Isnin, 18 Oktober 2010

Laskar Cinta





Sudah lama sebenarnya saya tidak membaca karya kreatif terbitan PTS. Malah boleh dikatakan karya kreatif bahasa Melayu terkini yang saya baca pun hanyalah dari hasil tulisan Faisal Tehrani pada tahun ini. Mungkin kerana saya sering kecewa dengan pembacaan novel Melayu yang sering dilihat berpusing pada tema yang sama dan terkadang sering dipengaruhi oleh karya lain menjadikan selera pembacaan saya mati. Namun begitu, Laskar Cinta nyata lain malah jauh meleset dari sangkaan awal saya terhadap tajuknya sendiri. Malah kulit buku nyata sekadar kulit bukan melambangkan isinya yang jauh dari imaginasi kulit tersebut.

Laskar Cinta mengungkap kisah kehidupan pelarian kaum Karen yang tinggal di Kem Mae La. Ianya dimulakan dengan kedatangan seorang sukarelawan baru dari Malaysia, Nadine yang dijemput oleh rakan karibnya yang juga seorang sukarelawan yang telah beberapa lama berkhidmat di kem tersebut. Kemudian novel ini berkembang dengan pengenalan kepada watak-watak baru yang kemudian membawa pembaca kepada realiti kehidupan kanak-kanak di Mae La dan harapan mereka.

Pembaca kemudian seolah dibawa untuk terus membaca kerana plot novel ini berubah dengan cepat apabila Nadine ditangkap kemudian terdapat kumpulan anak-anak Karen masuk ke dalam hutan menganggotai kumpulan gerila. Boleh dikatakan penulis nyata cuba menyelit sedikit kiasan berbaur sindiran terhadap media Malaysia dan menjadikan suspen terhadap kehilangan Nadine pudar dengan teknik penulisan penulis yang mempunyai unsur humor.

Pengakhiran novel ini menjawab persoalan pembaca terhadap prinsip penulis dengan Epilog wawancara yang menarik. Beliau mengaku sebagai orang luar mungkin terdapat pemerhatian beliau yang kurang tepat mengenai etnik Karen malah menganggap ianya adalah ketakutan beliau terhadap penerimaan karya beliau. Antara yang terkesan di hati saya adalah jawapan penulis terhadap soalan wartawan mengenai kepercayaan penulis terhadap demokrasi. Penulis sekadar menjawab, "Tidak sepenuhnya". Menarik! Saya seolah ingin menyelongkar pemikiran penulis Thailand ini.

Secara keseluruhannya novel ini berjaya mengekalkan tahap konsentrasi saya untuk terus membaca. Namun begitu sekiranya penulis lebih banyak menonjolkan kehidupan di Mae la mungkin akan menjadikan novel ini lebih indah. Pendapat peribadi saya merasakan penulis belum cukup perincian terhadap rumah-rumah pelarian, kehidupan peribadi kaum Karen, makanan kaum Karen, sumber minuman Mae La dan perincian lain yang menimbulkan simpati terhadap pelarian ini. Tidak dinafikan aspek simpati pembaca mungkin lebih terarah terhadap emosi dan monolog watak yang digarap dengan baik oleh penulis.

Apa yang menjadikan novel ini mudah ialah penulis juga sekadar menulis ayat-ayat yang pendek dan ringkas. Perbualan juga menggunakan ayat yang ringkas. Bagi pembaca yang kurang meminati penulisan seperti ini pasti akan merasa tidak senang dengan kekerapan penulis yang sekadar menulis ayat pendek di dalam penceritaannya.

Tidak banyak cinta seperti tajuknya, namun sedikit tulisan beliau menganai perasaan Kamal terhadap Nadine sudah cukup untuk menyerikan novel ini.

Mungkin latar tempat dan watak adalah dari luar negara menjadikan perasaan ingin tahu pembaca terhadap cerita meningkat. Teori yang sama berlaku terhadap novel-novel hasil tulisan penulis yang belajar di Timur Tengah di mana latar tempat tersebut menjadikan cerita lebih menarik.

Keadaan Kem Mae La..

Namun begitu suka saya kiranya jika buku ini diberi tajuk seperti Mae La ataupun Aku Anak Karen mungkin menjadikan buku ini lebih lain daripada yang lain. Namun, PTS dan penulis mungkin mempunyai sebab "marketing" yang menjadikan tajuknya dan kulit buku sebegitu romantis dan malah mirip Sejadah Cinta, Ayat-ayat Cinta dan campuran Laskar Pelangi. Sudah terbiasa agaknya untuk menarik pembaca dengan menambah perkataan cinta pada judul buku..

Suka juga kiranya buku ini mempunyai kulit buku yang menonjolkan sekumpulan kanak-kanak mengangkat senjata. Pasti menarik! Imaginasi ini mungkin dipengaruhi oleh buku Memoirs of a soldier Boy oleh Ishmael Beah.. hehe..

Sebagai karya pertama, saya berikan empat bintang buat Isma Ae.

p/s: Tanda tangan penulis rakyat ini nyata akan sentiasa menghiasi memori saya.... Terima Kasih Daun Keladi... hehe

1 ulasan:

Isma Ae Mohamad berkata...

PENULIS RAKYAT..HEHE

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.