Isnin, 4 Februari 2008

Dilema wanita

Kenyataan Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim di Jakarta berhubung trend lelaki Malaysia yang semakin ramai memilih wanita Indonesia sebagai isteri telah mencetuskan satu tamparan di kalangan rakyat Malaysia khususnya kaum wanita. Apatah lagi apabila isu ini dilihat melibatkan permasalahan jodoh yang sering menjadi punca utama keraguan semua pihak sama ada lelaki mahupun wanita.

Apa yang menarik perhatian saya adalah berkenaan dengan kenyataan yang dibuat oleh Pensyarah Politik dan Polisi Awam Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain yang menyebut antara sebab lelaki tempatan tidak memilih wanita Malaysia kerana status mereka (wanita Malaysia) yang semakin kukuh dan berpelajaran tinggi. Faktor ini dikatakan telah mewujudkan jurang antara wanita Malaysia dengan lelaki tempatan menyebabkan lelaki tempatan lebih cenderung memilih wanita Indonesia.

Saya berpandangan bahawa wanita Malaysia pada hari ini lebih cenderung untuk memajukan diri mereka dalam setiap aspek kehidupan kerana mereka tidak mahu lagi dikenali sebagai golongan yang kurang berpelajaran, golongan yang lemah dan sebagainya. Yang mana persoalan dan permasalahan begini timbul bila mana kaum adam dilihat lebih mendominasi dan adakalanya meletakkan kepercayaan yang minimum terhadap mereka (wanita) dalam segenap aspek. Bukan sekadar bercakap kosong tetapi saya yakin perkara ini telah dimaklumi sejak dahulu lagi. Dan diatas kesedaran untuk memajukan diri itu, wanita Malaysia sekali lagi ditimpa kegusaran apabila lelaki tempatan kini dikatakan segan untuk menghampiri wanita dari negara sendiri.

Permasalahan sebenar yang ingin saya kongsi bersama adalah berkenaan kebersamaan antara kaum lelaki dan kaum wanita dalam usaha memajukan diri, keluarga dan seterusnya negara. ALLAH S.W.T. ada berfirman di dalam surah At-Taubah ayat 71 yang maksudnya, "Dan orang-orang yang beriman sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain mereka menyuruh membuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar melaksanakan solat menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan Rasulnya mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana" Di dalam surah ini jelas menyatakan walau sebagaimana hebatpun seorang wanita ataupun lelaki hakikatnya mereka saling melengkapi antara satu sama lain.

Sehubungan itu saya menyokong cadangan Ahmad Atory terhadap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar memberi tumpuan kepada isu jodoh di kalangan rakyat negara ini bagi mengelakkan timbul gejala penduduk lewat berkahwin. Namun begitu saya kurang bersetuju tindakan mengenakan kawalan terhadap lelaki Malaysia dalam memilih jodoh kerana ianya bukan sahaja melibatkan isu perbezaan taraf kewarganegaraan tetapi melibatkan perasaan dua insan yang berbeza.Saya memandang sekiranya kawalan jodoh dilaksanakan akan wujud permasalahan yang lebih besar berlaku seperti kahwin lari, bersekedudukan dan pelbagai masalah sosial yang lain. Saya mencadangkan agar pihak Kementerian melaksanakan alternatif lain seperti mengadakan kempen kesedaran dan mewujudkan program jangka panjang di dalam usaha meningkatkan status lelaki tempatan agar dapat mengimbangi status wanita Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.