Isnin, 7 April 2008

Abah, Umi dan Anak

Semasa saya bersama-sama beberapa sahabat membantu pelaksanaan sebuah program dakwah di selangor, saya berkenalan dengan seorang pak cik yang mahu kami menggelarnya sebagai Abah.



Abah merupakan seorang yang sangat ceria dan peramah.



Kami disambut dengan penuh kegembiraan oleh abah.



Pertemuan dengan Abah dieratkan lagi dengan persinggahan kami ke rumah abah menemui Umi.



Umi yang berniaga kecil-kecilan di persekitaran kawasan berdekatan dengan membekalkan roti sandwish dan roti john menyambut kami bersama anak sulung Abah. Kami yang kelaparan disediakan dengan roti John buatan Umi yang sangat sedap.



Pertemuan ini amat terkesan di hati saya (saya sudah kehilangan ayah sejak berada di tingkatan dua). Dimana kemesraan Abah dengan Atikah (anak sulung Abah) sangat membahagiakan.





Abah, Umi, saya dan Annur

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik di
kalangan kamu
ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli
keluarga dan aku
adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan
dengan ahli
keluargaku.” (Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).




Sebelum pertemuan itu saya berkenalan pula dengan seorang Abi kepada sahabat baik saya. Pertemuan yang jarang tapi dilayan dengan baik oleh abi dan Umi juga merupakan kasih sayang yang sangat dirindui.

Pertemuan dengan keluarga begini sering mengusik kalbu kerana ia seringkali mengimbas memori saya kepada ayah.



Ayah merupakan seorang yang pendiam tetapi rajin tersenyum.



Hobi ayah yang suka memancing membuatkan hubungan saya agak rapat dengannya kerana saya rajin mengikut beliau ke lombong memancing ikan. Walaupun saya tidak mewarisi sedikitpun ilmu memancing dari ayah.



Setiap perkara yang ditentukan oleh Allah memang sesuai dengan keadaan umatnya. Ketika ayah pergi, hanya saya dan adik yang paling kecil tidak dapat melihat beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, dan perkara inilah yang menjadi igauan saya selama ini.



Sebagai seorang anak, kita seringkali lupa akan pentingnya kedua ibu bapa kita dilayan dengan baik. Pernah semasa di tingkatan lima saya memarahi rakan sebilik di asrama kerana enggan bersalam dengan bapanya.



Saya menceritakan betapa peritnya kehilangan ayah kepadanya sehingga kami sama-sama berendam air mata.


Memang kadang-kadang jiwa remaja memberontak dan menyebabkan kita melawan ibu bapa yang melahir dan membesarkan kita.





Fikirkanlah sekiranya esok mereka tiada, dan kita tidak sempat nak memohon kemaafan. Aduh betapa dalamnya perasaan duka yang akan kita alami. Walaupun berhari-hari kita menangis pun tiada gunanya.

Semasa mula-mula memasuki universiti, saya terpaksa menaiki bas berseorangan mendaftar di UM.



Akibat sampai agak lewat tengahari tidak ramai pembantu Mahasiswa yang membantu malah saya terpaksa menaiki teksi sendiri ke kolej Kediaman Za’ba kerana bas yang disediakan oleh UM telah bertolak.



Betapa hati saya merasa sebak melihat situasi ibu bapa yang membantu anak masing-masing mengangkat barang dan membelikan makanan untuk mereka dan sebagainya sedangkan saya berseorangan mengangkat dua buah beg besar.



Hari itu, rasa syukur kepada Allah sangat tinggi kerana mendapat bilik di tingkat dua, jadi tidak perlu memanjat tangga yang tinggi ke tingkat atas kerana kolej itu (Za,ba) tidak mempunyai lif.

Namun begitu, sejauh mana kita sebagai anak menghargai sumbangan yang diberikan oleh ibu bapa kita yang sanggup berbelanja besar demi menghantar anaknya belajar dan ke universiti. Tidak ramai yang mengerti bahawa nasib mereka di akhirat nanti juga berkaitan dengan akhlak mereka bersama ibu bapa.




Allah berfirman, Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik
kepada kedua ibu bapanya. Ibunya mengandungkannya dengan susah payah dan
melahirkannya dengan susah payah pula...(al-Ahqaf: 15)



Terdapat juga firman Allah di dalam al-quran yang melarang pengucapan yang boleh mengecilkan hati ibu bapa. Namun tidak semua daripada remaja masa kini yang betul-betul memahami kepentingan menjaga percakapan di depan ibu bapa masing-masing. Malah ada yang sanggup menengking dan memberi arahan pula kepada ibu bapa masing-masing.



Saya teringat pula akan sebuah iklan komersil sebuah syarikat di musim perayaan mengenai seorang bapa yang melayan percakapan anaknya yang berulang-ulang kali bertanya soalan yang sama. Iklan ini memang sangat memberi kesan ketika pertama kali saya menontonnya sehingga mengalirkan air mata.

Manusia mudah lupa nikmat yang diperolehinya.



Manusia juga mudah rasa selesa dengan apa yang dimilikinya tanpa memikirkan sekiranya setiap yang dipunyainya pasti akan hilang juga satu hari nanti.



Setiap kehilangan pasti ada hikmahnya, saya sendiri mengalami proses tersebut dimana pengalaman kehilangan ayah dibayar dengan pembelajaran proses berdikari dan mematangkan minda. Namun begitu mestilah beringat sebelum menyesal di kemudian hari.


Lepas ni kita cerita tentang Mak pulak..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.