Ahad, 24 Ogos 2008

Hari WANITA : Pastikan tahun 2008 Lebih Bermakna




Sebagai wanita Malaysia, setiap tahun saya teruja dengan kehadiran Hari Wanita Peringkat Kebangsaan Malaysia. Hari Wanita Peringkat Kebangsaan disambut pada tanggal 25 Ogos setiap tahun dengan sambutan pertama pada tahun 1965. Tahun 2008 merupakan Sambutan Hari Wanita yang ke-43 dengan tema ”WANITA PENJANA EKONOMI NEGARA".

Suasana hari ini yang menampilkan pencapaian wanita semakin cemerlang tetapi diselubungi dengan peristiwa-peristiwa kelam yang dialami oleh sebahagiam wanita yang dianiaya dalam sindiket dadah, yang dianiaya oleh sindiket pelacuran malah peningkatan kes jenayah rogol dan sebagainya menjadikan sambutan kali ini lebih relevan dijadikan pentas perbincangan yang serius terhadap arah tuju pembangunan wanita itu sendiri.


TEMA

Mengulas mengenai tema sambutan Hari Wanita Kebangsaan kali ini, saya berpendapat ianya kelihatan janggal untuk dijadikan tema memandangkan pada sesi 2007 yang lepas tema 'Wanita Nadi Pembangunan' seolah-olah sama dengan maksud 'Wanita Penjana Ekonomi Negara'. Di samping itu, tema itu menunjukkan seolah-olah penjanaan ekonomi negara sebelum ini tidak disokong oleh wanita, sedangkan sebanyak 45 peratus wanita bekerja berdasarkan statistik pada tahun 2007. Oleh itu, kita tidak harus menafikan bahawa wanita merupakan antara penyumbang utama ekonomi negara. Kini, dengan bertambahnya bilangan wanita yang berkerjaya kenyataan ini tidak boleh disangkal lagi. Namun begitu, saya optimis sekiranya tema kali ini benar-benar dibawa dengan serius oleh setiap peringkat ianya pasti memberikan impak yang baik terhadap pembangunan negara.



JENAYAH dan WANITA

Pada hemat saya, keadaan semasa yang memperlihatkan peningkatan penglibatan wanita di dalam jenayah dan masalah sosial wajar diberikan perhatian. Setelah berlaku banyak kes yang melibatkan gadis Malaysia ditahan atas sebab sindiket dadah antarabangsa Kementerian Wanita dan masyarakat dilihat gagal menjuarai isu tersebut malah tidak memperlihatkan usaha membendung masalah tersebut. Bukan setakat itu sahaja, malah kita kini seolah-olah lupa akan kisah kehilangan adik Nurin Jazlin dan ramai lagi kanak-kanak perempuan yang menyayatkan hati.Oleh itu, sewajarnya di peringkat semua NGO wanita dan pihak berwajib wajar memberikan perhatian terhadap masalah kebajikan wanita daripada terus membincangkan soal kesamaan gender sahaja.


PENGGERAK MASYARAKAT

Wanita merupakan nadi penggerak masyarakat kerana wanita berperanan di dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, dan sosial. Di dalam bidang ekonomi misalnya, wanita Malaysia dilihat sangat agresif di dalam memberikan sumbangan. Ini berdasarkan bertambahnya usahawan wanita yang berjaya di dalam pelbagai industri seperti kesihatan dan kecantikan, industri makanan dan sebagainya. Namun begitu pertambahan bilangan ibu yang bekerja dilihat sedikit sebanyak memberikan impak terhadap masalah sosial itu sendiri dan saya bersetuju dengan cadangan yang diberikan Kementerian Wanita dan masyarakat terhadap masa bekerja yang lebih anjal perlu diberikan kepada ibu yang bekerja.

Di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke -9, kerajaan telah menetapkan sasaran 50 peratus wanita dalam sektor guna tenaga menjelang 2010. Begitupun, usaha tersebut mungkin sukar dicapai jika beberapa isu mendesak yang berkepentingan wanita di tempat kerja masih tidak diberi perhatian.

Di dalam bidang pendidikan wanita dilihat semakin terkehadapan dan mampu bersaing dengan lelaki. Lihat sahaja sesi kemasukan universiti pada 10 tahun kebelakangan ini yang memperlihatkan pertambahan berterusan bilangan pelajar perempuan yang diterima masuk berdasarkan kelayakan cemerlang yang dimiliki oleh mereka. Peratus kemasukan pelajar perempuan sekitar 65 peratus berbanding 35 peratus lelaki secara keseluruhannya melambangkan hak sama rata wanita di negara ini mendapat pendidikan.

Dari segi sosial, wanita merupakan antara pencorak realiti sosial di negara kita. Kini, penglibatan wanita dari segi kemasyarakatan banyak membantu negara di dalam soal memelihara kebajikan rakyat. Banyak NGO wanita yang telah ditubuhkan dengan menitikberatkan soal kebajikan wanita dan kanak-kanak. Oleh itu di peringkat Hewi PMIUM kami sangat mengambil berat akan isu-isu yang berkaitan wanita malah penganjuran beberapa program yang memberi fokus terhadap mahasiswi seperti kempen keselamatan mahasiswi di kampus juga diadakan.

KINI

Namun begitu, sebagai wanita saya merasa sedikit terkilan dengan penganjuran konsert Avril Lavinge yang dilihat kurang sesuai diadakan pada minggu ini. Penganjuran konsert ini dilihat sedikit sebanyak mencemarkan suasana Hari Wanita kebangsaan yang memperlihatkan jati diri wanita wajar dibela sedangkan Avril bukanlah ikon yang wajar ditonjolkan pada ketika ini. Bukan setakat itu sahaja malah penganjur dilihat kurang peka dengan tarikh penganjuran konsert yang sangat hampir dengan Hari Kemerdekaan negara dan tidak menghormati bulan ramadhan yang semakin hampir kini. Apakah sikap seperti ini yang ingin ditonjolkan kepada generasi kita akan datang? dan adakah Avril sesuai dijadikan ikon wanita masa kini? Saya berharap penganjuran konsert ini akan dibatalkan segera demi masa depan generasi bangsa.



INFO

TEMA HARI WANITA :

2008: "WANITA PENJANA EKONOMI NEGARA"
2007: " WANITA NADI PEMBANGUNAN"
2006:“KESAKSAMAAN GENDER, RAKYAT SEJAHTERA”


FAKTA NOMBOR (2007)




Dunia





Terdapat 1.9 bilion lelaki yang aktif dari segi ekonomi berbanding 1.3 bilion wanita.







Malaysia



Peningkatan penduduk daripada 26.5 juta pada 2005 kepada 27.2 juta pada 2007, tenaga kerja meningkat sebanyak 2.1 juta setahun kepada 11.8 juta.

8.5 juta wanita dalam kumpulan usia bekerja iaitu 15 hingga 64 tahun berbanding 8.8 juta lelaki

daripada 8.5 juta itu hanya 3.8 juta wanita berada dalam sektor guna tenaga manakala lelaki 6.8 juta.







MENARIK:



Kali pertama tarikh 25 Ogos diiktiraf sebagai Hari Wanita oleh Perdana Menteri pertama, Tengku Abdul Rahman.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.