Sabtu, 21 Ogos 2010

Sempadan Bioteknologi ?


Sebagai seorang ahli bioteknologi saya mencari-cari buku yang sesuai untuk dijadikan panduan fatwa terhadap kajian berkaitan bioteknologi. Memang buku terbitan IKIM ini telah lama saya belek dan kini baru berkesempatan untuk membacanya.

Walaubagaimanapun, buku ini gagal memenuhi kehendak saya dan adalah teramat ringkas dan mungkin bertujuan sebagai bahan bacaan umum. Ianya tidak betul-betul menjadi panduan kepada saintis tetapi lebih kepada panduan kepada orang awam.

Namun tidak dinafikan sekurang-kurangnya IKIM mempunyai kehendak yang jelas iaitu untuk memberi kefahaman kepada ruang awam agar memahami sekurang-kurangnya istilah saintifik yang menjadi keperluan untuk diketahui dan fatwa asas yang pernah dikeluarkan oleh Malaysia sendiri.

Buku ini adalah panduan yang amat berguna bagi semua untuk mengetahui apakah itu makanan terubah genetic (genetically Modified Food), adakah kita pernah menggunakan makanan dan organism yang terubah secara genetic?, dan pelbagai persoalan lagi (seperti tajuk dalam bab).

Mungkin disebabkan pengulangan fakta-fakta yang telah tersedia dijelaskan di rencana lebih awal menjadikan ianya agak tidak tersusun. Namun tidak boleh dielakkan kerana penulis adalah berbeza mengikut bab-bab berdasarkan kepakaran masing-masing.

Oleh itu, saya perlu mencari buku rujukan lain yang mungkin dapat menambah maklumat sedia ada agar tidak terpandu pada sebuah buku sahaja. (mestila.. kan?)

Fakta perlu tahu oleh Saintis:

Fatwa Mengenai Bioteknologi Makanan dan Minuman

Fatwa ini telah dibuat dalam Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 12 Julai 1999. Fatwa tersenut telah memutuskan bahawa:

a) Barangan, makanan dan minuman yang diproses melalui kaedah bioteknologi DNA khinzir (babi) adalah bercanggah dengan syarak dan hukumnya adalah haram.

b) Penggunaan bioteknologi DNA dalam pemprosesan barangan, makanan dan minuman belum lagi sampai ke tahap yang boleh dikatakan darurat kerana masih ada pilihan bahan yang lain.

Keputusan yang dikeluarkan oleh Muzakarah Fatwa tersebut adalah berdasarkan kepada hujah berikut:

a) Dalam proses bioteknologi DNA, penggunaan bahan protein babi dalam perumah atau rumah tumpang atau sel yang menjadi benih kepada manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan bagi tujuan pembiakan dan kesuburan, maka ia tidak boleh dihukum halal kerana bahan khinzir (babi) itu merupakan najis berat.

b) Kaedah usul fiqh tidak boleh digunakan dalam kes pemindahan sel atau gen khinzir (babi) melalui DNA kerana bimbang ia akan menimbulkan fitnah dan menjadi isu sensitive umat Islam.

c) Terdapat satu lagi kaedah usul fiqh yang memberikan maksud yang jelas berkaitan ini iaitu “asal sesuatu yang harus adalah hukumnya halal dan asal sesuatu yang haram adalah hukumnya haram” atau “apabila bercampur sesuatu yang halal dengan haram sama ada banyak atau sedikit maka hukumnya adalah haram.”

-Walaupun sesuatu gene itu mungkin sangat kecil kuantitinya yang dimasukkan kedalam sesuatu organism namun sekiranya gen tersebut adalah dari haiwan yang haram ianya tetap haram.

- Namun begitu, masih banyak yang perlu diperincikan dalam aspek hukum contoh mengenai kes sekiranya gene tersebut telah di masukkan kedalam organism pengantara seperti bacteria dimana ianya menyalin cebisan DNA haiwan haram ke dalam bacteria tersebut kemudian barulah dimasukkan ke dalam organism lain adakah ianya masih haram? Di sini mungkin perlu ada penjelasan yang lebih jelas.

Kesimpulan:

Di dalam perkembangan pesat sains dan bioteknologi ini, para saintis dan ulama’ perlulah berkerjasama agar seiring dalam melaksanakan peranan masing-masing demi kesejahteraan umat. Malaysia dikira masih ketinggalan di dalam pengeluaran fatwa penting terutama dalam bidang genetic malah bidang perundangan di Malaysia juga masih belum mempunyai akta jelas di dalam banyak bidang sains.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.