Jumaat, 1 Oktober 2010

Menuju PAS Baru


Penulis: Mujahid Yusof Rawa
Penerbit: The Malaysian Insider
Tahun Terbitan: 2010

PAS sebagai sebuah parti yang sudah lama bertapak di Malaysia boleh dikatakan sebuah organisasi yang ada turun naiknya dan penuh dengan kisah peribadi yang mungkin jarang diketahui oleh umum. Dr Mujahid Yusof Rawa sebagai seorang yang benar-benar berada di dalam parti alternatif tersebut ternyata mahu orang awam dapat melihat PAS melalui kacamata penulisan beliau.

Sebagai generasi muda saya agak tertarik untuk mengetahui landskap politik PAS yang agak sukar untuk kita ketahui melalui media massa utama. Oleh itu, melalui pembacaan buku ini saya berjaya mengenali serba sedikit PAS itu sendiri. Menariknya, hanya selepas membaca buku ini baru saya mengetahui bahawa Yusof Rawa merupakan salah seorang Presiden PAS selepas kejatuhan empayar Dr. Asri merupakan bapa penulis sendiri. Begitulah betapa sedikitnya pengetahuan saya tentang PAS.

Buku ini adalah sebahagian daripada tesis PHD beliau bertajuk Pengurusan Konflik Dalam Parti Politik Islam dan Kesannya Kepada Perubahan Organisasi. Saya memuji Dr. G. Manimaran yang berjaya menjadi editor yang baik kerana jarang sebuah buku hasil daripada penulisan tesis akan menjadi sebuah buku yang baik. Pengalaman membaca buku yang berasal dari tesis selalunya mendukacitakan dan mempunyai fakta yang berulang-ulang.

Buku ini membawa pembaca kepada sejarah PAS sejak di awal penubuhan sehingga Muktamar 2010. Keterbukaan beliau di dalam menceritakan konflik yang berlaku di dalam PAS dan pandangan masa depan beliau terhadap organisasi politik ini melambangkan generasi muda Malaysia semakin matang di dalam berpolitik.

Naik turun parti PAS dinyatakan dengan teori lekuk seperti di dalam sebuah graf. Lekuk pertama berlaku semasa PAS diterajui oleh Dr. Asri di mana PAS ketika itu menganggotai Barisan Nasional. Namun, selepas itu PAS jatuh dengan teruk selepas berlaku konflik dalaman di mana pengaruh dan kuasa mula mempengaruhi pentadbiran parti. Ketika ini, PAS dianggap gagal membawa mesej Islam yang sebenar sehingga memaksa berlakunya rombakan organisasi dengan pemecatan Dr. Asri dari PAS. Malah, konflik kerajaan Negeri Kelantan juga menyebabkan Kelantan kalah teruk pada tahun 1978. Di sini, penulis merasakan PAS mengalami satu konflik yang menjadikan organisasi ini semakin kukuh.

Selepas lekuk pertama inilah munculnya idea kepimpinan ulama'. Kesedaran ahli PAS mahukan PAS lebih membawa nilai Islam mendorong kepada kemaskini organisasi dengan pembentukan majlis Syura dan wujudnya jawatan Mursyidul Am PAS. Kini jawatan tersebut disandang oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Krisis yang agak lucu bagi saya namun ianya merupakan saat penting menurut penulis ialah apabila ahli PAS mencari-cari identiti masing-masing. Rupa-rupanya pemakaian kopiah menjadi perbahasan usul ahli suatu masa dahulu. Oleh sebab ketika itu Al-arqam mempunyai kod etika pemakaian, ahli PAS terpengaruh untuk turut mencadangkan etika pemakaian untuk PAS. Sehingga kini, masih dapat dilihat ahli PAS mempunyai kod etika pemakaian tidak rasmi seperti kopiah, berjubah dan berserban yang terhasil dari persepsi mahu kelihatan Islamik.

PAS bagi saya terlalu inklusif dan sukar didekati oleh pelbagai golongan. Malah, mungkin atas momokan kerajaan persekutuan rakyat terdorong untuk menjauhi parti ini atas sebab ketakutan sekiranya dikaitkan dengan PAS mereka akan sukar mendapatkan bantuan kerajaan.
Walaubagaimanapun, era tersebut bagi saya telah pun berlalu malah generasi muda kini lebih terbuka untuk menyatakan pendirian politik masing-masing.

Kini menurut penulis, bakal muncul pula lekuk ketiga di mana generasi muda PAS semakin terbuka dan memandang perlunya semangat nasionalis dan rasional untuk menerajui PAS. Golongan yang berpendidikan tinggi bukan dari aliran agama dilihat semakin mendapat tempat di kalangan ahli PAS. Walaubagaimanapun, lekuk ketiga masih samar-samar pembentukannya. Dr. Mujahid jelas yakin bahawa nilai politik matang yang berlaku di kalangan ahli politik generasi muda amat memberangsangkan dan akan membawa Malaysia lebih jauh. Ini dapat saya perhatikan apabila penulis menceritakan bagaimana beliau boleh berkerjasama dengan ahli parlimen muda BN dan berkongsi pandangan yang sama mengenai masa depan Malaysia.

Sesiapa yang mempunyai minat mendalam di dalam mendalami landskap politik Malaysia lagi sekali saya seru untuk membaca dan menilai penulisan Dr. Mujahid. Kepada generasi muda, "Jom intai PAS" hehe...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.