Isnin, 31 Mac 2008

Pemimpin Berkepimpinan Terpimpin

Sebenarnya ini artikel yang dah lama dikarang sekarang baru nak
masukkan..


Saya sengaja menulis tajuk artikel ini secara ritma selari dengan irama politik Malaysia. Jika ramai yang menggelar fenomena kejatuhan 5 kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) kepada barisan alternatif (BA) ini sebagai Tsunami politik Malaysia, saya lebih senang menggelarnya Kesan Rumah Hijau terhadap politik Malaysia. Sebab apa? Rumah Hijau dibina dengan kaca di mana kesemua haba yang masuk ke dalam tidak akan dapat keluar dan terperangkap di dalam lalu menjadikan suhu di dalam Rumah Hijau panas dan sesuai dengan tumbuhan yang ditanam. Tetapi, jika kesan ini terjadi kepada bumi kesan buruk seperti perubahan cuaca dan sebagainya akan berlaku (malah telah terjadi dan dirasai oleh kita). Kini bahana kesan rumah hijau terhadap situasi politik Malaysia menyebabkan undi rakyat berubah arah.

Kepungan pemikiran rakyat yang hanya diberi pendedahan oleh media terhadap sebelah pihak sahaja telah menyebabkan pantulan pemikiran itu terkumpul dan di saat pilihan raya berlangsung barulah rakyat menunjukkan perubahan. Saya berpendapat sudah tiba masanya kelompok pemikiran ini dipecahkan dan sewajarnya media Malaysia lebih telus dan adil didalam memberikan kenyataan terhadap mana-mana pihak.

Tidak mahu bersoal jawab lama mengenai sejarah menarik ini yang telah muak dibicarakan oleh ramai pihak, saya lebih suka membicarakan mengenai soal kepimpinan yang wajar diambil berat oleh setiap pihak.

Ahli falsafah Cina, Confucius, 2000 tahun dahulu pernah berkata :

” Jika anda mengawal rakyat dengan tindakan kerajaan dan memastikan mereka
mematuhi undang-undang serta peraturan, mereka akan menjauhkan diri daripada
melakukan kesalahan, tetapi mereka tidak mempunyai kesedaran tentang kehormatan atau kesalahan. Tetapi jika kamu memimpin mereka menerusi teladan dan memerintah mereka secara beradab, mereka akan mempunyai perasan malu dan akan mencapai kebajikan”

Kata-kata di atas saya letakkan sebagai penanda aras penulisan rencana ini. Mengimbau kembali sirah Rasulullah S.A.W. semasa menjadi pemerintah di Madinah, peribadi baginda yang berakhlak tinggi amat dihormati oleh ramai pihak malah diberi pujian sehingga baginda dinukilkan oleh Michael H. Hart manusia pertama di antara 100 manusia yang paling berpengaruh di dunia. Kejayaan baginda memerintah secara tauladan wajar menjadi ikutan pemimpin masa kini malah harus dijadikan panduan di dalam apa jua tindakan ingin dilaksanakan.

Namun begitu lebih suka untuk saya nyatakan ciri-ciri yang sewajarnya wujud dikalangan pemimpin. Sebagai permulaan pemimpin seharusnya mempunyai sikap adil terhadap organisasi yang dipimpinnya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

”Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah akan menduduki
beberapa mimbar yang diperbuat daripada cahaya. Mereka ialah orang-orang yang
berlaku adil di dalam pemerintahan, ke atas keluarga dan apa-apa yang ditadbir
oleh mereka”. ( Hadith riwayat Muslim)


Seseorang pemimpin yang berlaku adil akan mendapat penghormatan tidak kira apa jua bangsa dan agamanya kerana inilah tuntutan utama yang perlu wujud di dalam sesebuah kepimpinan.Malah sikap inilah yang perlu wujud bagi seorang pemimpin di Malaysia.

Di dalam memastikan kepimpinan terpimpin, pemimpin kini wajarlah terdiri dari golongan yang berpengetahuan luas. Kini, di dalam realiti massa yang sentiasa bergerak pantas, seorang pemimpin wajar menguasai alam siber agar dapat sentiasa mengemaskini isu yang perlu diketahui. Ahli parlimen terutamanya perlu mendalami setiap aspek pemikiran dari segi ekonomi, sosial dan pembangunan agar dapat berbicara dengan lebih lantang di dalam membahaskan usul agar parlimen Malaysia dapat melangkah ke arah wajah baru Malaysia. Tanpa meminggirkan aspek peribadi, pemimpin seharusnya mempunyai skill komunikasi yang baik agar dapat mencerminkan peribadi yang unggul.

Riwayat dari Abu Hasan Al-mawardi ada menyatakan,

“Sesiapa yang inginkan kebahagian di dunia, maka hendaklah ia berilmu. Dan
sesiapa yang inginkan kebahagiaan di akhirat, hendaklah ia berilmu. Dan sesiapa
yang inginkan kedua-duanya sekali, hendaklah ia berilmu…”

Namun begitu, tidak semua pemimpin memerlukan pakej yang lengkap untuk melaksanakan tugas. Sebagai renungan, Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad bukanlah seorang yang begitu terkenal sebelum menjadi presiden Iran tetapi atas sikap beliau yang tegas terhadap pendirian beliu itu telah menawan hati ramai pihak termasuk rakyat di nagara lain.( boleh rujuk buku Ahmadenejad: Singa Baru Dunia Islam)

Sebagai konklusi saya akhiri penulisan artikel ini dengan sepotong ayat al-Quran yang menjadi siulan pengamal bacaan Al-mathurat iaitu


“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai
kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa
Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang mencabut kuasa pemerintahan dari
sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang
Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.
Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau
Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

surah al-Imran:26


Nur Fariza Zahrin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.