Selasa, 1 April 2008

' Berjiwa MELAYU '

Saudara pengarang yang saya hormati,


Semalam (31 Mac 2007) kenyataan 'berjiwa melayu' yang mengatakan bahawa "Ketika saya belajar di dua universiti untuk mengambil ijazah pertama dan kini sarjana, keperluan akta sedia ada bagi saya langsung tidak menyekat kebebasan pelajar." adalah sangat pelik dan tidak melambangkan idealisma mahasiswa langsung. Sama ada beliau seorang yang benar-benar terlibat dengan aktiviti pelajar ataupun tidak menjadi tanda soal bagi saya.


Masakan tidak wajar AUKU dipinda sedangkan terdapat banyak akta yang tidak relevan yang menyekat aktiviti mahasiswa yang membantutkan daya pemikiran kita. Saya memahami mungkin 'Berjiwa Melayu' seorang yang taat akan peraturan AUKU ataupun mungkin beliau tidak pernah menyelak Akta tersebut dengan teliti. Di sini saya akan menunjukkan beberapa akta yang menyekat mahasisiwa dengan membuta tuli.


  1. Seksyen 15(3) menyatakan tiada sesiapa jua, semasa menjadi pelajar Universiti boleh menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja atau pertubuhan atau kumpulan haram.
    • Akta ini jelas bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia yang membenarkan rakyat yang berusia 21 tahun ke atas layak mengundi semasa Pilihanraya Umum dimana mahasiswa perlu menunjukkan sokongan terhadap mana-mana parti. Kekeliruan ini memaksa Datuk Mustapa Mohamed mengeluarkan kenyataan bahawa mahasiswa boleh mengundi sebelum Pilihan raya yang lepas .

  1. Syeksen 15 (1) menyatakan bahawa tiada siapa jua, semasa menjadi seorang pelajar Universiti boleh menjadi ahli atau dengan apa-apa cara bersekutu dengan, mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja atau apa-apa jua lain pertubuhan, badan atau kumpulan.
    • Akta ini jelas merupakan persendaan terhadap Akta Belia 2005 secara khusus telah memperuntukkan pelajar terlibat secara langsung di dalam pertubuhan berdaftar terutama persatuan belia.

Bukan setakat itu sahaja, malah terdapat pindaan yang dilakukan oleh pihak universiti sendiri menurut budi bicara Lembaga Tatatertib Universiti masing-masing yang menokok tambah akta sedia ada. Antara lain terdapat universiti yang tidak membenarkan perkumpulan pelajar tidak lebih dari lima orang dan sebagainya. Malah terdapat sekatan terhadap aktiviti perniagaan di kalangan mahasiswa. Adakah ini selari dengan pemikiran 'Berjiwa Melayu'?


Saya juga berpendapat 'Berjiwa Melayu' harus sedar bahawa bukan mahasiswa yang berpersatuan yang gagal mendapat tempat di luar universiti tetapi mahasiswa yang hanya tahu bergelumang dengan bukulah yang akan selalu menjadi barisan pertama gagal menyesuaikan diri di luar kampus. Siapa yang mahu melihat bangsa sendiri susah wahai 'Berjiwa Melayu'? Kita harus sedar laungan ketuanan Melayu sewajarnya tidak menjadi agenda utama pemimpin masa depan tetapi agenda rakyatlah yang wajar diberi perhatian didalam memacu negara dengan lebih gemilang.


Saya memetik tulisan Dr, Syed Husin Ali di dalam sebuah buku yang ditulis oleh Lee Ban Chen iaitu 'Agenda Melayu atau Agenda Rakyat'


" Agenda pembangunan seharusnya menekankan kedua-dua pendekatan kaum dan kelas. selain dari mengurangkan jurang antara kaum dari segi ekonomi, pendidikan, kesihatan dan perumahan umpamanya, perlu juga dirapatkan gaung di antara golongan terkaya dengan termiskin."



