Rabu, 10 November 2010

Tokoh-tokoh Besar Gerakan Islam Dalam Sejarah



Buku ini mengumpulkan kisah-kisah inspiratif para pemimpin gerakan Islam sedunia melibatkan gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin di Mesir, revolusi Iran, gerakan Islam di Sudan, Hamas, kisah pejuang di Acheh malah gerakan Islam Malaysia sendiri.

Hasil tulisan Saari Sungib ini merupakan karya berharga yang wajar dihalusi oleh semua anak muda Islam terutamanya yang banyak terlibat dengan gerakan dakwah. Tokoh-tokoh yang dipaparkan memang mempunyai keunikan masing-masing di dalam gerakan Islam. Melalui pengalaman tokoh-tokoh ini, anak muda Islam pasti akan lebih bersemangat dan mengetahui jerih payah yang telah dilalui oleh ahli gerakan Islam terdahulu perlu diteruskan demi perjuangan Islam yang sebenar.

Di dalam bab-bab yang awal, penulis banyak menyentuh mengenai fiqh al-waqi' dan betapa perlunya ahli gerakan Islam untuk memahami manhaj gerakan Islam bersifat waqi'. Beliau juga secara khusus menulis di dalam satu bab mengenai 5 ilmu fiqh yang perlu dikuasai oleh ahli gerakan Islam. 5 fiqh tersebut adalah fiqh al-maqasid, fiqh al-aulawiyat, fiqh as-sunan, fiqh al-muwazanah dan fiqh al-ikhtilaf.

Buku ini memudahkan saya mengenali secara serba sedikit gerakan Islam dan tokoh yang jarang saya kenali seperti Syeikh Abdul Qadir Muhyiddin dan Syeikh Abdul Hamid di Algeria, Hasan Turabi di Sudan dan ramai lagi.

Gerakan Islam di Sudan antara yang menarik minat saya kerana saya dapat melihat perkembangan gerakan Islam Ikhwan di sana yang penuh pancaroba sehingga berlaku perubahan yang menunjukkan bahawa gerakan Islam perlu anjal berdasarkan keadaan tertentu. Di Sudan, dari gerakan terbuka menjadi gerakan bawah tanah kemudian berlaku keadaan gerakan Ikhwan Sudan beku kerana tidak terlibat dengan politik sehingga membawa perpecahan di dalam Ikhwan sendiri. Ikwan pecah dua di Sudan!

Namun suka saya nyatakan salah satu tokoh yang paling saya kagumi adalah seorang pejuang wanita Islam Acheh iaitu Teungku Fakinah. Saya tidak pernah mendengar mengenai kisah beliau sebelum membaca buku ini. Rupa-rupanya Acheh bukan sekadar melahirkan ulama' lelaki yang hebat malah golongan wanita juga bergiat aktif membantu gerakan Islam di sana. Wanita Acheh memang luar biasa, Teungku Fakinah menjalankan gerakan jihad malah mengatur strategi perang dengan hebat.

Beliau mengetuai empat rejimen jihad yang semuanya terdiri dari kalangan muslimat Acheh! Antara lain wanita ini juga berjaya menjalankan perang saraf kepada salah seorang panglima lelaki Acheh yang seperti bekerjasama dengan Belanda. Beliau mencabar Teuku Umar untuk berlawan senjata dengan beliau, rejimen wanita Acheh. Hebat sungguh sindiran yang berbentuk pantun dan puisi Teungku Fakinah terhadap Teuku Umar. Tidak pernah ada seorang lelaki yang berlawan senjata dengan wanita sehingga akhirnya Teuku Umar memutuskan untuk kembali menyertai kembali jihad takyat Acheh.

Selain itu, Teungku Chik Kuta karang antara ulama' Acheh yang saya kagumi kerana berjaya menulis buku panduan khusus untuk perang gerila bertajuk kitab ar-Rahmah. Kitab ini memuatkan panduan berguna untuk gerila di hutan seperti rawatan kesihatan dan pencegahan penyakit. Beliau juga menulis buku panduan berkaitan ilmu falak dan pemetaan. Beliau menjadikan perang gerila mencapai tahap yang lebih tersusun dan membangunkan khazanah intelektual buat Acheh.

Saya sungguh bersemangat semasa membaca bab-bab berkaitan pejuang Acheh dan bab-bab pejuang Ikhwan di Mesir! Walaubagaimanapun, saya dipagut sayu apabila membaca bab-bab yang berkaitan Malaysia. Terutamanya perjuangan Dr Zulkifli Muhammad dan Ust Fadzil Noor. Saya banyak memikirkan masa depan Malaysia apabila membaca bab-bab terakhir buku ini. Mungkin saya seorang sahaja yang bergenang air mata apabila membaca bab-bab berkaitan perjuangan Islam di Malaysia. Bacalah buku ini sendiri untuk memahami kenapa saya sayu kerana saya tidak tertulis tentangnya..

Secara peribadi saya merasakan penulis berjaya menyusun buku ini dengan baik. Susunan yang cantik ini memang membuatkan saya dibawa untuk terus membaca dari satu bab ke bab yang seterusnya. TERIMA KASIH tidak terhingga kepada Allah keran memberikan Saari Sungib kekuatan menulis buku ini. Buku ini adalah khazanah!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.