Isnin, 7 Julai 2008

Tajdid Iman: Ganjaran pahala sempurna bagi ummah rahsiakan amal ibadat

Oleh Dr Juanda Jaya
juanda72@hotmail.com


MESTI IKHLAS: Apabila amal dilakukan tidak boleh disembunyikan seperti sembahyang berjemaah seseorang mestilah mengawasi gerak hatinya supaya tetap membulatkan niat hanya kerana Allah.


Umat ikhlas sentiasa memelihara kualiti amalan sama ada dilihat atau tidak

IKHLAS tidak akan berada di hati orang yang gilakan pujian. Boleh jadi jasanya dikenang manusia tetapi di sisi Allah ia tiada bernilai walau seberat debu. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan Kami hadapkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu umpama debu yang berterbangan, tiada bernilai." (Surah al-Furqan, ayat 23)

Sesungguhnya ikhlas adalah rahsia antara Allah dan hamba-Nya. Tidak ada seorang pun yang mengetahui rahsia itu walaupun dia adalah malaikat pencatat amalan. Pengetahuan lupus atau tidaknya amalan manusia hanya berada pada ilmu Allah.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah berfirman, "Aku adalah yang paling tidak memerlukan sekutu. Barang siapa yang beramal sedangkan Aku disekutukan dengan selain-Ku nescaya Aku tinggalkan dia dengan sekutunya." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Apabila amal yang dilakukan tidak boleh disembunyikan atas sebab tertentu seperti sembahyang berjemaah, haji atau sedekah yang diisytiharkan untuk memberi teladan kepada masyarakat supaya mengikuti perbuatan baik itu, maka seseorang mestilah mengawasi gerak hatinya supaya tetap membulatkan niat hanya kerana Allah.

Tidak salah beramal di hadapan manusia kerana setiap amal mesti diberi ganjaran yang sesuai sehingga 700 kali ganda balasannya. Tetapi jika mahu mendapatkan pahala yang sempurna tanpa dikurangkan sedikit pun seseorang hendaklah merahsiakan amalnya itu daripada pandangan manusia.

Rasulullah SAW menyatakan bahawa di akhirat nanti ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi rahmat Allah, dua daripadanya adalah orang yang memberi sedekah dengan tangan kanan sedangkan tangan kirinya tidak mengetahui, dan orang yang bersendirian mengingati Allah (berzikir) sehingga menitislah air matanya." (Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, Al-Nasai)

Sesiapa yang mahukan pujian dari yang Maha Terpuji hendaklah dia menyediakan amal perbuatannya semata-mata kerana mahu berkhidmat kepada yang Maha Terpuji. Hartanya, jiwa raganya, hidup dan mati diserahkan seluruhnya kerana mengharap reda Ilahi.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bertakwa, yang kaya dan yang suka menyembunyikan amalnya." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Kisah teladan sahabat Rasulullah SAW, tabiin dan salafus saleh adalah yang terbaik untuk diikuti dan diberi keutamaan bagi mereka yang mahu menyembunyikan amal soleh.

Imam Muslim melaporkan dalam Sahihnya daripada Abu Hurairah. Ketika Nabi SAW berada dalam suatu peperangan yang Allah memberikan kemenangan dan harta rampasan kepada Baginda SAW. Pada saat itu baginda bertanya kepada sahabatnya: "Apakah kalian kehilangan seseorang? Mereka menjawab: Ya, iaitu si dia, si dia dan si dia (mereka menyebut nama yang hilang).

Baginda SAW bersabda lagi: "Apakah kalian kehilangan seseorang? Mereka menjawab: Ya, si dia, si dia dan si dia. Sekali lagi Baginda SAW bersabda: Apakah kamu kehilangan seseorang? Mereka menjawab: Tidak ada lagi, ya Rasulullah. Baginda SAW bersabda: Tetapi aku kehilangan Julaibib. Carilah dia di antara mayat yang ada."

Mereka pun mencarinya dan mendapatkannya di antara tujuh orang mayat musuh yang berhasil dibunuhnya. Rasulullah SAW mendatangi mayatnya dan bersabda: "Dia membunuh tujuh orang musuh dan mereka pun membunuhnya. Lelaki ini adalah sebahagian daripada aku dan aku sebahagian daripadanya. Lelaki ini adalah sebahagian daripada aku dan aku sebahagian daripadanya."

Abu Hurairah berkata, bahawa Nabi SAW meletakkan jasadnya di atas kedua lengan Baginda sementara lengan lelaki itu hanya tinggal satu. Lalu Baginda SAW menggali kubur, meletakkan jasadnya di dalam kubur dan tidak memandikannya.

Julaibib adalah seorang insan yang tidak dikenali antara sahabat Rasulullah SAW. Selepas mendapat syahid, namanya begitu harum hingga menjadi sebutan yang indah di mata sejarah, melalui lisan Nabi SAW beliau dikenang walaupun manusia tidak pernah mengenalinya sebelum itu.

Kisah kedua pula menceritakan mengenai Umar bin al-Khattab yang mencari Uwais bin 'Amir al-Qarny. Apabila bertemu Uwais, Umar berkata, "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Akan datang kepada kalian seorang yang bernama Uwais bin 'Amir bersama rombongan dari Yaman, Murad dan Qiran. Dia terkena penyakit kulit dan sembuh kecuali tinggal di satu tempat sebesar sekeping dirham. Dia mempunyai seorang ibu dan sangat berbakti kepada ibunya. Jika dia bersumpah atas nama Allah, tentu Allah akan mengabulkan untuknya. Jika kamu mampu supaya dia meminta ampunan untuk kamu maka lakukanlah." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Lalu Umar meminta Uwais berdoa memohon keampunan Allah untuknya dan Uwais melakukan permintaan Umar. Apabila Umar ingin memberi wang belanja dan sehelai kain, Uwais berkata: "Sesungguhnya aku sudah mendapatkan empat dirham dari pekerjaanku mengembala unta ini. Apakah kamu melihat aku meminta tambahan? Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya di hadapanku dan di hadapanmu ada beban yang berat, yang tidak dapat dipikul kecuali oleh orang yang menganggapnya ringan, kerana itu buatlah ia ringan, semoga Allah merahmatimu."

Penampilan luaran kadang-kadang boleh menipu, oleh itu Allah hanya melihat yang berada di dalam hati dan diamal dengan nyata. Tanda ikhlas itu jika dilihat orang atau tidak, dia tetap melakukan amal dengan berkualiti kerana Allah.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda72@hotmail.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.