"Perlu ditekankan agenda untuk membela nasib rakyat jelata pelbagai kaum yang masih hidup susah dan rendah taraf hidup mereka. Orang Melayu tidak perlu takut dengan dasar seperti ini. sebabnya, majoriti golongan rakyat jelata bawahan serta terpinggir adalah terdiri dari Orang Melayu"




" Dasar ini lebih adil dan boleh membantu usaha membina bangsa yang bersatu padu





Buat ' Berjiwa Melayu' saya tidak akan menangis dan tidak akan bertepuk tangan akan Kebodohan Melayu tetapi barsama-sama berusaha membangunkan agenda rakyat. Saya akhiri tulisan ini dengan kata-kata Tun Dr Mahathir iaitu


" Untuk berjaya kita mesti mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri".




Nur Fariza Zahrin

Naib Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam


Berita Harian (31 Mac 2008)

AUKU sedia ada tidak pernah sekat kebebasan pelajar


SAYA tertarik dengan cadangan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk mengkaji Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) baru-baru ini. Sebelum kajian dan tindakan dilakukan, saya memohon pihak berkenaan mengkaji mengenai rasional keperluan akta itu dikaji.

Ketika saya belajar di dua universiti untuk mengambil ijazah pertama dan kini sarjana, keperluan akta sedia ada bagi saya langsung tidak menyekat kebebasan pelajar.

Mengapa perlu akta dipinda bagi membolehkan pelajar lebih aktif dengan persatuan di luar? Sedangkan persatuan dalam universiti pun mereka tidak aktif atau terbabit secara ikhlas dan penuh tanggungjawab, apatah lagi pertubuhan luar yang pasti akan mengganggu urusan pengajian.

Apakah kajian dan kelonggaran akta akan membebaskan kebanyakan pelajar Melayu yang jumud, malas dan gemar berfoya-foya untuk lebih cemerlang dalam pengajian mereka?

Mampukah universiti melahirkan lebih ramai cerdik pandai Melayu jika akta dihapuskan atau dipinda? Saya fikir langsung tidak! Malah, saya penuh yakin AUKU yang lebih terbuka ini kelak akan melahirkan lebih ramai pelajar Melayu yang fanatik dan menyokong membabi buta kepada fahaman politik emosi.

Negara mungkin melahirkan lebih ramai intelek Melayu beremosi marah, bukan intelek Melayu rasional atau matang menilai.

Kita sudah melihat hasilnya sekarang kerana di kebanyakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), lepasan universiti, ramai dikuasai nafsu amarah dan tidak rasional.

Sudahlah gelodak jiwa remaja itu sendiri agresif, ditambah pula kelonggaran AUKU, entah apa pula kesannya nanti.

Sebagai seorang usahawan dalam perniagaan dan sedang belajar, saya berpendapat lebih baik saya mengambil kaum lain sebagai pekerja dalam perniagaan saya berbanding pekerja Melayu lulusan IPTA yang tidak berkualiti.

Kebanyakan Melayu lepasan IPTA tidak bersedia belajar, tidak suka disuruh dan banyak lagi sikap negatif.

Dengan jujur saya merayu kepada orang Melayu, lihatlah keupayaan kita berbanding kaum lain di IPTA. Anak mereka tidak diajar berpolitik pada usia muda, sebaliknya dididik menghargai setiap manusia di keliling mereka.

Mereka juga tidak sibuk melayari internet dan merosakkan minda bangsa.

Rata-rata laman web yang kotor dan berbentuk hasutan dicipta anak Melayu yang akhirnya memusnahkan pemikiran bangsa sendiri. Pendek kata, banyak betul yang buruk dalam diri kita tetapi kita masih sibuk mencari salah orang lain.

Malang bagi saya untuk mengatakan Melayu masih tak mahu sedar dan lupa kerana selagi dendam dan kebencian tidak bertukar kasih sayang, maka kita harus bersedia melihat kemusnahan bangsa di depan mata.

Saya mungkin menangis tetapi saya juga akan bertepuk tangan melihat kebodohan Melayu yang tidak sayangkan bangsa sendiri dan memperlecehkan pemimpin mereka hanya kerana berebut kuasa.

BERJIWA MELAYU,
Fakulti Pendidikan Universiti Malaya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.