Ahad, 13 April 2008

Pertemuan Indah....

Akibat kekangan masa, selama saya menjejakkan kaki di Lembah Pantai tiga kali berturut-turut saya terlepas peluang untuk mengunjungi pesta buku antarabangsa yang dianjurkan di sekitar ibu negara. Tidak mahu mengalami penyesalan yang sama, saya bertekad akan pergi juga pada sesi penganjuran kali ini.

Dengan meminjam sebuah motosikal dari seorang sahabat, saya bersama seorang kakak terus menuju ke PWTC dengan penuh bersemangat. Walaupun mengikut perancangan kami perlu bertolak lebih awal tetapi kertas kerja yang perlu dibentangkan pada sesi mesyuarat petang tersebut perlu disiapkan juga maka kami bertolak lebih kurang pukul 12 tengahari.

Sebenarnya, cerita di atas sekadar berbasa-basi kepada titik tolak motif sebenar nukilan ini ditulis. PWTC rupa-rupanya merupakan tapak pertemuan saya dengan seniman negara, A. Samad Said. Memang saya merupakan seorang peminat sastera dan mengagumi A. Samad Said. malah karya popular beliau telah pun mengisi ruang pemikiran saya sejak di tingkatan 3 lagi. Novel beliau seperti Salina telah dijadikan santapan minda malah puisi beliau juga amat dikagumi oleh saya. Kaget melihat beliau saya terus mengambil peluang membeli senaskhah buku yang memuatkan artikel-artikel beliau yang tersiar di dalam akhbar iaitu Di Tepi Sungai.

Peluang menemui beliau saya ambil dengan bertanyakan perkembangan petisyen yang ingin dipohon oleh beliau terhadap karya-karya beliau yang diterbitkan DBP seperti Salina dan banyak lagi. Beliau sebagai seorang seniman memang diakui sangat berbahasa di dalam menjawab persoalan mudah saya. Selepas meminta tandatangan daripada beliau saya meninggalkan beliau dengan perasaan yang luar biasa. Terasa tidak rugi berusaha untuk datang ke pesta buku tersebut.

A. Samad Said sebagai seorang seniman pasti mahukan karyanya dihargai dan dapat diberi tempat setiap pembaca. Beliau juga mempunyai hak-hak tertentu yang melibatkan hak cipta dan memberikan pendapat. Petisyen ini dengan jelas menunjukkan perubahan terhadap pola pemikiran rakyat yang sudah mampu berfikir hak masing-masing. Antara lain saya juga menghormati beliau dalam memberi pandangan mengenai elemen KOMSAS yang perlu kepada perkenalan kepada karya-karya berat dari penulis yang berwibawa berbanding mempelajari novel kontemporari.

. Berikut merupakan nukilan saya buat seniman agung,

Senyum mu nipis penuh rahsia
Bait bait indah
Penuh rasa gelora
Sentiasa menjengah pemikiranmu
Membawa dimensi
Menelosori
tradisi
Menggagah puisi
Janggut putih
Wajah bersih
Sasteranya
memikir
Menggulung perasaan
Ideamu
Umpama desir angin
Meliuk
membawa tafsir

Engkau seniman
Engkau negarawan
Engkau juga
diangkat saterawan
Bilamana jiwa kental
Kuharap kau akan terus
bertahan.


Sastera yang Indah membawa Perilaku yang Indah…

1 ulasan:

fajar berkata...

tahniah saudari fariza kerana artikel anda sentiasa sya ikuti..baru kini sya kenal saudari selama ni sya cuma mengenal perkembangan artikel anda sahaja. tahniah sekali lagi wak saudari..sekian dari FI

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.