. Mereka kelihatan comot, tidak terurus.

Walaupun tudungnya telah hilang entah ke mana, Solehah tetap menutup kepalanya dengan sehelai serban. Serban itu diambilnya ketika anggota polis di kem PPH Tanjung Pari, menyerahkan pakaian yang dirampas di kawasan rumahnya pada hari kejadian. Bagaimanapun, semua pakaian itu adalah pakaian orang lelaki. Tidak ada pakaian perempuan."


Soal siasat yang dijalankan oleh polis memaksa mereka mengucap dua kalimah syahadah yang ditambah dengan nama Ust Ibrahim Libya. Mereka sengaja ingin mencari bukti mengaitkan orang kampung Memali dengan ajaran sesat. Semasa dibebaskan, mereka ditinggalkan di pekan Alor Setar tanpa duit walaupun pegawai tersebut telah berjanji mahu memberikan mereka duit teksi. Kejam..

Pak Teh

Kisah Pak Teh tidak kurang hebatnya. Dia menceritakan keadaan-keadaan tahanan lelaki pula. Beliau juga menceritakan secara terperinci keadaan semasa Tragedi Memali berlaku. Bagaimana perundingan dibuat semasa polis mengepung sehinggalah beliau ditembak.


"Pak Teh tidak lagi peduli dengan hujan peluru. Semangat wajanya mula memuncak, demi Islam, demi mempertahankan kebenaran, dia sanggup menghadapi apa sahaja. Tiba-tiba Pak Teh merasakan dirinya lemah. Sebentar kemudian, pedang di tangan Pak Teh terlepas seperti disambar helang. Bagaikan ada kuasa yang menyentak kuat tangannya itu. Tangannya dan beberapa bahagian anggota badan yang lain mulai mengalirkan darah merah. Pak Teh cuba juga pertahan diri dengan berdiri lutut, tetapi tidak lama. Akhirnya dia rebah dan lemah. Darah mengalir terus dari tubuhnya.."


Sekiranya mahu mengetahui kisah disebalik Memali, buku ini adalah alternatif terbaik untuk anda..

Buku

Walaupun di bab-bab permulaan buku ini adalah sekadar menambah maklumat di dalam buku ini, saya berpendapat sewajarnya penulis tidak memasukkan maklumat seperti itu kerana ianya tidak menarik dan tidak perlu. Ini pendapat peribadi saya.

Saya juga kecewa kerana seolah penulisan wawancara dengan Puan Solehah, Isteri Assyahid ust Ibrahim Libya di ambil terus dari majalah Muslimah tanpa dilakukan suntingan. Ini adalah sekadar saranan, iaitu diteliti semula ejaan lama seperti kampong, talipon dan sebagainya agar buku ini dapat diterima dengan baik oleh pelbagai golongan pembaca. Keseluruhannya, buku ini wajar dibaca agar kita semua mendapat maklumat yang lebih tepat mengenai tragedi Memali.

4 bintang buat Memoir Tragedi Memali..


2 ulasan:

http://mulutmelayu-realiti.blogspot.com/ berkata...

Kertas Putih MEMALi boleh dibaca di sini

https://docs.google.com/viewer?a=v&pid=sites&srcid=ZGVmYXVsdGRvbWFpbnxtdWx1dG1lbGF5dXJlYWxpdGl8Z3g6MTM3ZWQ0YWRmOGU4MzE0NQ&pli=1

Fariza berkata...

Thanks for the link.. So what?

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.