Isnin, 13 Disember 2010

Aku, Buku Dan Cinta


Buku ini secara keseluruhannya adalah mengenai kecintaan Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni terhadap buku. Bab satu dan bab dua menjadikan pembacaan saya agak lambat kerana penuh dengan ucapan yang berulang-ulang tentang kecintaan beliau terhadap buku, betapa pentingnya ilmu, betapa dia hanya mempunyai buku sebagai kawan dan banyak lagi. Dua bab ini ditambah dengan penterjemahan yang teruk menjadikan saya hampir berputus asa terhadap buku ini.

Tiba-tiba semasa saya hampir berputus asa beliau menasihati pembaca, "Anda jangan terburu-buru menginginkan hasil daripada bacaan anda." Zapp! Saya rasa seperti terkena tamparan. Di dalam hati saya berkata "Wah macam kasyaf je Dr. Aidh ni".

Memang benar keputusan saya supaya meneruskan pembacaan. Kemudian, apabila masuk bab yang ketiga barulah langkah membaca saya laju. Bab ketiga beliau menceritakan kisah-kisah menarik mengenai golongan yang mencintai ilmu. Cerita-cerita ini adalah sangat dahsyat kerana tidak terbayang oleh saya seseorang sanggup menjual rumahnya untuk membeli buku, sanggup menyamar sebagai pengemis demi ilmu dan sebagainya. Nyata, jika semua mahasiswa membaca buku ini akan malu sendiri dengan mereka.

Bab keempat lebih teliti menceritakan Ulama'-ulama' terkenal, kemudian bab lima mengenai Kitab-kitab yang wajar dibaca atas saranan Dr. Aidh sendiri bersama ulasan terhadap kitab-kitab tersebut.

Malu

Apabila Dr. Aidh mula mengulas satu demi satu kitab bermula dengan tafsir kemudian hadith di sambung dengan fiqh dan sebagainya.. saya mula malu dengan senarai bahan bacaan saya!

Bayangkan beliau seakan bersembang dengan bersahaja mengenai Tafsir Ibn Katsir, menyatakan isi Shahih al-Bukhari seperti kitab itu senipis buku biasa, beliau mengagumi Al-Muwatta' tulisan Imam Malik dan berbicara tentang kitab-kitab tersebut seolah ianya sangat nipis sedangkan kitab-kitab tersebut berjilid-jilid malah sangat tebal..

Apabila beliau menulis dengan nada sesalan " Amat rugi jika pencinta ilmu tidak pernah membaca kitab ini"... Saya mula terasa seperti diejek oleh ulama' ini. Terbayang-bayang saya akan wajah Dr. Aid memandang dengan sinis senarai bacaan saya di Goodreads . Malah saya seakan terdengar beliau mengatakan dengan nada menyindir " Ini bacaan kamu selama ini?"..

Semasa membaca buku ini, saya tergeleng-geleng kepala kerana tidak menyangka betapa ruginya saya. Terkadang, mulut saya terlopong sambil mengeluarkan bunyi "WAH!.." kerana bacaan kitab beliau amatlah pelbagai termasuk kitab dari golongan yang beliau tidak persetujui seperti golongan muktazilah dan kitab-kitab kontroversi yang lain.

Wah.. terasa saya sangat rugi kerana gagal memahami bahasa Arab. Terasa diri saya sangat kerdil berbanding bacaan beliau yang pelbagai itu.

Lebih malu lagi apabila Dr. Aidh menasihati pembaca agar membaca bahan bacaan yang bermanfaat sahaja, janganlah membaca majalah dan buku-buku yang sia-sia kerana bagi beliau itu amatlah merugikan masa..

Saya amat menyarankan sesiapa yang tidak berpeluang membaca kitab-kitab agung Islam seperti yang dibaca oleh Dr. Aidh agar membaca buku ini. Kerana? :

1. Sekurang-kurangnya anda pernah mendengar dan mengetahui kewujudan kitab-kitab tersebut.

2. Sekurang-kurangnya anda mengenali Ulama' agung dunia Islam. Jadi, tidaklah terpinga-pinga kerana tidak pernah mendengar nama mereka.

3. Sekurang-kurangnya anda malu seperti saya malu terhadap bahan bacaan saya.

4. Sekurang-kurangnya anda tahu anda tidak tahu.... (^_^)

Saya berikan 3 bintang secara keseluruhan kepada buku ini kerana ia tidak disunting dengan baik..

Serba Serbi al-Hidayah

Penerbit al-Hidayah wajar membuat perubahan dari semasa ke semasa terhadap mutu buku mereka. Penterjemahan yang teruk ditambah dengan kesalahan taip yang banyak menjatuhkan nilai sebuah buku. Mungkin buku ini diterjemah dari bahasa Indonesia ke Bahasa Melayu, namun editor haruslah memainkan peranan dengan serius.

Sikap serba serbi terhadap penerbitan buku membuatkan saya berfikir banyak kali untuk membeli buku terbitan al-Hidayah lagi. Bukan buku ini sahaja yang bermasalah malah kebanyakan buku terbitan al-Hidayah di perhatikan mempunyai masalah yang sama.

Bayangkan terdapat beberapa perkataan yang tidak difahami maksudnya hanya kerana masalah taip dan masalah terjemahan yang teruk. Pada mulanya saya mahu menyatakan kesalahan tersebut dengan terperinci. Namun, terlalu banyak yang perlu ditaip..

Saya amat berharap agar penerbit al-Hidayah sedar akan masalah ini dan melakukan perubahan.

p/s: Selamat Bercinta dengan Buku!!!

2 ulasan:

sallehuddin berkata...

Saya baru saja memiliki buku ini setelah berpeluang membelinya di Pesta Buku Antara bangsa Kuala Lumpur 2011. Insyaallah akan disenaraikan dalam 101 Buku Inspirasi.

Fariza berkata...

Yeah, thats great Sallehuddin..

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.